BAB 5

1.2K 22 0
                                    

LANGKAH kaki Yusra Dahliyaa menjadi tidak tentu arah. Pandangannya juga silih berganti. Sekejap dia melihat ke hadapan, sekejap dia memandang ke belakang. Deria keenamnya seperti membisikkan sesuatu yang buruk akan berlaku.

Yusra Dahliyaa merasakan ada seseorang sedang mengekorinya. Dia menoleh, tetapi sekelumit kelibat tidak kelihatan. Yusra Dahliyaa cuba membuang jauh perasaan itu. Dia menarik, lalu menghembuskan nafas secara perlahan-lahan. Sedaya upaya dia menenangkan dirinya sendiri.

Setelah pasti tiada yang mencurigakan, Yusra Dahliyaa meneruskan semula perjalanannya. Beg tangan yang digantung pada bahu kanan dikepit kuat.

Tanpa wanita itu sedari, ada sepasang mata yang memandangnya di sebalik tiang konkrit yang ada. Qhayrul hanya menantikan masa yang sesuai. Sudah lebih satu minit Qhayrul mengekori Yusra Dahliyaa. Sudah tiba detik yang dia harus bertindak.

Tanpa berlengah, Qhayrul mempercepat langkah. Seboleh mungkin Qhayrul tidak mahu kehadirannya dirasai oleh perempuan itu. Kekuatan yang tersimpan dalam diri disalurkan ke tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya.

Sebaik sahaja tangan kiri Qhayrul berjaya menggapai beg tangan tersebut, Qhayrul cuba merentap dan merampas objek itu daripada pemiliknya.

Serta-merta perasaan terkejut menjengah jiwa Yusra Dahliyaa. Tersirap darah yang sedang mengalir. Ternyata perasaan curiganya tadi adalah benar. Jantung Yusra Dahliyaa berdegup kencang.

"Ya Allah, peragut!" jerit Yusra Dahliyaa sambil menggenggam erat tali beg tangannya.

Qhayrul terus berusaha menarik beg tersebut, menyebabkan tubuh Yusra Dahliyaa yang kecil turut terdorong sekali. Tadi, kedudukan mereka di kaki lima kedai. Kini, mereka berada di kawasan tempat letak kenderaan berhadapan kedai.

"Lepaskan beg ni! Lepaskan kalau kau nak selamat!" ugut Qhayrul.

Dia mula menggelabah melihat tindak balas Yusra Dahliyaa. Perempuan itu kelihatan nekad untuk melawan. Jika dibiarkan, orang yang berada di kawasan sekitar akan menyerangnya.

Wajah Yusra Dahliyaa sudah berubah. Dia harus bertindak dengan berani. Dengan ilmu asas seni mempertahankan diri tae kwan do yang dipelajari semasa zaman universiti dahulu, Yusra Dahliyaa menarik beg tangannya. Lantas, tubuh Qhayrul ke hadapan dan menghampiri Yusra Dahliyaa.

Qhayrul membulatkan mata. Jauh daripada jangkaannya akan jadi begini. Wanita itu melepaskan begnya dan tangan Yusra Dahliyaa pantas mencapai pergelangan tangan Qhayrul. Yusra Dahliyaa menggenggam kuat pada bahagian tersebut. Dia melipat tangan lelaki itu dan menyebabkan genggaman Qhayrul terlepas.

Beg tangan Yusra Dahliyaa yang ada pada Qhayrul jatuh di atas jalan raya. Tidak cukup dengan itu, kaki kanan Yusra Dahliyaa menendang celah kelengkang Qhayrul. Lelaki itu mengerang kesakitan.

Qhayrul membongkokkan badannya, cuba menahan sakit yang ditanggung pada bahagian sensitif itu. Agak lama dia begitu. Ego dan maruah Qhayrul sebagai lelaki tercalar. Tidak mungkin dia boleh kalah dengan seorang perempuan.

Tanpa berfikir panjang, Qhayrul berdiri semula. Serangan tumbukan dengan arah lurus melalui tangan kanan dihalakan ke arah badan Yusra Dahliyaa.

Malangnya, perempuan itu menepis tindakan Qhayrul. Yusra Dahliyaa sempat merentap kolar baju milik lelaki itu. Dengan kekuatan yang ada, Yusra Dahliyaa menarik, lalu menghempaskan tubuh badan Qhayrul ke permukaan jalan.

Sudahnya, Qhayrul terbaring terlentang di atas jalan raya.

"Susah payah aku cari duit, senang-senang kau nak curi duit aku?! Tuhan bagi badan sihat macam ni, pergilah cari kerja. Lelaki pulak tu. Kalau kau dah kahwin, takkan nak bagi anak bini kau hasil duit macam ni?!" marah Yusra Dahliyaa.

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now