BAB 8

209 4 0
                                    

WALAUPUN badan terasa penat sangat, matanya enggan lelap. Shou mengeluh lemah sewaktu menolak selimut ke tepi. Kaki dilabuhkan ke lantai yang sejuk. Dia membongkok ke bawah ottoman panjang yang menjadi tempat tidurnya. Menjenguk skrin telefon yang diletakkan di lantai.

Waktu sudah melewati pukul 2.00 pagi.

Kalau Juli mengalami amnesia, dia pula seperti mengalami insomnia.

"Padan muka kau." Dia mengejek dirinya sendiri sambil menegakkan badan.

Kalau mata payah hendak lena, lebih baik dia melakukan sesuatu sehingga kantuk datang. Segera dia berjalan ke pintu. Mahu mengambil angin malam. Mana tahu, badannya menjadi segar sedikit dan penatnya hilang. Kira badannya mendapat rehat juga walaupun jumlah waktu tidurnya kurang.

Dari bilik belakang itu, dia menyusur perlahan di tepi rumah. Harap-harap tiada jiran Juli yang terlihat lantas beranggapan dia adalah penceroboh. Kemudian, dia sampai di penjuru rumah yang menghadap ke halaman. Halaman itu diterangi oleh lampu balkoni yang memang selalu dibuka pada waktu malam. Langkahnya terhenti di situ.

Ada orang di balkoni bilik Juli. Segera dia mengamati. Ternampak Juli sedang bersandar di balkoni. Mata Juli merenung langit yang kosong. Seperti mencari memori dan emosinya yang hilang di situ.

Dia tidak mahu mengganggu Juli. Segera dia berpaling ke arah laluan yang digunakannya tadi.

"Shou."

Namanya dipanggil sebelum sempat dia melangkah. Dia kembali memandang Juli yang sudah menyedari kehadirannya di penjuru rumah.

"Kenapa you tak tidur lagi?" Juli yang kini sedang merenungnya, bertanya.

Shou tersenyum pahit. Memang dia berharap sangat dapat diulit mimpi indah setelah penat dek terkejar-kejar menguruskan hal keretanya yang masuk bengkel serta mencari orang untuk membaiki pintu pagar rumah Juli.

Bahkan penat lebih terasa apabila sentiasa kena berwaspada agar tiada bicara atau tindakannya yang boleh membuatkan mood Juli kembali haru-biru. Tambah lagi, dia terpaksa membantu Tok Ayah Ali dan Tok Inah untuk menerangkan beberapa perkara kepada Juli.

Daripada tidak tahu serba sedikit tentang Juli, kini dia tahu banyak perkara tentang gadis itu. Yang pasti, Tok Ayah Ali sedia maklum dengan reputasi Juli sebagai seorang penggoda.

"You pun, kenapa tak tidur lagi?" Dia kemudian bertanya kembali sambil berjalan ke bawah balkoni.

Biar rapat dengan Juli, walaupun terpaksa menahan sengal di leher tatkala mendongak.

"Temankan I. Biar I buka pintu," pinta gadis itu, tidak mempedulikan soalannya.

Shou mengangkat kening. Sekarang, Juli mengajaknya duduk berdua. Jauh berbeza ketika siang tadi apabila Juli enggan duduk semeja untuk makan bersama. Bahkan enggan memberikan senyuman kepadanya. Tetapi, dia menggeleng.

"Tak perlu."

"Tak perlu?" Juli kedengaran hampa.

"Tak perlu buka pintu." Shou bersuara lembut.

Juli nampaknya salah sangka bahawa dia tidak sudi menemaninya berbual.

"Tak perlu?" Juli kini terpinga-pinga.

"Sekejap," balas Shou lalu menanggalkan selipar.

Ada tingkap bersama struktur belebas yang dibina selari dengan balkoni. Sesiapa sahaja boleh memanjat naik ke situ kalau berani. Tangkas dia memanjat naik dengan berpaut pada belebas itu. Harap-harap Tok Ayah Ali yang tidur di bilik sebelah tidak terjaga dan melihat perbuatannya. Mana hendak diletak mukanya esok hari.

TIDAK KULEPASKANWhere stories live. Discover now