BAB 41

387 39 4
                                    

Fazlan merenung tubuh Rara yang masih terbaring. Tidak berkedip dia memandang. Seketika, keluhan dihela. Nampaknya ruam pada badan Rara agak sukar dihapuskan.

“Kenapa?” soal Qhairil. Ezlinda di sebelah memandang ke arah Qhairil dan Fazlan silih berganti.

“Semalam aku tengok bintik-bintik berair dia dah kecut. Bintik merah pun mengecil dah lepas sapu ubat. Tapi, pagi ini membesar balik seolah-olah ubat semalam tak berkesan. Untung sahaja tak semakin teruk.” jelas Fazlan.

“Kau dah kenal pasti racun dalam badan dia?” Qhairil menyoal.

“Belum, tapi racun tu boleh dikatakan agak berbahayalah. Lambat mengawal, kematian akibatnya. Racun dalam badan Rara, aku dah keluarkan sikit. Dia masih perlu dipantau. Aku tak jumpa punca kulit dia ada ruam teruk macam tu.” ujar Fazlan.

“Sebelum ini, saya ada nampak beberapa orang dewasa yang kena ruam macam Rara. Apa kata kita tanya mereka apa yang mereka lakukan kebelakangan ini?” cadang Ezlinda.

“Bagus juga tu. Kalau dapat jumpa punca, mungkin dapat jumpa penawar sekali.” kata Fazlan.

“Aku dah suruh para pengawal kumpulkan penduduk. Nanti kami asingkan penduduk yang dah kena jangkitan.” ujar Qhairil.

“Mari kita pergi tengok sekarang.” Fazlan berjalan melepasi Qhairil dan Ezlinda. Waktunya makin suntuk mengikut perjanjian lelaki tua tempoh hari dengan Qhairil.

“Saya rasa... kita perlu cari sebuah tempat untuk dijadikan tempat merawat. Kesian tengok Rara terpaksa berbaring di atas hamparan kain nipis sahaja.” ujar Ezlinda.

“Betul. Selama ini Cik Ezlinda tinggal dekat sini, tak ada tempat ke yang sesuai?” soal Qhairil. Dia memandang ke arah Ezlinda sekilas. Fazlan pula sudah lesap memerhatikan penduduk yang terkena jangkitan.

“Tak ada. Hanya ada kawasan lapang ini sahaja. Rasanya kita boleh bina khemah dan minta beberapa keperluan dengan penduduk. Sedegil-degil mereka pun, mereka sebenarnya baik.” Ezlinda mengukir senyuman nipis. Qhairil yang masih memandang ke arahnya dipandang. Lelaki itu lantas memandang ke hadapan semula.

“Apa kata kita cuba? Sekejap saya panggilkan pengawal untuk buat khemah. Hmm Cik Ezlinda ikut Fazlan dulu ya? Pastikan tak sentuh sembarangan.” ujar Qhairil. Ezlinda mengangguk faham. Dia berjalan menghampiri Fazlan. Sempat dia memandang ke arah Qhairil yang semakin jauh itu sekilas. Tanpa sedar, senyuman manis terukir di bibirnya.

“Uish manis senyuman. Dah jatuh cinta ke?” tegur Fazlan. Terus senyuman Ezlinda mati. Malu menyerbu dirinya sehinggakan pipinya menjadi merah. Reaksi cuba dikawal sebaik mungkin. Haish... Fazlan ini bukan boleh. Menyakat nombor satu. Mulut pun boleh tahan celupar kadang-kadang.

“Senyap ni maksudnya betullah, kan?” Fazlan senyuman mengusik.

“Jangan merepek. Macam mana dengan mereka?” Ezlinda menukar topik.

“Baru tengok-tengok ruam mereka. Belum soal lagi.”

“Macam mana? Sama tak dengan Rara?” Soalan Ezlinda dibalas anggukan oleh Fazlan.

“Sama. Abang, dah berapa hari kena bintik-bintik ni?” soal Fazlan. Dia duduk mencangkung di hadapan seorang lelaki. Wajah lelaki itu terlihat lelah dan pucat sahaja ketika ini.

“Sudah tiga hari. Menyakitkan.” balasnya dengan muka berkerut-kerut.

“Tiga hari lepas abang makan apa?” Buku catatan dan sebatang pen sudah dikeluarkan untuk mencatat apa yang dikatakan oleh setiap pesakit.

“Empat ke tiga hari yang lepas makan buah-buahan dan bubur kosong sahaja memandangkan tak boleh ke sungai. Air deras.” ujarnya.

“Erm abang jalan-jalan dekat mana sahaja masa itu?” soal Fazlan lagi.

EMERALDUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum