BAB 10

198 7 0
                                    

RATNA menjulingkan mata ke atas selepas Shou menamatkan laporan.

"You tak perlulah risau sangat perihal Juli rapat dengan Rozman tu," ujar Shou. Reaksi Ratna tidak dipedulikannya.

"So, dia nak tinggalkan kekasih dia, lalu minta tunang I menyamar sebagai skandal dia." Ratna kemudian menyimpulkan apa yang diberitahunya tadi.

Shou mengangguk. Segala-galanya sudah diceritakan kepada Ratna. Cuma dia tidak memberitahu Ratna yang Juli hilang ingatan sekarang. Realiti dan ilusi berbaur. Dalam ingatan palsu Juli, situasi itu adalah realiti dan Syed Rozman pula sudah tertukar kepada dirinya.

"Kenapa dia pilih tunang I? Kenapa tak cari lelaki lain? You pun boleh diupah untuk menyamar sebagai skandal dia." Ratna bersuara geram.

"Dia perlukan seseorang yang tidak akan jatuh cinta dengan lakonan manjanya dan belaian mesranya," balas Shou.

"Walaupun sekadar lakonan, antara mereka ada rasa percaya yang kuat. Kalau tak, Juli takkan pilih Rozman sebagai rakan subahat dia. Tunang I tu pun satu, tak berbincang hal ni dengan I langsung." Ratna masih lagi bersuara geram.

"Sebab you takkan benarkan." Shou bersuara serius.

Bulat mata Ratna memandangnya. Ratna kemudian mengeluh lemah. Gadis yang berwajah tegang itu tersandar di kerusi yang diduduki.

"Sebab I tak nak rasa percaya tu berkembang menjadi rasa cinta." Ratna kemudian bersuara tegas.

Shou ketawa kecil. Nampak sangat Ratna adalah perempuan yang penuh dengan curiga. Pasti Syed Rozman sentiasa sakit kepala hendak melayan kerenah Ratna.

"I takkan lepaskan Rozman kepada mana-mana perempuan." Ratna terus bersuara.

Posesif! Perangai perempuan ini yang membuatkan sesetengah lelaki rasa gerun.

"Jadi, I akan pastikan hanya I yang menjadi milik Rozman. Kerana dia adalah jodoh I yang I inginkan sehingga ke jannah."

Nyaris Shou tergelak. Bicara Ratna mengalahkan skrip drama atau ayat-ayat cinta dalam novel.

"Dan tugas you." Jari Ratna dituding ke mukanya.

"Pastikan Juli tu hanya tumpukan perhatiannya kat you macam yang you janjikan. I tak peduli kalau dia jatuh cinta dengan you. Yang penting, I tak nak nampak dia berada di sisi Rozman lagi." Tegas Ratna mengingatkan pada kemahuannya dahulu.

Hati Shou jadi galau. Juga keberatan. Buatnya dia berjaya membuatkan Juli jatuh cinta dengannya, kemudian ingatan Juli pulih dan cinta itu pula tidak hilang, tidakkah hati Juli akan terluka?

"I serius ni. Kalau you tak nak tengok I ganyang Mek Di tu, pastikan dia jauh daripada Rozman." Ratna memberi amaran.

Darah Shou spontan mendidih. Marah. Bukan kerana hati Juli kini menjadi pertaruhan. Atau Ratna yang seperti hilang pertimbangan mahu dia menjadi seorang lelaki yang tiada perasaan. Tetapi, kerana Ratna yang perempuan hendak membuat dajal terhadap perempuan lain.

"I ke bilik air sekejap," ujar Shou.

Segera dia bangun daripada duduknya. Dia mahu mencuci muka untuk meredakan kemarahannya. Kemudian, dia mahu memikirkan bagaimana hendak menolak kemahuan Ratna tadi.

Pusing sahaja ke belakang, matanya terpandang Juli yang tadinya ditinggalkan di ruang makan bersama Tok Ayah Ali, Tok Inah dan Syed Rozman. Gadis itu sedang melangkah ke arah meja mereka.

Berderau darahnya. Kenapa Tok Ayah Ali membiarkan Juli keluar rumah pula, sedangkan mereka sepakat mahu Juli tinggal di rumah selagi situasi dirasakan tidak selamat. Apabila memandang Ratna, dia melihat wajah gadis itu keruh.

TIDAK KULEPASKANWhere stories live. Discover now