BAB 13

16.1K 59 1
                                    


"Kenapa kau masuk ke sini? Bilik pengantin kat sebelah sanalah," sakat Liza.

Liza menghalang Kartini duduk di atas katil di bilik Karmila. Tetapi Kartini tetap berdegil. Sengaja dia melambung tubuh ke tengah-tengah katil.

"Aku tahu. Saja nak duduk sini kejap."

"Habis tu, Abang Zuki mana?" Karmila pula bertanya. Dia juga sudah terbaring kepenatan.

"Ada kat bawah lagi. Berbual-bual dengan orang surau," jawab Kartini

Kaki terbuai-buai di hujung katil. Begitu juga Karmila dan Liza. Masing-masing sudah kepenatan. Dari sebelum terbitnya matahari sehinggalah bintang-bintang bertaburan di dada langit. Jiran-jiran yang bertungkus-lumus untuk menjayakan majlis pada hari ini pun sudah pulang ke rumah masing-masing. Semuanya sudah siap berkemas. Yang tinggal hanya khemah-khemah yang akan dibuka secara gotong-royong lusa nanti. Besok mereka akan menghantar pengantin ke rumah pihak lelaki pula. Majlis pernikahan dan persandingan yang berlangsung siang tadi berakhir dengan sempurna. Sangat meriah dan menyeronokkan. Tetapi penatnya hanya tuhan sahaja yang tahu.

"Tini..."

"Hmm..."

"Pergilah tidur. Besok nak kena bangun awal lagi." Liza menguap panjang. Mata pun seperti digam-gam.

"Korang pun kena tidur awal juga." Kartini memaksa diri untuk bangun. Malas betul nak menapak ke bilik sendiri.

"Memang nak tidurlah ni. Tapi aku nak mandi sekejap. Tak selesa nak tidur dengan badan melekit ni." Liza memunggah beg pakaian. Kain batik dan pakaian tidur dikeluarkan. Cepat mandi cepatlah dia dapat tidur. Besok masih ada lagi tugas yang menanti. Wajah Kartini perlu disolek lagi untuk majlis bertandang ke rumah keluarga Marzuki.

"Bagi Mila mandi dululah. Mila mandi sekejap aje." Karmila melompat turun dari katil. Tuala dicapai dan dia terus menonong keluar dari bilik.

"Bertuah punya budak. Orang dah bersiap dia pulak potong Q." Liza mengomel sambil menyalin pakaian. Dengan hanya berkemban dia baring semula ke katil.

Sambil menunggu Karmila selesai mandi dia membelek telefon bimbit. Kartini juga turut berbaring di sebelah Liza. Mata sahaja melihat gambar-gambar yang sempat diambil siang tadi. Mulut dah tak larat nak bercakap.

Mata Kartini hampir layu apabila terdengar namanya dipanggil. Dengan langkah longlai dia keluar dari bilik Karmila. Dia menjenguk ke tingkat bawah kerana suara yang memanggil tadi datang dari arah dapur. Habsah menggamit di tangga. Seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan.

"Ada apa mak?" tanya Kartini.

"Boleh tolong bancuhkan kopi tak? Ayah kau masih berbual-bual dengan orang surau kat luar tu. Zuki pun ada, kan?"

Kartini menggaru leher bersama dengusan halus. Dia dah malas nak keluar. Tetapi dia pergi juga ke kabinet dapur. Sambil membancuh kopi, beberapa kali juga dia menguap. Matanya sudah ternampak-nampak bantal empuk di atas katil.

"Nanti jangan terus tidur pula Tini. Ingat, awak tu dah bersuami."

Kartini menoleh. Serta-merta senyum terukir. Faham dengan usikan Habsah.

"Dah bersedia ke nak berterus-terang dengan Zuki?"

Pertanyaan Habsah membuang senyum ceria Kartini. Dia tunduk sambil mengacau gula yang belum larut di dalam teko.

SERAKAHWhere stories live. Discover now