BAB 2

357 5 0
                                    

LEGA Shou apabila melihat klien yang bernama Ratna itu sedang mundar-mandir di hadapan pejabat kecilnya. Ratna setia menanti sekalipun dia terlewat setengah jam dari waktu yang dipersetujui walaupun wajah gadis itu jelas cemburut.

Pasti penting dan besar tugasan yang Ratna mahu berikan kepadanya kalau Ratna begitu sabar menanti.

"Maaf, I terlambat. Mari masuk," ajak Shou.

Dia segera membuka kunci pintu pejabat dan melangkah masuk. Lampu dibuka. Ratna diam mengekorinya di belakang. Pewangi yang dipakai gadis itu membuatkan kepalanya kembali berpusing. Pening kepalanya masih bersisa sekalipun tadi dia sudah menelan sebiji Panadol.

Pendingin hawa dihidupkan. Beg pakaiannya pula disandarkan di dinding pejabat berdekatan dengan pintu.

"Kita berdua saja," beritahunya ketika berjalan ke meja.

Semasa dia bercuti, pekerjanya yang seramai lima orang itu pula membuat aktiviti perkhemahan untuk merapatkan ikatan sesama mereka. Indera, orang kanannya merangkap penyelia pekerja sudah menghantar gambar perkhemahan itu kepadanya semalam.

"Jemput duduk." Dia mempelawa.

Kerusi yang tersorong di bawah meja ditarik untuk Ratna duduk. Sengaja dia memberikan layanan istimewa demi mengambil hati klien yang menunggu lama tadi.

Ratna terhenyak duduk di kerusi dengan kasar.

Shou arif dengan bahasa badan itu. Nyata ada kemarahan yang ditahan. Sama ada marahkan kelewatannya atau serabut dengan beban yang ditanggung sehingga memerlukan bantuannya.

"Minum?" Dia bertanya, menawarkan sesuatu untuk menebus kelewatannya.

Ratna yang kini bersandar di kerusi segera menggeleng.

Shou tidak jadi membuka pintu peti sejuk kecil di penjuru pejabat. Terus dia duduk di hadapan Ratna. Telefonnya dikeluarkan. Terpandang mesej WhatsApp yang baru diterima daripada Shireen.

Dia membaca mesej itu dengan pantas. Shireen mengajaknya pergi menonton sebuah persembahan drama yang diuruskan oleh tempat kerja gadis itu. Hmm, rasanya tidak penting pun hendak melayan kemahuan Shireen yang semakin menuntut perhatian daripadanya. Segera dia membalas untuk menolak.

Mod rakaman telefon dihidupkan. Kemudian, buku nota dari dalam laci dikeluarkan. Pensel dicapai dari bekas di penjuru meja.

"Boleh kita mula?" soalnya. Mata merenung wajah yang masih cemberut.

Lagi cepat dia tahu apa mahunya Ratna, lagi cepat dia dapat pulang dan berehat untuk meredakan pening kepalanya. Mujur kediamannya terletak dekat dengan pejabat.

Tangan sempat meraba poket seluar. Sepapan Panadol yang masih banyak berbaki masih ada di situ. Kalau pening tidak surut, dia akan menelan sebiji lagi Panadol seperti yang disuruh gadis yang memberikan Panadol itu kepadanya.

Entah anak siapa yang baik sangat itu.

"I syak tunang I, Rozman ada skandal di belakang I." Ratna mula bercerita.

Shou terangguk-angguk. Nama ROZMAN ditulis ke dalam buku. Rasanya ini masalah biasa sahaja. Perkataan CURANG ditulis besar-besar di sebelah nama Syed Rozman.

"Macam mana mereka kenal?" Dia terus bertanya untuk mengorek cerita lanjut.

Wajah masam Ratna kembali ditatap. Silap-silap, dia kena hadap kemarahan Ratna apabila kena bercerita perihal orang yang menyakitkan hatinya.

"Mereka kawan baik."

Shou senyum sinis. Memang betullah kata orang. Tiada istilah kawan baik antara seorang lelaki dan seorang perempuan pada mata seorang perempuan lain.

TIDAK KULEPASKANWhere stories live. Discover now