BAB 4

24.6K 81 0
                                    

"Siapa budak tu?" Arsyad menyoal. Tangan masih laju menyuap nasi yang masih berbaki di dalam pinggan. Muka nampak tenang. Tetapi di dalam hati seakan ada berapi yang sedang menggelegak.

Arsyad langsung tak menyangka dalam diam Kartini menjalin kasih dengan lelaki lain. Dia fikir Kartini sekadar bercakap kosong. Diri rasa tercabar. Hilanglah tempat dia melampiaskan nafsu serakahnya secara percuma nanti. Dia perlu berbuat sesuatu. Atau nanti dia terpaksa mengeluarkan belanja untuk melayan kehendak hati yang tak pernah surut.

"Jawab ajelah. Ayah bukannya nak marah. Kata tadi nak berbincang, kan?" Arsyad menghulur pinggan pada Mila. Nak minta nasi tambah. Sambil Mila menceduk nasi, Arsyad merenung Kartini. Senyum manis yang dibuat-buat tidak mampu mengeluarkan suara Kartini yang seakan tersekat di kerongkong.

"Apa nama dia?" Arsyad menceduk lauk. Ketika tangan menyuap, kaki di bawah meja cuba menjangkau kaki Kartini yang duduk berhadapan dengannya.

"Marzuki." Kartini menjawab sambil mengetap gigi. Sebaik sahaja berjaya menendang kaki Arsyad Kartini terus bersila di atas kerusi. Habsah yang sedang menuang air ditenung tajam, bersilih ganti dengan Arsyad.

"Kawan Tini tu nak kenal-kenal dulu dengan kita. Dia nak jumpa abang. Nak minta izin untuk bawa rombongan meminang."

Habsah jadi orang tengah. Bukan dia tidak perasan perubahan air muka Kartini. Tapi dia buat-buat tak nampak. Risau kalau Arsyad naik angin nanti. Setakat hari ini Arsyad belum pernah menunjukkan rupa sebenarnya di hadapan Karmila. Hanya di hadapan Kartini dan Habsah sahaja wajah sebenar Arsyad terpamer.

"Buat apalah nak buang masa? Daripada datang nak kenal-kenal baik datang bawa cincin tunang terus. Erkkk!!" Arsyad sendawa kuat.

Spontan dia menutup mulut. Karmila ketawa melihat tingkah Arsyad. Arsyad pun turut ketawa. Menjadi lawak bodohnya. Pasti Karmila fikir Arsyad sedang bergurau. Habsah dan Kartini hanya berpandangan sesama sendiri. Tak kuasa nak ketawa. Makin meluat dengan sifat bermuka-muka Arsyad.

"Kalau boleh, Tini tak nak bertunang. Nak terus kahwin. Sekarang ni dah ramai yang buat macam tu. Tak membazir. Kiranya dia datang ni nak berbincang terus dengan ayah dan mak hal-hal yang berkaitan dengan kenduri-kendara. Sekalilah dengan tarikh nikah."

Masing-masing terdiam. Hilang tawa riang Karmila. Dia tak suka cara Kartini bercakap dengan Arsyad. Jelingan tajam dia hadiahkan pada Kartini sebelum dia membawa pinggan kosongnya ke sinki.

"Dah siap makan ke Mila? Tak nak tambah lagi?"Arsyad bertanya lembut.

"Tak naklah. Mila nak buat kerja sekolah." Karmila membiarkan pinggan makan yang tidak berbasuh di dalam sinki. Dia terus naik ke atas. Keras hentakan kakinya menapak setiap satu anak tangga.

Tak semena-mena Arsyad menolak pinggan. Wajah manis tadi berubah bengis. Dia bangun sedikit untuk mencekak leher baju Kartini.

"Kau jangan nak tunjuk garang kau kat depan Mila ya. Jangan ingat aku tak tahu kau cuba nak jauhkan dia dari aku." Arsyad melepaskan cengkaman dengan kasar. Kemudian dia duduk semula.

Air di dalam gelas diteguk kasar. Tangan yang masih belum berbasuh Arsyad celupkan ke dalam bekas air basuh tangan. Bergoyang-goyang meja makan ketika Arsyad mengocak air di dalam bekas air basuh tangan. Pandangannya tak lepas daripada Kartini. Kartini tidak berganjak dari meja makan. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Asalkan Arsyad tidak mendekati Karmila, apa sahaja yang bakal Arsyad lakukan akan Kartini hadapi.

SERAKAHWhere stories live. Discover now