BAB 7

19.5K 63 0
                                    

"Tak sangka pulak anak-anak kita berkawan. Aku pun tak perasan yang kau ada anak dara." Haji Nasir ketawa kuat.

Tak sangka keengganan Haji Nasir dan Hajah Zariah mengikut kehendak Marzuki untuk masuk meminang gadis pilihannya pada peringkat awal terselindung sebab yang tidak diduga. Haji Nasir dan Arsyad mengenali satu sama lain. Walaupun tiada masalah dalam hubungan mereka, masih terdapat jurang yang membezakan darjat antara mereka.Arsyad adalah kuli di kebun getah milik Haji Nasir.

"Saya pun tak tahu yang Tini berkawan dengan anak Abang Haji. Satu tempat kerja rupanya budak berdua ni. Apa nama tadi?" Arsyad tujukan soalan pada bakal menantu yang tersengih sahaja dari tadi.

"Marzuki. Panggil Zuki aje pak cik."

Arsyad terangguk-angguk. Bakal besannya itu adalah salah seorang pemilik kebun getah yang terbesar di daerah Kluang. Arsyad pula merupakan pekerja Haji Nasir yang paling rajin, paling dipercayai dan boleh diharapkan. Pendek kata semua yang baik-baik sahaja yang boleh dirumuskan tentang perangai Arsyad ketika berada di luar rumah.

"Dah lama ke Arsyad ni kerja dengan abang?" Hajah Zariah menyertai perbualan.

"Lamalah juga. Dari zaman bujang. Dia ni antara pekerja abang yang terbaik tau Yah." Haji Nasir menepuk-nepuk bahu Arsyad.

"Hish! Janganlah memuji sangat Abang Haji. Saya biasa-biasa aje. Sekolah setakat darjah enam. Jadi penoreh getah ajelah jawabnya. Mujur dapat majikan yang baik hati macam Abang Haji. Itu yang boleh bertahan sampai sekarang."

"Kalau abang dah lama kenal dia, takkanlah abang tak tahu ini rumah dia?" Berkerut-kerut kening Hajah Zariah. Berbeza sangat perlakuan suaminya sebaik sahaja tiba di rumah ini. Pada hal tadi Haji Nasirlah yang sekeras-kerasnya bertegas akan berterus-terang dengan pihak perempuan untuk tidak membenarkan anak gadis mereka berkawan dengan anak terus Haji Nasir dan Hajah Zariah lagi.

"Dah lama kenal tak semestinya tahu kat mana dia tinggal. Pekerja abang bukannya dia sorang." Haji Nasir membela diri. Sengaja dia membeliakkan mata sebagai tanda amaran. Harap-harap Hajah Zariah tak buat hal sepanjang berada di rumah ini nanti.

"Betul tu Abang Haji. Lagi pun saya memang jarang bercerita pasal keluarga masa kerja. Tak ada yang menarik pun kehidupan orang miskin ni."

"Kalau tak menarik takkanlah anak bujang aku tertarik." Haji Nasir dan Arsyad ketawa. Marzuki senyum simpul. Agak lega dia melihat penerimaan Haji Nasir ketika kali pertama menjejakkan kaki ke rumah Kartini.

Berlainan sekali dengan Hajah Zariah. Mungkin kerana dia sudah ada pilihan lain maka segala yang nampak elok di mata orang tetap nampak jelik di matanya. Rasa jauh hati juga kerana kedatangannya tidak disambut oleh isteri Arsyad. Sudah hampir sepuluh minit mereka berbual-bual. Isteri Arsyad masih belum kelihatan. Tidak sudikah menerima pinangan untuk bunga yang ingin disunting?

"Orang rumah ada kat dapur ke? Nak pergi jenguk sekejap, boleh?" Hajah Zariah terjengah-jengah ke pintu yang menghala ke dapur.

"Oh, sekejap ya. Saya bawa dia ke atas." Arsyad bergegas meninggalkan tetamu-tetamunya. Baru teringat Habsah masih belum menyapa bakal besan.

"Yah. Maniskan sikit muka tu boleh tak?" Haji Nasir menyenggol lengan isterinya.

"Macam mana nak bermanis muka? Arsyad tu tak ajar ke bini dia bercampur dengan orang? Kita ni dah lama sampai. Batang hidung dia langsung tak nampak. Macam ni ke nak berbesan? Tak ada budi bahasa langsung!" Hajah Zariah mendengus kuat.

SERAKAHWhere stories live. Discover now