BAB 7

878 20 0
                                    

AROMA nasi goreng kampung menyengat ke hidung Qhayrul. Dia menjinjing plastik berwarna merah yang mengandungi polistirena berisi makanan tersebut sambil melangkah keluar dari restoran itu. Plastik yang mengandungi teh ais pula dihalakan ke mukanya. Terasa enak air itu menuruni tekaknya.

"Wah, tauke, banyak syok minum itu air."

Tidak semena-mena ada suara yang menegur apabila Qhayrul tiba di tempat letak motosikalnya.

"Tauke macam ada wang aje. Kasi belanja kita dua oranglah," ucap lelaki yang seorang lagi.

Qhayrul menoleh. Melalui lampu jalan yang menerangi waktu malam, dia dapat melihat dengan jelas pemilik kedua-dua suara itu.

"Alex, Richard..."

Qhayrul terkejut dan kaku di situ. Plastik air yang berada di tangan terlepas.

"Qhayrul, lu nampak hantu ke?" perli Alex dengan pelat Cinanya.

"Alex, takkanlah lu nak buat kecoh dekat sini? Sini ramai orang ma," ucap Qhayrul, memberanikan diri untuk berbicara.

"Eh, ada ke gua cakap nak buat kecoh?"

Richard yang berada di sisi Alex melangkah perlahan menghampiri Qhayrul yang sudah menggelabah itu.

"Qhayrul, gua banyak lapar sekarang. Boleh gua tengok apa yang lu beli tak?" soal Richard, lalu tangannya merampas plastik yang digenggam oleh Qhayrul.

Qhayrul membiarkan sahaja. Telapak tangannya mulai sejuk. Tanpa rasa bersalah, Richard mengambil sudu dan menyuap nasi goreng tersebut ke dalam mulutnya.

"Richard, itu nasi tauke yang punya. Apa pasal lu yang makan?" tanya Alex dengan nada sinis.

"Ini tauke ada wang. Dia belanja gua makan. Ada wang beli nasi, takkan tak ada wang mahu bayar hutang along. Betul tak, Qhayrul?" sindir Richard pula, tangannya sudah menepuk-nepuk bahu Qhayrul.

"Richard, Alex, hutang gua dengan along, gua ingat nak minta tangguh."

"Apa? Tangguh ah? Masa lu pinjam dengan along, along kasi itu wang ada tangguh-tangguh ke?" aju Alex.

"Alex, ini benda boleh bincang."

"Bincang? Boleh, gua tak kisah punya. Tapi, bincang kat tempat terang tak syok. Gua tak suka tempat terang. Banyak gangguan. No privacy. Kita bincang tempat gelap sikit. Private and confidential. Baru eksklusif ma. Wa nak kasi hadiah sama lu pun senang."

Dahi Qhayrul sudah berpeluh. Dia seperti dapat mengagak apa yang akan berlaku sebentar lagi.

"Qhayrul, ini nasi gua sudah makan separuh. Lagi separuh lu makan. Baru orang cakap best friend forever. Jom, kita pergi belakang. Kasi bincang macam yang lu nak."

Richard menutup kembali polistirena itu, lalu memasukkan bekas tersebut ke dalam plastik. Plastik berwarna merah itu diletakkan ke dalam bakul motosikal milik Qhayrul.

Melihat tingkah itu, Qhayrul mengundurkan kakinya secara perlahan. Dia mahu melarikan diri. Malangnya, Alex dan Richard pantas bertindak. Mereka menarik tubuh itu sehingga ke lorong belakang kedai. Sebaik sahaja tiba, Alex dan Richard menolak tubuh lelaki itu ke timbunan sampah.

Qhayrul jatuh tersembam.


TOPI keledar yang tersarung lantas ditanggalkan. Qhayrul menghempaskan objek itu ke jalan raya sebaik sahaja tiba di garisan penamat.

Hatinya sudah diledak dengan perasaan marah dan tidak puas hati. Amarah Qhayrul semakin meluap-luap tatkala melihat Belut dan Kucai bersalaman dengan musuhnya. Sudah dua kali berturut-turut Todak memenangi pelumbaan yang dianjurkan secara haram itu.

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now