BAB 9

183 5 0
                                    

DARI luar lagi, sudah kedengaran suara Juli yang lantang seperti memarahi seseorang. Masuk sahaja ke dalam rumah, suara Juli kian jelas kedengaran. Pagi-pagi lagi suasana sudah bergelora.

"Dia baru saja mula mengamuk. Barangnya hilang. Achik Liah yang kena marah tu." Tok Ayah Ali yang sedang meletakkan sepinggan cekodok pisang ke atas meja di ruang makan memberitahunya.

"Begitu," gumam Shou yang tidak berganjak dari hadapan pintu rumah.

Matanya memandang ke tingkat atas. Harap-harap amukan Juli cepat reda. Kalau berterusan, Juli mungkin akan moody sepanjang hari. Ada sahaja yang tidak kena nanti. Dia perasan Tok Ayah Ali memandangnya.

"Mu tunggu apa lagi di situ? Pergilah tengok-tengokkan dia. Pujuk dia," ujar Tok Ayah Ali, menyerahkan tugas memujuk dan menenangkan Juli kepada Shou.

"Saya nak keluar. Ada hal. Dah lambat ni. Lagipun, saya mana pandai ambil hati dia," geleng Shou sambil mencapai tombol pintu. Dia sudah berjanji untuk menemui Ratna di Bangsar South.

"Malam tadi bukan mesra lagi mu dengan dia bersembang di balkoni. Siap dia mahu mu jadi kekasih dia. Tu pun mu masih kata mu tak pandai ambil hati dia," balas Tok Ayah Ali.

Shou terdiam. Rupanya Tok Ayah Ali mendengar perbualannya dengan Juli. Ingatkan segala butiran bicara menjadi rahsia dia dan Juli sahaja. Terpaksa dia melepaskan tombol pintu dan berjalan naik ke atas. Semakin dekat dengan bilik Juli, semakin jelas suara keras Juli yang menghambur makian.

"Juli." Shou memanggil. Tangan mengetuk pintu bilik.

Hiruk-pikuk di dalam bilik itu mati dengan tiba-tiba. Seketika kemudian, pintu dibuka. Achik Liah muncul dengan wajah keruh. Tanpa izin, Shou melangkah masuk ke dalam bilik Juli. Bilik yang sudah dikemaskan semalam kini kembali bersepah. Pintu walk-in closet pula terbuka luas. Banyak baju berlonggok di lantai.

"You cari apa?" tanya Shou.

Dia mendekati Juli yang masih berada di dalam closet. Juli yang sedang bercekak pinggang sambil memerhati sekitar ruang closet tidak mempedulikannya.

"Baju you hilang?" Shou terus bertanya walaupun Juli bersikap dingin terhadapnya.

Mata memerhati sekitar ruang closet. Kagum dia dengan koleksi pakaian Juli. Rasanya Juli tidak perlu bimbang apakah baju yang hendak dipakai setiap hari selama tiga bulan.

Juli mendengus kasar.

"Atau kekasih you yang hilang?" Shou mengusik, sengaja hendak menghangatkan mood dingin Juli.

"I tak simpan kekasih dalam closet. I simpan dia dalam keranda." Juli membalas sinis.

Shou ketawa kecil.

"You cari apa sebenarnya? Beritahu I, supaya I dapat bantu you." Dia kemudian bersuara lembut, menawarkan khidmat.

Juli berpaling memandangnya. "You mimpikan I ke malam tadi?"

Shou tergelak kecil. Itu pula yang ditanya Juli. Tiada kaitan langsung dengan usaha pencarian barangan yang hilang. Kemudian, dia menggeleng. Shireen yang datang dalam mimpinya.

"You jujur sangat," keluh Juli. Mata kembali memandang closet.

"Kejujuran adalah nilai yang I pegang. Berbohong hanya memenatkan diri. Bahkan takkan ada penamat. Jujur itu menyakitkan, tapi segalanya pasti akan berakhir dengan baik-baik saja. Cuma lambat atau cepat aje," balas Shou, walaupun selepas itu dia menyumpah diri sendiri dalam diam.

Bukankah dia juga berbohong dengan Juli semata-mata hendak mendekati gadis itu? Sekarang ini, rancangannya tidak menjadi. Bahkan dia terpaksa membuat pelan baharu. Daripada mendekati, dia terpaksa menjaga Juli. Entah apa lagi yang akan berlaku nanti. Yang pasti, setiap kali ada perubahan di luar jangkaan, dia perlu segera membuat rancangan selagi dia terikat dengan tugasan daripada Ratna.

TIDAK KULEPASKANWhere stories live. Discover now