Bab 17 - Mimpi

3K 233 27
                                    

MIMPI hanyalah permainan tidur. Tetapi, bila tiga malam berturut-turut Nur mimpikan Hans, itu bukan lagi permainan tidur, tetapi permainan syaitan. Malam ketiga itu, Nur terjaga bila mimpi yang sama di dua malam sebelumnya bertandang lagi.

Nur tekap tapak tangan kanan ke dada yang berdegup kencang. Telefon bimbit dicapai.

"Ya Allah, baru jam tiga pagi."

Nur menoleh ke sebelah. Tangan dilingkarkan ke pinggang suami. Rasa bersalah menyelinap walaupun dalam mimpi itu Nur dan Hans hanya berbual biasa seperti mereka masih di universiti.

Nur eratkan pelukan. Dalam hati berbicara, 'Nur sayangkan abang. Maafkan Nur. Nur tidak sempurna.'

PAGI itu seperti biasa Nur mengemas, memasak dan menyelesaikan urusan kain baju. Suami Nur, kebetulan sedang bercuti. Anak-anak pula memerap dalam bilik, membaca komik dan membelek gadget. Nur bagi kebebasan waktu cuti sekolah.

Selesai urusan rumahtangga, suami pun sudah lepak-lepak depan tivi, Nur capai novel untuk membaca. Nur duduk di samping suami. Tangan suami, melingkar di bahu Nur. Kepala Nur berlabuh di dada suami.

Telefon bimbit Nur memancarkan cahaya. Lagu yang Nur tak tahu lagu apa mula menyanyi. Nur syak panggilan daripada ASTRO. Nur malas nak jawab. Jadi, Nur hanya jengah macam itu sahaja. Memanjangkan leher ke arah meja untuk memastikan yang panggilan itu benar-benar daripada ASTRO.

Besar mata Nur.

Hans!

Dalam debar mengingatkan mimpi yang tiga malam berturut-turut mengganggu fikirannya, Nur capai telefon dan tekan butang 'terima'.

"Assalammualaikum Puan Nur."

Suami Nur angkat kening, bertanya 'siapa'?

Nur hanya menggerakkan bibir tanpa suara, 'Hans.'

Kening suami Nur mula berkerut.

"Waalaikumsalam, Tuan Hans. Mimpi apa tiba-tiba tak ada angin tak ada ribut, kau telefon aku, ni?" Nur gelak-gelak. Sedangkan, dalam hati dah bagai nak gila menahan degupan yang menolak-nolak. Dia yang sebenarnya bermimpi. Tapi, sibuk dia bertanya pada Hans.

Eh, tapi ... mungkinkah Hans juga mengalami perkara yang sama? Mimpi yang sama? Bertambah kencang debaran di dada Nur.

Hans ketawa di hujung talian. "Aku ada kat area rumah kau. Aku ingat nak singgah. Arif ada kat rumah?"

Arif - nama suami Nur.

"Ada ni. Dia cuti hari ni."

Nur berbicara bisu lagi dengan suaminya. 'Hans ada kat area sini. Dia nak datang, singgah.'

Suami Nur mengangguk. Ibu jari dinaikkan, tanda memberi izin.

"Aku datang dengan Din."

"Datanglah. Sekejap lagi aku share location."

"Okay, Nur. Sekejap lagi aku sampai."

"Orait." Talian dimatikan.

"Hans buat apa kat KL?" Suami Nur bertanya.

"Eh, Nur tak tahu. Dia cuma kata dia ada kat sini. Bila dia turun ke KL dan sebab apa, nanti abang tanyalah kat dia sendiri." Encik suami Nur ni, soal Nur macam Nur selalu sangat berhubung dengan Hans. Tahu segalanya tentang aktiviti Hans.

Suami Nur tersengih. Dia tahu, Nur tak pernah berhubung dengan Hans. Kalau ada, semuanya dengan makluman. Nur tidak pernah berahsia dengan suamiya.

Hubungan baiknya dengan Hans sudah diceritakan seawal perkenalan mereka lagi.  Semuanya.

Kadang-kala cemburu mencuit hati si suami. Dia tahu, nama Hans pernah bertapak di hati Nur, walaupun Hans tidak pernah sedar akan perkara itu. Nur pula, manusia pelik yang menolak apa yang ada di hati kerana percaya dia wanita yang tidak sempurna dan tidak layak untuk seorang lelaki bernama Hans Zulkifli.

Hans & Nur (Completed)Where stories live. Discover now