BAB 4

239 4 0
                                    

LANGIT masih tiada tanda-tanda hendak berhenti daripada mencurahkan isi perutnya. Bumi Bangsar kian lencun. Juli mengeluh buat sekian kali. Beg plastik berisi barangan dapur dipeluk erat buat menahan kedinginan yang kian menusuk.

Dia mahu segera pulang ke rumah. Tidak mahu tersadai lama di luar pasar raya tatkala ada tarikh akhir kerja yang perlu disiapkan segera. Kalau tidak kerana perutnya berkeroncong lapar dan peti sejuk kosong, dia tidak akan datang ke pasar raya ini. Achik Liah yang tiba-tiba bercuti kerana ada hal kecemasan membuatkan dia terpaksa menguruskan segalanya sendirian.

Sekali lagi kepalanya didongak ke langit. Hujan nampaknya makin lebat. Bahkan langit semakin kelam. Silap-silap dia boleh tersadai selama sejam lagi.

Habislah! Juli menghembus nafas resah. Dia sudah berjanji hendak mengirimkan bahan yang sudah diterjemah sebelum jam 1.00 tengah hari. Kalau tersadai lama, kerja mungkin tidak akan siap. Dia mungkin kehilangan kepercayaan pelanggan tetapnya. Tak boleh jadi!

Dia mengumpul nafas, juga mengumpul tekad. Kemudian dia meluru ke kereta yang diparkir tidak jauh dari pasar raya itu. Titis kasar hujan tidak dipedulikan walaupun nanti badannya mungkin akan demam. Tergesa-gesa dia menyelongkar beg tangan untuk mencari kunci kereta. Lambat pula hendak menemui kunci itu.

Titis hujan kini sudah meresap ke dalam material pakaiannya. Blaus yang dipakai kini lencun. Rambutnya juga sudah basah.

"Damn!" Juli menyumpah apabila kunci masih belum ditemui sedangkan sanggul rambutnya kian terburai.

Kemudian, tiba-tiba sahaja titis air hujan tidak lagi menikam kasar badannya. Dia terpinga-pinga seketika, sebelum menyedari dia dipayungi seseorang. Apabila memandang ke sisi, seorang lelaki yang bermata tajam tersenyum kepadanya.

"Relaks. Ambil masa you untuk cari kunci kereta." Lelaki itu bersuara lembut.

Juli diam. Tangan kembali menyelongkar beg tangan. Kunci kereta tetap tidak ditemui. Bibir segera melepaskan rasa hampa.

"Dah cari dalam poket seluar?" Lelaki itu mencadangkan tempat pencarian baharu.

Segera Juli meraba poket seluar kiri. Tiada. Poket kanan juga kosong. Tangan kemudian beralih menyeluk poket belakang. Dia mengeluh lemah sewaktu menarik segugus kunci dari poket itu.

"Terlupa," desisnya apabila senyum lelaki itu lebih lebar berbanding tadi.

Hmm, rasa seperti pernah berjumpa lelaki itu sebelum ini. Tapi di mana?

"Thanks," getusnya. Tangan segera menekan punat kereta.

"Terima kasih juga untuk kebaikan awak," balas lelaki itu.

Tidak jadi Juli melangkah masuk ke dalam kereta. Dia kembali memandang wajah di hadapannya. Raut yang tegas. Berkulit gelap. Tulang pipi tinggi. Dahi luas. Dagu tirus.

"I kenal you ke?"

Jadi, betullah mereka pernah berjumpa. Matanya menyorot lelaki itu. Penampilannya ringkas. Tetapi ulas otot yang terselindung di sebalik baju tee jelas pada pandangan.

"Kita tak pernah kenal, tapi pernah berjumpa," jawab lelaki itu.

"I malas nak berteka-teki sekarang ni. Bila dan di mana kita berjumpa ya?"

Lelaki itu menyeluk poket seluar. Sepapan Panadol dikeluarkan dan dihulurkan.

"Ya Allah!" Juli ingat kini.

Lelaki ini adalah lelaki yang dibantunya di lapangan terbang tempoh hari. Selepas membawa lelaki itu ke medan selera dan membayar harga makanan serta meninggalkan sepapan Panadol, dia terus berlalu pergi. Sedikit pun tidak memperkenalkan diri atau bertanyakan nama lelaki itu.

TIDAK KULEPASKANWhere stories live. Discover now