BAB 9

591 18 0
                                    

Irdina menyandarkan belakang badannya ke kerusi. Jam di dinding bilik mesyuarat pejabat guaman Fakhrul Razi & Associate dipandang selama tiga saat. Lagi dua minit waktu menjengah pukul 3.00 petang.

Penglihatannya beralih kepada Isyraf yang duduk di sebelah kanan, sedang bercakap di telefon. Tidak semena-mena, fikiran Irdina membuka lipatan masa lalu.

Semasa umurnya 13 tahun, ibu kandung Irdina meninggal dunia. Ketika itu, dia dihantar ke sekolah berasrama penuh. Setelah tamat pelajaran sekolah menengah, Idrus Wira terus menghantar Irdina melanjutkan pelajaran di Perth, Australia. Jauh di sudut hati, Irdina tahu alasan ayahnya bertindak sebegitu. Idrus Wira mengambil keputusan tersebut agar Irdina tidak berhadapan dengan sikap dingin Isyraf.

"Patutlah abang tak kahwin-kahwin lagi sampai sekarang walaupun umur tu dah 31 tahun. Mana taknya, asyik melekat dengan telefon. Kerja, kerja, kerja," petik Irdina setelah Isyraf selesai berbicara melalui telefon.

"Abang kerja untuk keluarga kita juga. Ird kenapa nak cari pasal dengan abang ni?"

"Ird cari pasal? Habis tu, kalau Ird tak cari pasal, abang nak cakap dengan Ird ke?"

"Lebih baik tak payah cakap apa-apa. Lagi senang," ucap Isyraf. Jarinya dilungsurkan ke permukaan skrin telefon pintar.

Irdina mencebik sambil menjeling. Sudah tinggal dua beradik pun hubungan Isyraf dan Irdina masih tidak berubah.

Suasana kembali sunyi. Selang seminit, Isyraf dan Irdina serentak menoleh ke pintu apabila mendengar tombol pintu kayu dipulas. Lelaki berkumis dan berjanggut nipis gaya stubble itu tersenyum sebaik sahaja daun pintu dikuak.

"Assalamualaikum," ucap Hamka.

"Waalaikumussalam," balas Isyraf, lalu bersalaman dengan peguam itu.

Kemudian, Hamka mengambil tempat di kepala meja. Dia menyelak beberapa buah fail tanpa sebarang lanjutan kata.

"Saya rasa Encik Hamka dah boleh mulakan apa yang patut memandangkan sekarang ni dah pukul 3.00 petang. Saya dan Ird dah ada kat sini," petik Isyraf setelah melihat Hamka belum mahu memulakan pembacaan wasiat.

"Belum lagi, Encik Isyraf. Kita kena tunggu penerima wasiat yang lain sampai. Selagi belum sampai, saya tak boleh buka sampul surat yang ada kat atas meja ni," jawab Hamka sambil memandang kedua-dua beradik itu silih berganti.

"Pewaris lain? Siapa?" tanya Isyraf dengan nada kehairanan.

"Maksud Encik Hamka, arwah abah ada waris lain selain kami berdua?" teka Irdina dengan rentak suara yang sama seperti abangnya.

Hamka sudah dapat menjangka pertanyaan seumpama itu akan dilemparkan kepadanya. Ketika Idrus Wira datang ke pejabat untuk menulis wasiat dua tahun lalu, dia juga mengajukan soalan yang sama kepada kliennya itu.

"Nasib baik saya dah sediakan perisai untuk semua das tembakan soalan yang Encik Isyraf dan Cik Irdina halakan kat saya. Siapa orangnya akan terjawab bila dia sampai sekejap lagi."

"Jangan nak bergurau, Encik Hamka. Benda ni bukannya boleh dibuat main-main," tegas Isyraf.

"Saya tak main-main, Encik Isyraf. Ini soal amanah dan wasiat. Mana boleh saya gula-gulakan," bidas Hamka dengan raut tenang.

Isyraf termangu seketika. Dia kebingungan. Terbit berpuluh tanda tanya dalam mindanya. Beberapa saat kemudian, kedengaran pintu diketuk.

"Masuk," arah Hamka.

Sebaik sahaja mendengar perkataan tersebut, salah seorang pekerja Fakhrul Razi & Associate membuka pintu.

"Encik Hamka, Puan Yusra dah sampai."

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now