BAB 6

1K 15 0
                                    

"ASTAGHFIRULLAH al-azim," ucap Mizza sambil telapak tangannya ditekapkan ke dada. Dia terkejut mendengar cerita kawan baiknya itu.

"Aku bersyukur sangat tak ada benda buruk jadi kat aku. Takut juga kalau lelaki tu ada senjata. Katakanlah peragut tu ada pisau..."

"Isy, kau ni, janganlah cakap macam tu, Yusra. Aku bayangkan kejadian tu pun dah cukup ngeri dan seram." Mizza segera memintas kenyataan Yusra Dahliyaa.

"Masa kejadian tu, aku cuma ingat Rafi aje. Mizza, bukan senang aku nak cari duit. Memang orang cakap kita kena pentingkan keselamatan, tapi apa yang ada pada aku tu ajelah duit untuk aku besarkan Rafi. Kalau aku tak pertahankan, macam mana dengan Rafi? Aku tak kisah apa yang jadi kat diri aku, tapi aku tak nak kehidupan anak aku terjejas," ujar Yusra Dahliyaa.

Dia memandang Rafi Huzaifa yang sedang seronok bermain di ruang permainan di dalam restoran makanan segera itu.

"Yusra, keselamatan kau pun penting. Kalau jadi apa-apa kat kau, macam mana dengan Rafi?" aju Mizza.

Pandangannya ditala tepat ke wajah ibu tunggal itu. Rasa sayu dan simpati menjengah dalam jiwa Mizza. Jari-jemarinya menggenggam tangan Yusra Dahliyaa.

"Mujur kau tak apa-apa. Nasib baik kau ada belajar tae kwan do dulu. Berguna juga untuk masa kecemasan macam petang semalam. Kalau tak..."

Mizza tidak mampu menyudahkan bicaranya. Dia sekadar menggelengkan kepala.

"Aku boleh bertahan sampai sekarang sebab Rafi dan kau. Aku rasa aku tak mampu nak hadapi semua dugaan ni kalau kau dengan Rafi tak ada di sisi aku."

Mizza mengukir senyuman.

"Kau kawan baik aku. Kita dah lalui macam-macam sejak zaman universiti lagi. Aku kenal kau dengan arwah Ra'if dah lama. Kau jangan risau. Apa pun yang terjadi, aku tetap ada untuk kau."

"Terima kasih, Mizza. Aku minta maaf sebab dah banyak menyusahkan kau selama ni."

"Kau langsung tak menyusahkan aku. Kau pun dah banyak tolong aku. Kau lupa ke masa aku demam panas dulu? Siapa yang susah payah jaga aku kalau bukan kau? Balik aje daripada kuliah, kau tuam kepala aku ni dengan air batu. Siap belikan aku bubur, sup ayam. Lepas tu, kau berjaga malam masa aku muntah-muntah. Aku ingat sampai hari ni tau."

Mizza meleraikan tautan tangan mereka, lalu mencapai cawan kertas yang terletak di atas meja. Air berkarbonat berbaki separuh dihirup. Kentang goreng yang sudah sejuk dikunyah laju.

"Tak seberapalah apa yang aku buat dulu dengan apa yang kau buat pada aku sekarang."

"Sama ajelah. Dahlah, jangan difikirkan sangat. Sekarang ni betul ke kau tak nak buat laporan polis? Kau cam tak muka peragut tu? Kalau aku ada kat tempat kau, aku biarkan aje peragut tu kena langgar dengan kereta."

"Tak apalah. Harap-harap dia dah insaf. Entahlah, aku pun tak tahu kenapa aku boleh selamatkan dia. Mungkin sebab kejadian petang semalam tu hampir sama dengan kejadian enam tahun lepas."

Riak muka Yusra Dahliyaa tidak seperti tadi. Layar fikirannya menayangkan kembali peristiwa petang semalam dan enam tahun yang lalu. Yusra Dahliyaa menundukkan kepala.

"Kau janganlah sedih macam ni. Apa yang berlaku, ada hikmah yang Allah nak kasi. Kau adalah orang yang tabah dan kuat yang pernah aku kenal."

"Insya-Allah, Mizza."

"Habis tu, macam mana dengan sewa rumah kau bulan ni?"

"Aku pun tak tahu. Kau kan tahu tiap-tiap bulan aku bayar 650 kat lintah darat tu. Hari tu pun cikgu Rafi dah minta duit yuran bulanan. Nak tak nak aku kena bayar juga walaupun sikit," luah Yusra Dahliyaa.

"Bila kau sebut pasal arwah Ra'if dengan si lintah darat tu, sampai sekarang aku tak percaya yang Ra'if boleh pinjam duit dengan along tu."

"Lepas kahwin, hidup kita orang susah, Mizza. Aku tahu niat dia nak sara aku. Ra'if bersusah payah cari duit siang dan malam sebab nak menampung kehidupan kami masa tu."

Memori Yusra Dahliyaa terus mengundur ke masa lalu. Sehingga kini, dia belum mampu untuk melupakan arwah suaminya.

"Aku dengan dia, tak sempat nak habiskan pengajian. Apa yang Ra'if mampu cuma kerja biasa-biasa aje. Bila kawan dia ajak berniaga, dia pun cari modal. Nak cepat dapat duit, tu yang dia pinjam dengan along tanpa pengetahuan aku. Tapi, tak sangka pula kawan sanggup makan kawan," terang Yusra Dahliyaa walaupun rakannya itu sudah mengetahui kisah tersebut.

Mizza mengambil dompet yang berada di dalam beg tangannya. Dia mengeluarkan lapan keping wang kertas RM50, lalu diletakkan di atas meja. Setelah itu dia memasukkan semula dompetnya ke dalam beg.

"Mizza, kenapa kau..."

Tidak sempat Yusra Dahliyaa menamatkan bicara, tangan Mizza sudah bergerak terlebih dahulu. Kepingan wang kertas itu diseret agar menghampiri kedudukan Yusra Dahliyaa.

"Yusra, ini aje yang aku boleh tolong kau. Dengan duit ni, kau bayar sewa rumah kau untuk bulan ni."

"Mizza, apa ni? Hutang kau yang lepas pun aku tak boleh nak bayar lagi. Tak payahlah."

Yusra Dahliyaa segan unuk menerima wang tersebut. Hatinya sudah dirundung perasaan bersalah. Sudah banyak kali Mizza membantunya dari segi kewangan.

"Tak apa, kau ambil aje. Bulan lepas punya sewa pun kau tak bayar lagi, kan? Kalau bulan ni kau tak bayar, mahunya kau kena halau. Bila dah kena halau, kau nak duduk mana? Yuran bulanan tadika Rafi dengan day care aje dah 500. Dengan duit perbelanjaan harian kau pergi kerja, bil lagi, duit makan kau anak-beranak, mana cukup dengan baki yang kau ada tu. Lagipun Rafi dah macam anak aku juga."

"Mizza, aku..."

"Tunggu kau kahwin dengan anak orang kaya, baru kau bayar duit aku yang lepas-lepas tu. Bukan kau yang minta, aku yang nak kasi ni." Mizza segera memintas kata-kata itu.

Yusra Dahliyaa membisu untuk seketika. Hatinya tersentuh dan jiwanya dihurung perasaan terharu. Begitulah sifat Mizza Ilyana sejak dulu. Sentiasa menghulurkan bantuan meskipun Yusra Dahliyaa tidak pernah meminta.

"Mizza, aku tak tahu..."

"Aku tahu kau nak cakap apa. Kau tak payah nak hutang budi sangat dengan aku. Apa yang aku mampu, aku akan tolong. Setakat ni belum luak apa-apa lagi dalam hidup aku ni bila aku tolong kau. Allah makin tambahkan rezeki aku adalah."

"Terima kasih, Mizza."

Mizza dapat melihat perubahan mata Yusra Dahliyaa. Ada manik jernih sedang bertakung.

"Sama-sama. Kalau kau nak balas juga, kau doakan aku supaya cepat dapat jodoh. Dapat suami mat salih ke," gurau Mizza, tidak mahu kabus kesedihan terus menyelubungi suasana.

Yusra Dahliyaa tertawa mendengar permintaan itu.Cepat-cepat dia menyapu air mata yang gugur ke pipi.

AKU ADA BILA PERLUWhere stories live. Discover now