BAB 1

2.4K 34 2
                                    

PENGUSAHA RESTORAN WARISAN WIRA MENINGGAL DUNIA

JOHOR BAHRU: Pengusaha Restoran Warisan Wira, Idrus Wira bin Amran Wira meninggal dunia pada usia 56 tahun malam kelmarin di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru. Menurut anak sulung pengusaha ini, Isyraf Wira, ayahnya diserang angin ahmar setelah jatuh di kamar mandi seminggu yang lalu.

Idrus Wira mula mengusahakan restoran secara kecil-kecilan pada tahun 1988. Perniagaannya mula berkembang sekitar 90-an dan beliau menubuhkan restoran berkonsepkan ala resort yang dikenali sebagai Restoran Warisan Wira. Restoran yang dinobatkan sebagai salah satu restoran terbaik di Malaysia ini menghidangkan makanan tradisional Melayu Johor serta beberapa hidangan dari negeri lain. Jenazah Idrus Wira telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah Johor Bahru kira-kira 4.00 petang semalam.

SEBAIK sahaja selesai membaca petikan berita tersebut, tidak semena-mena fikiran Qhayrul teringat akan majikannya.

"Bilalah giliran orang tua si bakhil tu nak jadi macam ni? Makin kaya makin kedekut," kata Qhayrul sambil menyelak halaman surat khabar yang seterusnya.

"Qhayrul!"

Lelaki berusia 25 tahun itu terkejut. Sedang enak menikmati waktu rehatnya, tiba-tiba suara garau Osman datang dari arah hadapan kedai. Qhayrul yang sedang duduk di tangga pintu belakang menoleh.

"Panjang umur pulak orang tua ni. Baru aje sebut bila dia nak pergi, tiba-tiba datang terpekik-pekik. Buang tabiat lagi ke apa?" rungut Qhayrul sendiri.

"Qhayrul!"

Sekali lagi namanya dipanggil. Qhayrul mendecit.

"Apa dia, bos? Sekarang ni waktu rehat aku. Tak reti tengok jam ke?" bidasnya disulami nada tidak puas hati.

"Aku memang reti tengok jam, tapi kau tu yang tak reti bahasa," balas Osman.

Qhayrul mengeluh panjang. Dia menjeling, lalu berdiri untuk berhadapan dengan majikannya. Surat khabar yang berada di tangan dihempas kuat ke lantai, menunjukkan tanda protes.

"Kecoh betullah. Apa yang aku dah buat?"

Osman menghulurkan sampul surat yang berada di tangan kanannya kepada Qhayrul.

"Ini gaji kau untuk bulan ni. Lepas tu tak payah datang kerja lagi."

Kening itu terjongket tatkala mendengar kenyataan Osman. Senyuman sinis terukir. Sudah banyak kali Osman berkata sedemikian, tetapi hanya sekadar kata, tidak pada perbuatan.

"Bos dah banyak kali cakap benda yang sama, tapi tetap juga ambil aku kerja. Kalau nak makan, tak cukup kalau setakat nasi tu ada kat depan mata, tapi langsung tak nak kunyah, bos," kias Qhayrul.

Sampul surat berpindah tangan. Qhayrul membuka, lalu memeriksa helaian wang kertas yang ada.

"Kali ini aku tak main-main. Bukan setakat kunyah, kalau boleh aku nak telan kau hidup-hidup. Dah berapa kali aku bagi kau peluang, tapi kau tetap curi duit aku."

Badan Qhayrul bersandar pada pintu. Sebelah kakinya ditapakkan ke permukaan tersebut.

"Bos ada bukti ke aku yang curi?" soal Qhayrul.

Mukanya langsung tidak mempamerkan rasa bersalah.

"Duit aku hilang sebelum ni sebab kau, kan?"

"Tu sebelum ni, bukan sekarang. Entah-entah orang lain yang curi. Bos kan kedekut, ramai orang dengki," ucap Qhayrul, selamba.

"Kau ni memang jenis yang tak ada masa depan. Restoran aku buka pukul 7.00, kau datang pukul 10.00. Selama ni aku sabar sebab kau tu pandai masak. Ramai pelanggan suka dengan masakan kau. Tapi, kalau dah tiap-tiap bulan aku rugi, kau nak sedut darah aku sampai kering ke?!" marah Osman. Wajah lelaki tua itu sudah menyinga.

Dahi Qhayrul berkerut setelah mengira kepingan wang yang ada.

"Bos, apa ni? Tak cukup. Ni baru berapa ratus. Bos ingat bos boleh kaya ke kalau bukan sebab aku kerja kat sini?"

"Kau ingat restoran ni bapak kau punya? Gaji kau, aku dah tolak dengan duit yang kau curi tu. Kau kira beruntung sebab aku baik hati nak kasi. Kalau ikutkan rasa marah aku ni, satu sen pun kau tak dapat tau. Aku tak tahu macam mana mak bapak kau ajar kau. Kalau kau ni anak aku, dah lama..."

"Mak dengan bapak tak payahlah buat main!" Qhayrul pantas memintas bebelan Osman.

Dia merasakan Osman sudah melampaui batas. Tali apron yang terikat di pinggang dileraikan, lalu dilempar ke wajah orang tua itu.

"Kau ingat aku teringin sangat nak kerja kat sini? Nak sebut mak bapak pulak. Macam kau kenal aje siapa mak bapak aku," sambung Qhayrul lagi.

"Memang dasar budak kurang ajar. Kau ingat ada orang nak ambil mat rempit macam kau ni kerja? Memang macam nilah hidup kau sampai ke tua."

Qhayrul mencapai topi keledar yang berada di kabinet dapur.

"Argh, pergi jahanamlah! Kerja banyak, gaji sikit. Duit menimbun macam bukit tu bukan boleh bawa masuk kubur pun."

Qhayrul mengenakan topi keledar, lalu menuju ke tempat letak motosikalnya.

Osman menggelengkan kepala. Sudah banyak kali dia menasihati Qhayrul, tetapi anak muda itu langsung tidak menghiraukan segala tegurannya.


AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now