BAB 5

205 5 0
                                    

BAU kopi yang wangi singgah di hidung Shou. Dia yang sedang memasukkan bajunya yang basah ke dalam sehelai beg plastik segera memandang ke laluan yang menghala ke dapur. Terlihat Juli datang ke ruang tamu itu dengan sebuah muk di tangan.

"Minumlah," pelawa Juli.

Muk di tangan diletakkan ke atas meja kaca.

"Terima kasih," ucap Shou.

Juli bukan setakat merawat luka di keningnya. Gadis itu juga memberikan baju dan seluar kering untuknya. Pasti baju Tok Ayah Ali.

Plastik yang dipegang diletakkan di tepi kaki sofa. Dia kemudian melabuhkan punggung. Muk besar di atas meja dicapai. Harum kopi panas semakin sampai ke hidungnya.

"Sedap," puji Shou selepas seteguk kopi yang pahit lepas ke hujung lidah.

"Kopi kampung. Tok Inah tumbuk sendiri," beritahu Juli yang sudah duduk di hadapannya.

Shou tersenyum lucu. Tidak sangka pula kopi itu buatan sendiri. Patut pekat benar dan rasa kopinya lebih menyerlah.

"Tok Inah tu siapa? Orang gaji you?" Sengaja dia bertanya walaupun dia tahu siapakah Tok Inah.

"You tinggal di kawasan sini?" tanya Juli.

Soalan Shou tadi diabaikannya.

"Tak. I sebenarnya nak pergi tengok rumah sewa yang setentang dengan rumah you tadi." Shou berbohong.

Dia sempat memerhati persekitaran tadi. Ada papan notis sewaan tergantung pada pintu pagar rumah yang dikatakannya. Maklumat daripada pemerhatian itu digunakan untuk melepaskan diri. Takkan hendak beritahu dia sedang mengintip dan mengawasi gerak-geri Juli?

"Tak sangka I kemalangan di depan rumah you. I pasti itu ketentuan Allah untuk mengatur pertemuan ketiga buat kita." Shou menyambung cerita.

Juli tersenyum sinis. Sempat lagi mengayat. Tipikal lelaki Melayu. Dia sudah lali mendengar ayat-ayat manis, sehingga menjadi jelak di telinga. Tiada makna dan nilai, lantas tidak lagi menggoda hati perempuannya.

"Rumah tu dah disewa orang pun." Pun begitu, dia berkongsi maklumat dengan Shou.

"Alamak! Melepas I," keluh Shou. Dia terus larut dalam lakonannya sendiri.

"Ada rumah lain yang boleh disewa dekat-dekat sini? I sedang cari ruang yang lebih luas. Dah rimas dengan apartmen yang kecil." Dia kemudian bertanya, cuba mengumpan Juli untuk berbual mesra.

"Sewa rumah di kawasan ni mahal. You mungkin tak mampu kut." Gadis yang masih dingin itu bersuara selamba.

"Kalau you mampu, takkan I tak mampu pula," balas Shou, tersengih.

Juli menggeleng. "Ini rumah peninggalan orang tua I," beritahunya.

"Begitu..." Shou mengangguk.

Dia tahu Juli bukannya bersendirian di rumah dua tingkat itu. Ada seorang pembantu rumah tinggal bersamanya. Tetapi, dia tidak pula melihat kelibat wanita Melayu itu semenjak masuk ke dalam rumah tadi. Bercuti agaknya.

"So, you kerja apa ya?" tanya Shou, melanjutkan kemesraan. Mata merenung tunak ke wajah Juli.

"Buat apa nak tahu?" Juli tetap mengelak daripada bercerita tentang dirinya.

"Sebab I tak rasa you sekadar menghabiskan harta peninggalan orang tua you aje," balas Shou.

"Tak. Maksud I, kenapa you nak tahu sedangkan tak mungkin kita akan bertemu lagi."

Maksud kata-katanya disalah tafsir pula.

"Sebab I nak mengisi masa dengan berbicara. Itu lebih baik daripada I duduk diam-diam di sofa ni dan merenung wajah cantik you tu sehingga datang nafsu yang bukan-bukan," balas Shou selamba.

TIDAK KULEPASKANWhere stories live. Discover now