BAB 12

1.2K 22 8
                                    

Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa melangkah keluar dari bilik mesyuarat.

Isyraf dan Irdina sudah beredar terlebih dahulu. Mungkin sakit yang menjengah ke hati membuatkan mereka tidak mampu untuk berdepan dengan penerima wasiat lain dengan lebih lama.

"Puan Yusra?" panggil Hamka, turut melangkah keluar bersama Qhayrul.

"Saya minta maaf atas kejadian yang berlaku sebentar tadi," ucapnya dengan nada kesal.

"Sepatutnya saya yang minta maaf. Saya ni orang asing. Tiba-tiba aje dapat harta yang sepatutnya jadi hak milik mereka. Kalau saya ada kat tempat mereka, mungkin saya akan lakukan perkara yang sama," balas Yusra Dahliyaa.

"Puan dengan Rafi adalah penerima yang sah. Bukan pencuri yang tiba-tiba datang, lalu meragut dengan paksaan. Jadi, puan tak perlu nak rasa bersalah."

Hati Qhayrul seakan-akan ditusuk dengan duri tatkala ayat itu menembusi pendengarannya.

Yusra Dahliyaa tersenyum mengerti. "Saya fikirkan dulu hal ni, Encik Hamka. Semuanya terlalu mendadak buat saya."

"Boleh, Puan Yusra. Puan boleh hubungi saya bila-bila masa untuk bincangkan hal ni. Dan, pasal permintaan yang melibatkan puan dan Encik Qhayrul..." Hamka melihat Qhayrul dan Yusra Dahliyaa silih berganti.

"Saya harap awak berdua boleh pertimbangkan hal tersebut. Arwah memang harap sangat perkara tu akan terjadi," sambung Hamka.

Yusra Dahliyaa tidak menjawab. Qhayrul juga tidak membalas.

Apabila melihat reaksi mereka begitu, tangan Hamka singgah di bahu Qhayrul. "Kalau tak ada apa-apa hal lagi, saya nak minta diri dulu."

Qhayrul mengangguk perlahan sebagai tanda mengerti.

"Terima kasih, Encik Hamka," ucap Yusra Dahliyaa.

"Sama-sama, Puan Yusra."

Kaki Hamka melangkah. Tangannya sempat mencubit lembut pipi Rafi Huzaifa. Anak kecil itu tersenyum.

Yusra Dahliyaa mengambil keputusan untuk beredar dari pejabat Fakhrul Razi & Associate. Qhayrul terlebih dahulu melintasi dirinya. Perasaan geram dan penuh tanda tanya muncul ketika melihat tubuh itu dari belakang. Respons dan ekspresi Qhayrul terhadap dirinya seolah-olah mereka tidak pernah berjumpa.

"Tak sangka pula yang aku dengan kau akan jumpa sekali lagi," ucap Yusra Dahliyaa sebaik sahaja mereka berada di luar.

Qhayrul tersentak. Tidak menyangka Yusra Dahliyaa akan menegurnya terlebih dahulu. Perlahan-lahan dia berpaling.

"Kejadian petang hari tu pun aku tak sangka akan berlaku juga. Kau tak ada nak cakap apa-apa dengan aku ke?" sambung Yusra Dahliyaa lagi apabila mata mereka berdua bertaut.

Halkum lelaki itu bergerak. Memang makan dalam sungguh ayat yang terbit dari bibir itu.

"Pasal kejadian petang tu, aku memang tak ada niat nak cederakan kau. Aku buat macam tu pun sebab terdesak. Kau lupakan ajelah apa yang dah jadi. Lagipun beg tangan kau tu aku tak sempat ragut, kan?"

Mulut Yusra Dahliyaa sedikit terbuka, melopong. Terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Dia ketawa kecil dengan nada sinis. Perasaan tidak puas hati semakin membuak-buak.

"Orang cakap, makan boleh sebarang makan. Bila bercakap, tolong gunakan organ yang berada kat atas kepala tu. Hidup ni biar kurang makan, tapi bila dah buat salah kena minta maaf."

"Aku tahu aku salah, tapi aku tak sempat nak curi apa-apa pun, kan?"

"Dah berapa kali kau buat kerja tu? Dah berapa orang yang jadi mangsa ragut kau?"

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 24, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now