BAB 18

432 48 12
                                    

David mengepal tangannya membentuk satu penumbuk. Gigi diketap menahan amarah. Gadis di hadapannya ini benar-benar mencabar tahap kesabarannya.

"Keluar dari bilik aku." arah David. Danial menoleh. Dahinya berkerut memandang David yang tiba-tiba mahu mengamuk pada waktu pagi sebegini. Dia yang baru sahaja bangun tidur, masih tidak mampu mencerna apa yang dikatakan oleh David.

"Keluar? Pergi mana?" soal Danial mamai.

"Balik ke rumah kau. Aku tak nak jumpa kau dah dan aku tak benarkan kau menumpang di dalam bilik aku. Jangan sesekali masuk ke dalam bilik aku selepas ni." ujar David dengan nada datar. Danial menarik gebar menuruni dadanya sehingga ke perut. Rimas pula asyik berselubung.

"Aku tak nak. Aku tak akan sesekali tinggalkan kau." Kaki dijatuhkan di birai katil. Perlahan-lahan Danial berdiri dan mengatur langkah ingin menghampiri David yang berpeluk tubuh di hadapan balkoni.

"Apa maksud kau? Kau nak apa daripada aku sebenarnya Dani? Aku ada berhutang dengan kau atau apa? Kita baru sahaja kenal, tetapi kau buat macam ini dekat aku. Apa motif kau? Jangan mainkan aku boleh tak?" David mendengus geram. Kalau tidak difikirkan Danial merupakan seorang perempuan, memang sudah lunyai Danial dibelasah olehnhya. Dia tidak suka terlalu rapat dengan seseorang yang baru sahaja dikenalinya.

"Bukan ke semalam aku dah cakap? Aku milik kau walaupun tidak sepenuhnya. Aku tak nak apa-apa daripada kau, tapi aku cuma nak berada di sisi kau untuk sementara waktu." ungkap Danial seraya memeluk David yang masih berpeluk tubuh.

"Siapa kau? Berterus-terang Danial."

"Bukan sekarang. Aku nak kau kenali aku dulu. Kemudian, aku akan bagitahu kau satu demi satu. Boleh David?" Kepala disandarkan pada dada David sambil tangannya mengusap perlahan belakang badan David. Dia tidak pasti mengapa dia berbuat sedemikian, tetapi jujur dia takut melihat renungan mata David. Sungguh tajam menikam, malah terbias amarahnya dalam anak mata. Danial bimbang David akan membenci dirinya.

Nafas dihela perlahan. Pelukan Danial dirungkaikan sebelum dia berlalu pergi dari situ. Lagi disuruh Danial keluar dari biliknya, selagi itulah Danial memberikan alasan. Naik buntu dirinya mencari cara untuk menghalau Danial keluar dari bilik dia.

Punggung dilabuhkan di atas kerusi. Roti yang terhidang di atas pinggan dicapai satu. Fazlan hanya memerhati tingkah David. Raut wajah lelaki itu terlihat sungguh bengang. Semenjak hari dia menyelamatkan Danial, sikap David mula berubah.

"David. Kau kenapa hari ini? Marah je aku tengok." tegur Fazlan.

"Tak ada apa. Aku keluar dulu." David terus beredar tanpa mendengar balasan Fazlan. Dia rimas apabila mata semua orang tertala ke arahnya. Dia tidak suka menjadi perhatian.

"Eshaf! Jom ke sekolah. Dah lambat ni." Danial tercungap-cungap sambil menarik lengan baju Eshaf, memaksa lelaki itu untuk berdiri.

"Kau tak nak sarapan dulu?" soal Eshaf.

"Aku makan dekat sekolah nanti jelah. Cepatlah Eshaf. Aku tak nak lari dekat padang!" gesa Danial.

"Iya. Sabarlah." Mahu tidak mahu, Eshaf terpaksa berlari mengikuti Danial yang sedang kalut itu.

"Hairan mama... David rapat dengan Danial ke? Danial tu selalu je tidur dalam bilik David." kata Engku Zaleha.

"Danial tu yang rapat dengan David. David macam biasalah." balas Fazlan.

"Mama rasa macam ada sesuatu tak kena je antara mereka berdua tu. Fazlan, nanti tolong tengok-tengokkan budak dua orang tu."

"Fazlan bukan pengintip mama." Habis sahaja menutur ayatnya, telinganya terus dipulas kuat oleh Engku Zaleha. Bengang dengan anaknya itu. Orang bagi arahan, akur sahajalah.

EMERALDWhere stories live. Discover now