Bab 16 - Mesra

3K 231 12
                                    

EMPAT bulan isteri Hans, Maisara berada di syarikat Nur untuk internship, selama itu jugalah hubungan yang terjalin semakin rapat. Mereka sering bersama. Di waktu rehat, dan sewaktu membincangkan urusan laporan internship Maisara.

Semakin erat, semakin mesra ... semakin banyak yang Maisara ceritakan pada Nur. Sehingga kadang-kala Nur rasa serba-salah pula untuk mendengarnya.

"Kadang-kadang, Sara hilang sabar, kak. Rapuh hati Sara ni bila abang melayan perempuan-perempuan tu. Memanglah 'kawan'. Tapi kalau dah malam pun sibuk telefon suami orang, kawan apa tu, kak?" Sara meluah perasaan.

Nur hanya meminjamkan telinga. Runtun juga hati wanita Nur mendengar luahan hati Sara.

"Urusan kerja, kot ..." Nur cuba meredakan gejolak hati Sara.

"Tak, kak. Sembang saja-saja. Suara pun mengada-ngada."

"Eh, mana Sara tahu? Tak baik tau buruk sangka dengan suami."

"Sara suruh abang Hans buat loudspeaker, dan Sara suruh dia berbual macam biasa. Pura-pura yang Sara tak ada di depan dia."

"Dia buat?" Terkejut juga Nur dengan tindakan Sara. Berani mengarahkan suami. Dan, bodoh pula Nur rasakan si Hans ni. Lebih baik reject je panggilan telefon tu. Macam Hans tak kenal perempuan yang telefon tu, orangnya bagaimana? Kalau betul tentang urusan kerja, dan perempuan tu pun bukan jenis menggedik, memang okaylah untuk biarkan isteri dengar.

Sara mengangguk. Sayu hati Nur melihat muka Sara. Simpati Nur melimpah ruah.

"Gedik sangat kak, suara perempuan tu."

"Hans pulak?"

"Dia macam tu je lah. Sembang macam nada biasa. Tapi melayan, lama ... bencilah!"

"Hmm ... kuat juga hati Sara ya, nak mendengar suara gedik perempuan tu berbual dengan suami Sara. Kalau akak ... memang tak kuat. Lebih rela tak tahu, dan tak dengar."

"Kak ... terima kasih sebab dengar luahan hati Sara."

"Bila-bila je Sara. Cuma ..."

Sara panggung kepala. Dia melihat ke wajah Nur.

"Sara nak cerita masalah rumah tangga Sara, cerita dengan akak okay lagi. Satu je yang akak minta. Tolong jangan cerita pada orang lain. Lebih-lebih lagi kawan lelaki."

Sara renung wajah Nur. Mungkin tak dapat menangkap apa maksud kata-kata Nur.

"Kenapa kak?"

"Akak takut, ada lelaki lain yang ambil kesempatan di atas kerapuhan Sara. Takut ada yang menangguk di air keruh."

Sara menghela nafas. "Ya, kak. Memang kalau Sara ada kawan baik lelaki, Sara akan mengadu pada dia, dan bila dia ambil berat akan hal Sara ... tak mustahil untuk Sara pergi pada dia kalau dia approach Sara."

Nur telan liur. Kesat. 'Bodohlah kau Hans!' Nur sumpah Hans dalam hati.

"Sara ..." Nur menggeleng. "Jangan buat macam tu. Jangan tinggalkan kawan akak. Dia baik. Fikir panjang, ya?"

"Kalau dia betul baik, kenapa buat Sara macam ni? Kenapa nak layan perempuan-perempuan tu?"

"Akak tak tahu 'kebodohan' apakah yang melanda kawan akak tu, tapi Sara tolong ya ... kekal di samping kawan akak yang bodoh tu. Pertama kali akak kenal Sara, akak bersyukur kawan akak tu kahwin dengan Sara."

"Kenapa kak?"

"Dia tu memang susah nak serius dengan perempuan. Termasuklah perempuan-perempuan gedik yang Sara cerita tu, perempuan yang dia dah kenal sebelum Sara. Hans tu memang sayangkan Sara. Kalau dia nak pilih perempuan gedik tu, dah lama dia pilih. Tapi, dia tak pilih, kan? Dia terus mencari yang benar-benar baik, cantik ... dan Sara wanita pilihan dia.

Maafkan dia, ya. In-sha-Allah, dia akan sedar akan kesilapan dia. Cuma dia perlukan Sara untuk terus faham dia, setia dengan dia terutamanya saat dia dilanda 'kebodohan' yang teramat."

Sara ketawa.

Nur tersenyum.

"Err ... maaflah, akak cakap suami Sara tu bodoh."

"Akak ... memang baik dengan dia, ya?"

'Alamak ... soalan cepu mas.' Nur berbisik dalam hati. Tapi di luar, bibir menguntum senyum. "Baik macam tu lah, Sara. Lelaki dan perempuan kalau berkawan, setakat sembang gila kat telefon, sembang waktu melepak ramai-ramai ... bukan keluar berdua atau sembang syahdu, tau!" Nur ketawa.

"Terima kasih, kak. Lepas habis intern ni kalau Sara nak telefon akak selalu, boleh ke?"

"Eh, boleh sangat-sangat. Kita gossip-gossip, ya!"

Sara ketawa.

BULAN berlalu, tahun berganti. Kisah Sara hilang begitu sahaja. Mungkin Sara sibuk atau mungkin juga dia sudah bahagia. Tidak lagi memerlukan 'telinga' lain untuk mendengar. Atau, dia sudah ada 'telinga' lain di depan mata.

Dalam FB, Sara add Nur sebagai friend. Masa mula-mula habis intern, Sara up satu status di wall Nur. Sara kata dia rindu Nur. Nur pun balas, dengan mengatakan rasa yang sama. Dan, satu perkara yang mengejutkan Nur bila tiba-tiba di antara luahan rindu Sara dan Nur, Hans menyelit juga.

Dia pun kata dia rindukan 'Kak Nur'.

Gila!

Bodoh!

Kat media sosial, kot.

Wife ada sekali kat situ, kot.

Husband Nur pun mungkin baca.

Hans sehwel.

Sara balas dengan emoticon ketawa dan mengatakan yang suami dia, Hans itu penyibuk. Sara anggap suaminya bergurau dan sekadar menyakat dia. Nur pun anggap Hans bergurau. Dan, Hans memang suka bergurau. Sama seperti dahulu. Sewaktu membisikkan 'sayang' pada Nur sebelum kemudian mengatakan perkara yang sama pada rakan yang lain dan ... ketawa.

Hans tak pernah berubah. Suka bermain.

Nur juga tak pernah berubah. Sering keliru dengan permainan Hans.

Hans & Nur (Completed)Where stories live. Discover now