BAB 1

463 7 0
                                    

LOCENG bilik berbunyi berkali-kali. Bingit. Shou pantas menarik zip beg pakaian sehingga tertutup rapat, sebelum melompat turun dari atas katil dan berkejar ke pintu bilik. Wajah Black tersembul dari balik daun pintu yang dikuak. Lebar senyuman kawan baiknya itu.

"Ingatkan room service tadi," gumam Shou, separuh mengeluh.

"Room service apanya awal pagi." Black mengejek.

Shou mengangkat bahu. Dia berganjak dari muka pintu untuk memberi laluan kepada Black masuk ke dalam bilik.

"Dah siap packing?' tanya Black.

Bungkusan plastik yang dipegangnya dihulurkan kepada Shou.

"Belum," geleng Shou.

Dia menyambut huluran plastik putih itu. "Apa ni?"

"Kuih bongkol. Kau mesti tak makan lagi kan. Makan sikit sebelum ke airport. Rabitah bungkuskan untuk Teja Dahlia sebenarnya. Banyak sangat pula," beritahu Black.

Shou tersenyum senang. Kuih itu boleh mengalas perutnya ketika menunggu penerbangan di lapangan terbang. Boleh makan selepas mendaftar masuk nanti.

Dia tidak sempat turun bersarapan di restoran hotel tadi. Selepas subuh, dia sambung tidur. Mahu melegakan penat badan apabila semalaman sibuk sebagai pengapit pengantin Rafi. Pulang ke hotel pun sudah jam 2.00 pagi. Dia tidur mati sehingga ke subuh, kemudian sambung tidur sehingga ke lewat pagi selepas solat.

Sesudah mandi tadi, baru dia bergegas mengemaskan baju untuk pulang ke Kuala Lumpur. Penerbangannya dijadualkan berlepas sekitar jam 12.00 tengah hari.

Black menarik sebuah kerusi dan melabuhkan duduk.

"Teja mengidam?" tanya Shou.

Plastik putih itu diletakkan di atas meja. Dia perasan, Teja Dahlia yang merupakan isteri Black suka sangat makan kuih bongkol itu semalam.

"Tak," geleng Black. Dia kemudian tersenyum.

"Tapi, kalau ya, alhamdulillah. Berakhir juga penantian kami selepas dia gugur dulu. Selepas berjaya menjadi suami orang, dah tentu aku mahu jadi bapa orang. Fahmi pun asyik bertanya bila kami nak berikan dia seorang adik."

Shou turut tersenyum, mengerti. Black pasti berharap akan mempunyai anak sendiri sebagai penyambung waris, biarpun telah ada anak angkat tempat mencurah kasih. Rafi yang baru berkahwin pun pasti mahukan perkara yang sama.

Dia pun sama.

Sebotol air soda dari atas meja di tepi dinding dicapai. Kemudian dia duduk di atas katil di sebelah begnya.

"Kau macam mana pula?" tanya Black sewaktu dia membuka penutup botol.

"Macam mana apanya?" Shou bertanya kembali walaupun sudah tahu ke mana hala tuju bicara Black nanti.

Botol soda dibawa ke mulut. Dia meneguk isi botol sehingga habis. Rasa dingin dan manis memansuhkan rasa kering tekak.

"Aku dan Rafi dah jadi suami orang. Kau tu bila lagi? Ingat sikit, umur kau tu dah lebih 30 tahun." Black mengusik.

"Kau datang ke bilik aku semata-mata nak tanya benda ni ke?" ejek Shou.

Black tersengih.

Shou menggeleng. Botol kosong di tangan dibaling ke dalam tong sampah di sudut bilik hotel. Dia kemudian bangun daripada duduknya. Masa untuk menukar pakaian dan pergi ke lapangan terbang.

Rafi sedang menunggu mereka di lobi hotel. Isterinya tidak datang bersama.

"Teja tak ikut?" tanya Rafi sambil mencapai beg baju Shou.

TIDAK KULEPASKANWhere stories live. Discover now