BAB 3

1K 19 0
                                    

BUNYI deruman enjin motosikal Yamaha 125Z menyapa gegendang telinga pelanggan di sebuah warung. Qhayrul sengaja memulas pendikit kenderaan itu beberapa kali sebelum mematikan enjin. Sebaik sahaja stand motosikal diturunkan, dia menanggalkan topi keledar.

Tangan kiri Qhayrul memperkemas rambutnya yang pendek. Apabila sampai di bahagian tengkuk, rambut panjang berwarna perang pekat seakan-akan ekor rambut itu disisir kasar.

"Apa cerita tukang masak Restoran Wak Osman kedekut?! Muka masam aje, kena potong gaji ke?!" jerit Belut dari tempat duduknya.

Tatkala mendengar kata-kata Belut, Kucai tergelak. Apabila sampai di tempat duduk mereka, Qhayrul menghempas topi keledarnya di atas meja. Cepat-cepat tangan Belut dan Kucai memegang gelas mereka daripada bergolek.

"Main kasar nampak. Kang ada juga atas meja ni lauk belut masak cili. Kau pula Kucai, kena gaul dengan mi goreng. Bila aku balik nanti, aku kenyang sebab makan orang."

"Woo... Relakslah, der. Gurau aje pun," balas Kucai.

Qhayrul menarik kerusi yang kosong, lalu melabuhkan punggungnya.

"Abang, kasi sirap ais satu. Rasa panas sangat hari ni," pesan Qhayrul sambil tangannya mengibas bahagian dada baju.

"Apa cer, der? Kau datang sini, terus hembus aku dengan Kucai. Ada masalah ke?" tanya Belut disulami perasaan ingin tahu.

"Aku dah berhenti kerja kat kedai orang tua tu."

"Berhenti kerja?" soal Kucai, antara percaya dengan tidak.

"Senang cerita, aku kena buanglah," balas Qhayrul. Nadanya terselit perasaan geram.

"Aku dapat agak pasal apa pak lebai kedekut tu berhentikan kau. Tak ada hal lain ni. Mesti sebab kau curi duit dia, kan?" telah Belut.

Qhayrul membisu. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

"Ke sebab lain? Kau nak aku dengan Kucai ajar orang tua tu ke?"

"Tak payahlah. Memang aku ambil duit dia pun. Gaji dahlah tak besar mana. Kalau aku tahu, aku curi lebih sikit. Biar gugur semua rambut dia."

"Itu memang salah kaulah. Aku dah pesan suruh kau ambil sikit-sikit. Pandai makan, pandailah simpan," ajar Belut.

"Habis tu, apa yang aku simpan tu tak keluar ke, sengal? Bila dah keluar, mestilah ada yang kurang. Yang kurang tulah kena isi. Kalau tak, macam mana nak hidup?"

"Janganlah nak marah sangat, der. Cakap pasal isi ni, aku ada berita baik untuk kau," ujar Kucai.

"Berita baik?" Kening Qhayrul terangkat. Perasaan teruja terbit.

Belum sempat Kucai menyambung butir katanya, lelaki berusia lingkungan 30-an datang membawa minuman yang dipesan tadi. Qhayrul menyedut laju air tersebut sehingga separuh. Terasa lega ketika air sirap sejuk itu melalui tekaknya.

"Malam ni Todak ada buat tiga tiang kat dataran. Aku dengar ramai budak turun," beritahu Kucai.

Istilah tiga tiang bermaksud perlumbaan dalam kalangan mat rempit.

"Todak buat tiga tiang? Fuh, dah lama juga aku tak dengar cerita pasal si Todak ni. Sejak dia kalah dengan aku dua minggu lepas," balas Qhayrul.

"Aku dengar sebab kau dia buat tiga tiang ni. Kononnya dia nak tebus balik maruah dia yang kau dah pijak tu. Kali ni laluan memang gila wa cakap sama lu. Jalan kasi pusing sana, pusing sini. Kau tak tercabar ke?" tanya Kucai, sengaja mengapi-apikan keadaan.

"Peluang baik ni. Aku pun tengah ada duit nak letak," jawab Qhayrul. Jiwa mudanya mula membara untuk menyertai perlumbaan malam nanti.

"Der, aku suka kalau Todak buat tiga tiang. Ada hadiah ekstra tu. Mambang dia, pergh... Telan air liur aku tengok. Dah lama aku nak tanya kat kau orang. Bapa ayam ke apa si Todak tu?" soal Belut.

"Mamat tu memang banyak kaki. Kau tengok muka dia pun muka buaya tembaga. Perempuan memang senang lekat kat dia. Banyak duit siot," jawab Kucai.

"Pasal hadiah perempuan tu, aku tak kisah pun. Kau tahu kan aku tak main perempuan? Payah kalau dah terlajak. Aku lebih suka menang duit aje. Perempuan yang aku menang hari tu pun aku tak tahu dari mana. Daripada aku kena HIV tak tentu pasal, lebih baik aku tak payah rasa. Kalau cari padah juga, dah kira bunuh diri namanya tu."

Belut dan Kucai tergelak mendengar ayat-ayat yang terpacul dari bibir Qhayrul. Sememangnya perangai Qhayrul yang satu itu berbeza daripada mereka. Mana ada kucing yang menolak ikan yang sudah berada di hadapan mata?

Mustahil. Tapi, mustahil macam mana sekalipun, memang itulah satu sikap Qhayrul yang elok berbanding Belut dan Kucai yang perangai sudah serupa hantu.

"Kau ni memang suka tolak tuah. Orang dah bagi ayam golek siap ada madu, kau balun ajelah. Malam ni kalau menang, kau kasi aku hadiah ekstra tu," cadang Belut.

"Tuah kepala otak kau. Tak payahlah kau nak perempuan daripada Todak tu. Kalau kau dah terlajak, mengandung budak tu, kau nak bertanggungjawab ke?"

"Ustaz Qhayrul dah datang. Terus aku rasa nak pergi kedai cari kopiah dengan serban," sindir Kucai.

"Aku cakap benda yang betul. Aku malas nak tambah masalah dalam hidup aku ni. Yang aku tahu, aku nak menang duit tu malam ni," balas Qhayrul.

Jiwanya kian bersemangat. Peluang yang ada tidak akandilepaskan.

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now