BAB 11

636 13 0
                                    

Suasana tegang semakin menyelubungi kamar mesyuarat itu. Masing-masing mendiamkan diri. Hanya suara Hamka yang kedengaran membacakan amanah Idrus Wira. Satu per satu rahsia yang tidak dapat dirungkaikan terbongkar.

"Baiklah, tadi bacaan untuk pembahagian aset dan hartanah peribadi arwah. Sekarang saya akan bacakan pengagihan saham Restoran Warisan Wira kepada waris yang tersenarai."

Sebelum meneruskan pembacaan, Hamka memerhati setiap wajah yang ada di hadapan matanya terlebih dahulu.

"Pemberian saham yang paling tinggi iaitu sebanyak 43 peratus diserahkan kepada Encik Isyraf Wira. Manakala pembahagian yang sama rata berjumlah 22 peratus dimiliki Cik Irdina Wira dan Encik Qhayrul Wira Azreen," ujar Hamka.

"43, 22 dan 22 baru berjumlah 87 peratus. Baki 13 peratus?" tanya Irdina.

"Baki 13 peratus tu adalah kepunyaan Puan Yusra dan Rafi. Puan Yusra memiliki 10 peratus dan baki milik Rafi Huzaifa. Memandangkan Rafi belum mencecah usia 18 tahun, Puan Yusra akan menjadi pemegang amanah untuk saham tersebut," sambung Hamka lagi.

"Kenapalah arwah abah saya baik hati sangat? Orang yang tak tahu mana datangnya, tiba-tiba dapat saham Warisan Wira? Untunglah. Tak tahu hujung pangkal, tiba-tiba aje dapat harta. Memang tak masuk akal," kata Isyraf dengan wajah tegang.

"Encik Isyraf, wasiat bermaksud ikrar seseorang yang dilakukan pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati. Islam menggalakkan dan mengharuskan umatnya supaya berwasiat dalam merancang harta.

"Namun demikian, wasiat tersebut hendaklah terhad kepada satu per tiga harta sahaja. Pihak yang akan mendapat manfaat daripada arahan pembahagian harta boleh terdiri dari kalangan waris atau bukan waris. Contoh bukan waris seperti anak angkat, badan amal atau kebajikan dan sebagainya. Sama juga kesnya macam arwah Tuan Idrus Wira. Saham yang akan jadi hak milik mereka bertiga tidak sampai satu per tiga daripada keseluruhan aset milik arwah. Jadi, pemberian ini sah," terang Hamka memandangkan dia dapat merasa jelaga kemarahan yang terbit dalam hati Isyraf.

"Encik Hamka, masalahnya abah saya ada anak kandung, saya dan Ird. Setahu saya, abah tak ada anak angkat. Sepanjang hidup saya, tak pernah sekali pun abah sebut nama orang luar ni. Tapi, tak tahulah kalau abah ada cerita dengan Ird," balas Isyraf yang masih mahukan penjelasan lebih mendalam.

"Dengan Ird pun abah tak pernah bercerita. Ird memang tak kenal dengan dia orang ni."

"Asalkan namanya orang dan pernah menghirup nafas di bumi ini, pasti ada rahsia. Orang gila pun ada rahsia. Mungkin ada sebab kenapa Tuan Idrus merahsiakan hal ini."

Qhayrul seboleh mungkin mengukir wajah tenang, walhal hatinya bagai mahu pecah kerana berdegup kencang. Peristiwa petang itu masih jelas di benak fikirannya.

"Encik Qhayrul, Puan Yusra, macam mana? Dari tadi diam aje. Ada apa-apa yang nak disuarakan?" tanya Hamka apabila tidak menerima sebarang reaksi daripada mereka berdua.

"Memanglah diam, sebab otak tu tengah fikir berapa banyak duit yang dia orang akan dapat. Betul tak?" perli Irdina.

"Encik Isyraf dan Cik Irdina, jauh dalam hati saya ni tak terniat langsung nak terima harta daripada orang yang saya tak kenal. Sepanjang hidup saya, saya memang tak pernah tahu siapa Tuan Idrus Wira. Saya juga langsung tak tahu-menahu akan saham yang arwah berikan kepada saya ni. Selama ni saya hidup dengan dunia dan laluan saya sendiri. Saya langsung tak terfikir akan muncul dalam keluarga Encik Isyraf dan Cik Irdina," bidas Yusra Dahliyaa.

"Kalaulah emas tu turun macam air hujan yang gugur dari langit, orang yang tak minta emas tu jatuh ke riba pun akan tadah tangan juga, kan?" kias Isyraf.

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now