BAB 12

17.2K 54 0
                                    


"Kenapa tangan kau lebam ni?"

"Terhantuk kat tangga."

"Lah, macam mana boleh terhantuk?"

"Aku berjalan dalam gelap semalam."

Kartini menjawab tanpa memandang wajah Liza. Dalam hati berbakul-bakul sumpah seranahnya pada Arsyad. Dialah penyebabnya. Mujur hanya sebelah tangan sahaja yang lebam. Tak nampak logik pula penipuan Kartini andai kedua-dua tangan lebam dengan bekas cengkaman Arsyad.

"Kau okey tak ni? Pucatnya muka kau." Liza menegur lagi.

"Tak ada apa-apalah. Aku okey." Kartini berdeham kuat. Lengan busana nikahnya ditarik untuk menutup pergelangan tangan yang lebam.

Dia tak okey sebenarnya. Kartini masih bimbang sekiranya Arsyad mungkir janji selepas ini. Dia juga risau sekiranya Marzuki dapat tahu yang dia sudah tidak suci lagi. Dalam hati berkira-kira ingin berterus-terang dengan Marzuki sebelum 'malam pertama' mereka. Tetapi dari sudut lain hati seakan memaksa Kartini supaya tutup mulut sahaja.

"Amboi! Cantiknya kakak Mila ni..."

Kartini tergamam. Serta-merta tangan terdepang untuk memeluk Karmila.

"Alhamdulillah, sampai pun." Kartini memeluk erat tubuh Karmila. Kemudian pipi adik bongsunya dicium.

"Kawan-kawan mana?" tanya Kartini

"Dah balik rumah masing-masing."

"Lah, kata nak datang sekali."

"Memang mula-mula nak datang sini. Tapi masing-masing ada hal. Jadi dia orang hantar Mila sampai kat perhentian bas aje tadi. Lepas tu ayah datang ambil."

"Ayah pergi ambil Mila?" Berderau darah Kartini. Teringat janji yang Arsyad ikrarkan semalam.

"Ha'ah. Mila telefon ayah tadi. Mila telefon Kak Tini banyak kali, tapi tak berjawab pun."

Kartini bingkas bangun mengambil telefon di dalam laci. Patutlah Kartini tak dengar apa-apa. Telefon bimbitnya dalam mod senyap. Panggilan yang tak berjawab daripada Marzuki pun ada.

"Mila okey kan?" Kartini memeriksa tubuh Karmila depan dan belakang. Karmila ketawa. Lucu melihat tingkah Kartini.

"Mila okeylah Kak Tini. Cukup lagi semua anggota badan Mila ni. Tak ada yang kurang pun sejak duduk asrama ni. Makan cukup, tempat tinggal best, kawan-kawan pun ramai."

Kartini senyum nipis. Lega mendengar celoteh Karmila. Namun hatinya belum berapa tenang. Hari ini mungkin Arsyad lepaskan Karmila. Esok lusa belum tahu lagi nasib adik kesayangannya itu. Mampukah dia menyelamatkan Karmila sekiranya dia berada di rumah Marzuki nanti?

"Kau fikir apa Tini?" Liza mencuit bahu Kartini.

"Ha? Tak ada apa-apalah. Eh, mana Mila tadi?" Baru perasan Karmila sudah tiada di bilik itu. Kartini bangun dan meninjau ke tingkap. Tak semena-mena dia ternampak Arsyad di bawah khemah tetamu.

Dari jauh mereka berbalas tenung. Bersama kepulan asap rokok yang keluar dari bibir Arsyad, Kartini dapat melihat dengan jelas senyum sinis lelaki bangsat itu. Tahu Arsyad sedang mempersendakan dirinya. Kartini tidak berdiri lama di jenang tingkap. Mual tekaknya melihat Arsyad. Kalaulah boleh digantikan tempat Arsyad sebentar nanti, Kartini lebih rela dinikahkan oleh orang lain. Arsyad adalah wali yang paling tak guna dan tak layak langsung menikahkan Kartini.

SERAKAHWhere stories live. Discover now