BAB 8

736 11 0
                                    

Irdina bersandar di kerusi yang diperbuat daripada kayu jati. Anak mata berwarna coklat hazel semula jadi itu memandang ke langit. Kerdipan bintang malam tersebut kelihatan malap.

Bunyi ngauman enjin motosikal Kawasaki Z1000 memasuki pekarangan rumah menghentikan lamunannya. Dia memandang ke kawasan garaj dari pondok kayu yang didudukinya. Irdina memerhati sahaja tingkah lelaki itu.

Isyraf menanggalkan jaket yang tersarung pada tubuh. Pandangannya hinggap di pondok gazebo apabila perasan lampu di situ menyala. Dia memandang pergelangan tangan. Jam tangan digitalnya menunjukkan pukul 11.38 malam. Isyraf menghampiri Irdina.

"Dah lewat, kenapa Ird tak tidur lagi?" soal Isyraf dengan nada mendatar.

Irdina mengukir senyuman. Dia melihat penampilan abangnya. Lengan kemeja sudah dilipat hingga ke separuh lengan. Tali leher bercorak garisan halus terletak longgar pada leher itu.

"Entah kenapa soalan yang Ird nak tanya ni lebih kurang bunyinya dengan soalan abang tu. Dah lewat ni, kenapa abang baru balik?"

"Patutlah ramai yang tak betul kat dalam dunia ni. Payah betul bila soalan dijawab dengan soalan. Kalau kat dalam dunia ni semua orang nak bagi soalan, siapa pula yang nak bagi jawapan?" balas Isyraf.

"Dari hari kelapan arwah abah pergi sampailah hari ni, hari ke-12, Ird baru nampak batang hidung abang. Nama aje menghirup udara yang sama, berpijak di bumi yang serupa, tapi langsung tak bertentang mata. Untuk jawapan pada soalan abang tu, Ird tengah tunggu abang balik. Sebab tu Ird tak tidur lagi."

"Memang dari dulu kita macam ni, kan? Jadi, takkanlah lepas abah pergi tiba-tiba nak jadi rapat pulak? Abang banyak kerja kat Warisan Wira. Banyak hal yang abang kena uruskan. Sebab tu abang balik lambat."

"Tapi, kenapa Ird rasa abang macam nak mengelak daripada Ird?"

"Kat rumah ni biasanya ada arwah abah dengan abang. Bila Ird ada, nak melangkah rasa canggung, nak bernafas pun rasa tak kena. Abang tak biasa," ujar Isyraf, berterus terang.

"Kenapa nak rasa canggung? Kenapa mesti rasa ada yang tak kena bila Ird ada kat rumah ni? Ird nak tanya, pernah ke abang anggap Ird ni adik abang?"

Isyraf mengeluh berat. Hari ini sehari suntuk dia menyelesaikan kerja pejabat yang tertunggak. Terasa penat menguasai jiwa. Isyraf merasakan pertanyaan itu bukan sahaja menyesakkan fikiran, malah lebih terbeban daripada kerjanya tadi.

"Abang nak naik dulu. Penat," ucap Isyraf, mahu mengatur langkah menuju ke dalam.

Irdina mengangkat punggungnya setelah mendengar balasan kata daripada Isyraf. Rasa tidak puas hati kerana Isyraf tidak menjawab pertanyaannya dengan tepat.

"Ird balik dari Perth bukan setakat kerana arwah abah aje, tapi Ird nak jernihkan apa yang keruh antara kita. Walaupun tak berkongsi ibu yang sama, Irdina Wira tetap berkongsi ayah yang sama dengan Isyraf Wira."

"Sama tak semestinya serupa, Ird. Abang tak paksa Ird pun supaya berbaik-baik dengan abang. Esok tak payah tunggu abang. Lusa baru kita jumpa masa pembacaan wasiat arwah abah."

Memang payah bila berbicara dengan Isyraf. Itulah sikap Isyraf sejak hari pertama Irdina dilahirkan. Dia bersikap dingin terhadap adik kandung sebapanya itu. Dia tidak membenci, namun entah mengapa terasa sukar untuk menerima kehadiran perempuan tersebut dalam hidupnya.

Isyraf merasakan tiada sesiapa yang boleh menggantikan tempat ibunya, Melati. Melati pergi meninggalkan mereka berdua setelah mengalami komplikasi buah pinggang sewaktu Isyraf berusia lapan tahun.

Ketika umur Isyraf mencecah sembilan tahun, tidak semena-mena Idrus Wira mengambil keputusan untuk memperisterikan Azreena, walhal pemergian Melati belum mencecah setahun.

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now