BAB 14

28.5K 125 42
                                    

"Zuki, tolong jaga anak ayah elok-elok."

"Inshaa ALLAH ayah," ujar Marzuki. Kepala terangguk-angguk apabila bahunya ditepuk-tepuk oleh Arsyad.

'Tak payahlah nak tunjuk rasa penyayang sangat! Macamlah kau jaga aku elok-elok selama ni.' Kartini menyumpah dalam hati.

Dari tadi tak habis-habis kata-kata nasihat dan pelbagai pesanan dititipkan pada Marzuki. Macam nak meninggalkan anak di asrama pula lagaknya. Sedikit pun tak meninggalkan kesan sedih dan sebak di hati Kartini. Makin menyampah dan meluat pula dengan kepura-puraan Arsyad.

"Tini," panggil Habsah. Tangan Kartini digoyang perlahan. Kartini menarik kerusi dan duduk di sebelah Habsah.

"Buat perangai elok-elok kat sini ya. Jangan risau dengan hal-hal kat rumah tu. Inshaa ALLAH, semuanya akan baik-baik belaka." Habsah menarik Kartini di dalam pelukan. Usapan lembut di belakang tubuh Kartini membuatkan gadis itu sebak. Pipi kedut Habsah dicium bertalu-talu. Muka disembam ke bahu. Bukan menangis, tetapi Kartini sedang membisikkan sesuatu di telinga Habsah.

"Tolong tengok-tengokkan Mila mak. Jangan biarkan ayah sentuh dia."

"Ya. Mak janji akan jaga Mila. Jangan risau ya." Usapan di belakang tubuh Kartini makin laju. Sebaik mungkin Habsah cuba menahan air mata yang ingin gugur.

Seribu satu rasa bersarang di hatinya pada saat ini. Bukan soal Karmila sahaja yang perlu dirisaukan. Habsah perasan penerimaan besannya juga agak dingin terhadap Kartini. Bagaimana kalau Kartini tidak dilayan seperti yang sepatutnya di sini? Mampukah Marzuki melindungi Kartini sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku nanti?

"Drama airmata apa pula ni besan?" Hajah Zariah menegur.

Pelukan terlerai. Habsah mengeringkan pipi yang basah. Kartini tidak berani menentang wajah Hajah Zariah. Walaupun pada ketika itu ibu mertuanya mengulum senyum manis, dapat dia rasakan senyuman itu tidak mengandungi keikhlasan.

"Janganlah sedih sangat. Rumah kita ni tak jauh mana pun. Kalau datang dengan kereta tak sempat pun nak panas punggung. Dekat sangat. Kalau tiba-tiba Tini rindu nak tidur bawah ketiak mak, boleh aje balik sekejap ke sana."

Habsah senyum. Panas juga telinga disindir. Tetapi dia bukan orang yang suka cari pasal. Sejak pertama kali berjumpa lagi Habsah sudah hadam dengan cara Hajah Zariah berkomunikasi. Orang seperti Hajah Zariah tak guna diajak berbual. Membazir air liur sahaja. Lebih baik diam dari membalas kata-katanya.

"Tini pergi kat khemah memasak, bungkuskan lauk untuk mak dan ayah," arah Hajah Zariah.

Kartini hanya mengangguk. Dengan busana persandingan yang masih melekat di tubuh, dia akur pada perintah Hajah Zariah. Habsah perhatikan sahaja Kartini berlalu pergi. Jengkel rasa hati dengan perangai Hajah Zariah. Pihak pengantin perempuan belum pun pulang, tetapi Kartini sudah disuruh buat kerja. Nampak sangat Hajah Zariah sengaja nak cari pasal.

"Bagus Tini tu. Tak kekok langsung dia buat kerja." Hajah Zariah juga turut memerhatikan Kartini dari jauh. Dalam kepala sedang menyusun rancangan untuk mengenakan Kartini lagi.

"Harap-harap dia selesalah kat sini. Saya ni memang jenis suka berterus-terang. Kalau ada yang tak berkenan kat mata ni memang saya terus tegur. Lagi satu, kat sini semua orang saya layan sama rata. Zuki tu. Walaupun anak bos, kalau kerja banyak saya suruh juga dia pergi menoreh. Tak ada sebarang keistimewaan," sambung Hajah Zariah lagi.

Habsah senyum. Dia dah cukup dewasa untuk memahami lenggok bahasa Hajah Zariah. Bayang penderitaan yang bakal Kartini hadapi semakin jelas di ruang mata. Hanya doa sahajalah yang mampu Habsah titipkan dan berharap Marzuki mampu menjaga Kartini sebaik mungkin. Dapat menjauhkan diri dari kejahatan Arsyad, kini terpaksa melalui fasa perang mertua dan menantu pula. Nampaknya masih jauh lagi cahaya bahagia yang akan menyinari hidup Kartini.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 13, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SERAKAHWhere stories live. Discover now