BAB 7

203 5 0
                                    

NASI dan lauk-pauk yang dimasak Shireen semalam dipanaskan untuk sarapan paginya. Kasihan juga Shou kepada Shireen yang menantinya sehingga ke maghrib semata-mata untuk makan malam bersama semalam. Shireen beredar pergi apabila dia tidak pulang sekalipun sudah mencecah waktu isyak.

Dia makan dengan pantas. Sedap juga masakan Shireen. Selalunya masakan Shireen rasa biasa-biasa sahaja. Agaknya Shireen memperbaiki kemahiran kulinarinya dengan berlatih di belakang kuali. Praktis untuk menjadi seorang isteri.

Selesai makan, dia terus mencapai beg pakaiannya dan bergegas ke hospital. Harap-harap mood Juli sudah okey pada hari ini. Tidak lagi bermuka masam dengannya. Dia tidak mahu perjalanan ke rumah Juli penuh dengan hiruk-pikuk amukan Juli.

Hari ini, hari pertama dia menjadi kekasih Juli.

Masuk ke dalam bilik wad Juli, dia melihat Tok Ayah Ali sedang duduk di hujung katil. Mata lelaki itu merenung Juli yang sedang tidur.

"Tok ayah dah makan?" Shou bertanya khabar Tok Ayah Ali.

Rendah sedikit nada suaranya. Tidak mahu mengganggu Tok Inah yang sedang menunaikan solat duha di penjuru bilik dan menyebabkan Juli terbangun daripada tidurnya. Di atas kerusi di tepi pintu, terletak sebuah beg kecil berisi barangan Juli yang dibawa dari rumah semalam.

"Mu pergi tanya soalan tu kepada Juli. Tak usah gaduhkan aku. Hah! Dia tu nampak aje macam tidur, tapi bukannya tidur pun. Berjauh hati, sebab mu tak datang ke sini awal-awal hari. Mu ni, macam sengaja nak cari pasal dengan dia," jawab Tok Ayah Ali. Bibirnya dimuncungkan kepada Juli.

Shou tersenyum lucu. Hendak awal setakat mana. Sekarang baru pukul 10.00 pagi. Baginya sudah awal. Tetapi, Juli memang membuatkan semua orang menjadi huru-hara. Selepas berhadapan dengan amukan Juli yang menuduhnya curang semalam, dia dan Tok Ayah Ali sama-sama mendengar penerangan doktor mengenai amnesia.

Kata doktor, Juli mungkin mengalami retrograde amnesia. Semua atau separuh ingatannya terhadap masa lampau hilang, tetapi dia boleh mengingati masa sekarang. Situasi ini boleh bersifat sementara, kekal atau progresif.

Shou dapat menerima penjelasan itu. Tetapi dia tidak boleh menghadam kenapa ingatan Juli menjadi herot. Tiba-tiba sahaja dia menjadi seseorang yang paling akrab dengan Juli. Harap-harap amnesia Juli hanya sementara. Dia tidak mahu sentiasa diburu rasa bersalah.

Yalah, disebabkan dia Juli terhantuk pada batu walaupun niatnya hanya hendak melindungi gadis itu. Sekarang, dia akan berbuat apa sahaja untuk memulihkan keadaan Juli. Termasuk menjadi kekasih sementaranya.

"Mana beg baju mu?" tanya Tok Ayah Ali.

"Dalam kereta," beritahu Shou.

Mata masih memandang Juli yang berbaring kaku. Hari ini, dia akan berpindah masuk ke bilik di belakang rumah Juli. Pakaian untuk kegunaan seminggu dan peralatan peribadi sahaja yang dibawa. Juli sebenarnya tidak bersetuju, tetapi terpaksa akur dengan rancangan Tok Ayah Ali.

"Masih teragak-agak?" Tok Ayah Ali bertanya.

"Saya bukannya seseorang daripada kenangan lampau dia. Juga bukan seseorang dalam hidupnya pada masa ini. Singkat sangat pertemuan kami. Jadi, kami ni orang asing lagi sebenarnya." Shou bersuara perlahan.

Tok Inah yang sudah selesai mengerjakan solat sunat duha masih berteleku di sejadah.

"Mungkin mu akan jadi matlamat dia pada masa akan datang," balas Tok Ayah Ali.

"Tak mungkin," geleng Shou.

Matanya beralih memandang Tok Ayah Ali. Pertama kali dia melihat senyum Tok Ayah Ali yang tidak beralas sinis.

TIDAK KULEPASKANWhere stories live. Discover now