BAB 4

1K 18 0
                                    

LELAKI Cina berbadan gempal itu tersenyum. Melihat garis wajah dan uban yang hampir memenuhi kepala, Yusra Dahliyaa menjangkakan umurnya melebihi setengah abad.

Lelaki itu mengangguk berulang kali sambil mengira wang kertas yang berada di tangannya. Not bernilai RM50 itu berjumlah 13 keping. Sebaik sahaja selesai menghitung, dia menandakan sesuatu pada buku yang berada di atas meja.

"Ha... ini macamlah. Tiap awal bulan mesti lu bayar. Gua sangat suka sama lu, amoi. Kalau ini macam lu bayar, tak payah 50 ribu, 500 ribu pun gua boleh kasi pinjam sama lu."

"Tak apalah, along. Saya tak mahu pinjam. Saya cuma nak bayar hutang suami saya."

"Haiya, amoi... Tak mahu pinjam lagi ke? Gua tengok muka lu pun gua tahu lu susah punya orang."

Yusra Dahliyaa cuba memaniskan wajah walaupun hati terasa perit.

Sudah menjadi rutin bulanannya menjejakkan kaki di pejabat lintah darat itu. Yusra Dahliyaa terpaksa menyerahkan sebahagian hasil titik peluhnya untuk melunaskan hutang yang ada. Enam tahun dia mengalami kehidupan begitu, enam tahun jugalah dia mengharungi segala keperitan itu sendiri.

"Saya memang tak mahu pinjam along. Apa yang ada sekarang ni pun lama lagi mahu habis. Takkan saya mahu tambah lagi hutang?" balas Yusra Dahliyaa.

"Amoi, jangan itu macam. Gua takkan suruh gua punya budak kasi pukul sama lu. Lu perempuan ma."

Yusra Dahliyaa tidak membalas. Kata-kata itu seperti angin lalu yang menyapa telinganya. Yusra Dahliyaa sedang runsing memikirkan bayaran sewa rumah memandangkan dia harus melunaskan yuran persekolah Rafi Huzaifa yang sudah lama tertunggak.

"Kalau bayar bagus, gua takkan cari pasal punya. Sekarang ni, semua bulan lu bayar banyak cun. Kalau amoi mahu pinjam, mei wenti (tak ada masalah), gua kasi itu bunga kecil sikit," ucap lelaki Cina itu lagi, cuba menabur janji manis.

Yusra Dahliyaa bingkas bangun. Dia tidak mahu berada di tempat tersebut untuk waktu yang lama. Tidak selesa kerana dikelilingi dengan orang yang berbadan besar dan berwajah bengis.

"Tak apalah, along. Saya nak balik dulu. Saya ada hal lain ni," ujar Yusra Dahliyaa.

Lelaki yang kelihatan seperti ketua antara mereka itu sedang menghisap rokok. Bergumpal asap keluar dari hidung dan mulutnya.

"Sudah mahu balik ke? Tak apa, gua suruh gua punya budak hantar amoi. Sekarang cuaca kat luar banyak panas. Kasihan sama lu kena jalan kaki. Alex, Richard, lu orang hantar ini amoi pergi mana yang dia mahu pergi."

"Tak apa, along. Saya boleh pergi sendiri. Lepas ni saya mahu jumpa kawan," tipu Yusra Dahliya.

Dia lebih rela berjalan kaki berpuluh kilometer daripada dihantar pulang oleh kedua-dua lintah darat itu.

"Ooo... itu macam ke? Okeylah, bulan depan kita jumpa lagi."

Yusra Dahliyaa hanya mengangguk dan tersenyum hambar. Dia segera beredar, lalu menuruni tangga kedai dua tingkat itu.

Memang begitulah ayat yang biasa dikeluarkan oleh lintah darat tersebut setiap kali mereka berjumpa. Tidak sudah-sudah meminta Yusra Dahliyaa meminjam wang daripadanya. Mati hidup semula sekalipun Yusra Dahliyaa tidak akan melakukan perkara itu.


LALUAN di koridor kedai dua tingkat kelihatan agak lengang pada petang itu. Motosikal milik Qhayrul dan Belut berada di laluan kaki lima kedai, menyebabkan orang yang lalu-lalang di situ terpaksa beralah dengan kenderaan mereka berdua.

Belut menyeluk poket seluar. Dia mengeluarkan kotak rokok yang baru sahaja dibelinya tadi. Dia mengambil, lalu mengemam sebatang rokok. Kemudian, Belut menghulurkan kotak tersebut kepada Qhayrul. Laju sahaja tangan rakannya itu menolak.

"Aku tak naklah. Kau kan tahu aku tak hisap rokok. Pencemaran udara," ucap Qhayrul.

"Pencemaran udara?" Belut tertawa sinis apabila mendengar alasan tersebut.

"Qhayrul... Qhayrul... Benda ni pun tak hisap. Bukannya aku suruh hisap dadah ke, bau gam ke," omel Belut.

"Aku tak hisap rokok, mak aku marah. Mak aku sakit pun sebab banyak sangat bau asap rokok daripada laki dia," tambah Qhayrul lagi.

"Mak kau dah lama meninggal, kan? Kau ni anak mak betullah."

"Memanglah aku anak mak, walaupun mak yang bela aku dulu tu mak angkat aku aje. Habis tu, kau tu datang dari mana? Dari langit? Bukannya daripada rahim mak kau?" perli Qhayrul.

Belut membetulkan kedudukan punggungnya yang berada di atas tempat duduk motosikal. Terasa sentap pula mendengar sindiran itu.

"Amboi, main kasar nampak. Aku gurau aje. Ni marah tak sudah sebab malam hari tu kalah dengan Todak ke?" teka Belut.

"Alamak, bau longkanglah mulut kau. Sakit telinga dengan hidung aku ni bila kau cakap macam tu. Pasal Todaklah aku jadi serabut. Apasal dia boleh menang malam tu? Main tipu ke budak ikan tu? Hangus terus duit aku."

"Dah nasib Todak nak menang malam tu. Nak buat macam mana?"

"Hangus tu satu hal. Bulan ni dah sesak macam nak lemas rasanya. Aku nak bayar hutang apek along judi tu lagi."

"Tulah. Siapa suruh main judi dengan apek along tu?"

"Manalah aku tahu. Mula-mula menang. Tak tahu pula makin lama makin tak ada ong. Hutang dulu tak selesai lagi. Masak aku bulan ni. Kalau aku tak main judi dengan apek tu, macam mana aku nak beranakkan duit aku? Dahlah aku tak kerja lagi ni."

"Tak payah nak serabut sangat. Aku tak kerja ni pun boleh hidup. Cuma kena cari mangsa, masa dengan tempat yang betul," ujar Belut.

Qhayrul memandang wajah Belut tatkala rakannya itu berkata sedemikian. Dia dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Belut. Dia tersenyum sejenak. Kemudian, pandangan Qhayrul meliar ke kawasan sekitar, memerhatikan gelagat orang yang berada di situ. Selang seminit, Qhayrul menguap.

Ketika itu, ada seseorang melintasi ruang penglihatan Qhayrul. Pandangan mereka sempat bertaut. Namun, cepat-cepat wanita itu menyekat perkara tersebut daripada terus terjadi. Meskipun menerima reaksi sebegitu, Qhayrul tetap meneruskan tingkahnya memerhati perempuan itu.

"Apasal kau tengok muka minah tu lama-lama?" tanya Belut setelah wanita tersebut berjarak tiga buah kedai dari kedudukan mereka.

"Boleh tahan cantik. Tapi, macam kerek aje."

"Cantik dengan kerek aje yang kau nampak?"

"Maksud kau?"

"Kau nampak tak apa yang aku nampak?" Belut mula menayangkan gigi.

Qhayrul melihat susuk tubuh itu sekali lagi. Diamemerhati dari atas hinggalah ke bawah. Kemudian, bebola matanya bergerak keatas semula. Pandangan Qhayrul terhenti pada bahu perempuan itu. Lantas, diamemandang Belut. Bibir Qhayrul menguntum senyuman penuh makna. 

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now