BAB 27

347 38 9
                                    

Mata dicelikkan perlahan-lahan. Untuk seketika dia mengamati tempat dia berada. Sebelum dia terlelap, dia masih ingat dia berada di dalam kereta bersama Ezra. Lelaki itu ingin membawanya ke suatu tempat.

“Dekat mana ni?” Armelyn menyoal sendiri. Bilik yang dihuninya ketika ini terlihat sungguh asing. Kelibat Ezra pun tidak kelihatan. Langsir putih diselak kemudian tingkap dibuka. Halaman luar yang terlihat dari tingkap hanya terdapat sebuah rumah dan pokok-pokok besar. Mungkin kedudukan rumah ini berhampiran hutan.

“Sayang.” Kepala ditoleh apabila suara garau seseorang kedengaran. Wajah Ezra menjadi tatapan matanya.

“Kita dekat mana sekarang ni?” soal Armelyn.

“Dekat vila berhampiran hutan. Sayang masih tak sihat kan? Duduklah dulu. Abang tak nak sayang penat.” kata Ezra. Dahi Armelyn berkerut pelik. Ezra tidak pernah membahasakan dirinya sebagai abang. Ini pula sementelah bercerai. Buat tabiatkah?

“Kenapa suara awak pelik?” Armelyn mengesan kelainan pada suara Ezra. Suara yang didengarinya di dalam kereta dan yang didengarinya sekarang ini jauh berbeza.

“Sakit tekak. Dah, sayang duduklah dulu.” Bahu Armelyn ditolak perlahan supaya duduk di atas katil, namun Armelyn tidak berganjak. Dia masih kaku dengan kedudukannya.

“Awak... Awak siapa?” soal Armelyn. Matanya separuh membuntang tatkala melihat sebilah pisau pada poket Ezra. Malah, pemakaian lelaki itu terlihat lain. Dia cukup tahu Ezra tidak menyukai pakaian berwarna gelap.

“Apa maksud sayang?” Armelyn menepis tangan lelaki itu tatkala lelaki itu bertindak mahu menyentuh pipinya. Tangan lelaki itu pun tidak seperti tangan Ezra.

“Kau siapa? Mana Ezra?” Langkah diundur ingin menjauhi lelaki itu.

“Akulah Ezra. Kau dah lupa rupa aku, sayang?” Bibirnya menyeringai sinis. Nampaknya mangsa dia sekarang ini tidaklah begitu bodoh. Pantas sahaja mengesan penyamarannya.

“Tak! Kau tipu! Kau bukan Ezra!” jerit Armelyn. Melihat lelaki itu mengeluarkan pisau, Armelyn lantas berlari keluar dari bilik tanpa sempat lelaki itu hendak mengacukan pisau ke arahnya.

“Menyusahkan betullah perempuan ni!” dengusnya sebelum mengejar Armelyn yang sudah lari menuju ke hutan.

Melihat kelibat lelaki yang berwajah mirip dengan Ezra berada terlalu jauh daripada dirinya, Armelyn mengambil kesempatan itu untuk menyembunyikan diri. Dia terlalu penat untuk meneruskan larian. Sudahlah belum makan, berlari pula setelah penat berjalan jauh.

“Mana kau sayang? Kau menyorok ya? Tak rindukan bekas suami kesayangan kau ini?” katanya sambil berjalan perlahan. Dia cuba mencari jikalau ada sebarang bunyi yang dibuat oleh Armelyn. Matanya pula melilau mencari kelibat Armelyn.

Armelyn ketap giginya. Menggigil tubuh apabila langkah lelaki itu semakin mendekat. Dia berasa sungguh ketakutan.

“Sayang... Keluarlah. Aku rindukan kau.” katanya lagi. Armelyn masih mendiamkan diri, namun matanya membulat tatkala seekor ular besar yang sedang mendesir menjamu pandangan mata. Saat ular itu bergerak semakin menghampirinya, dia terus menjerit dan keluar dari tempat persembunyian.

“Jadi, di sana kau menyorok ya? Datang ke sini sayang...” Senyuman sinis tersungging di bibir. Langkah diatur berjalan mendekati Armelyn yang tercungap-cungap.

“Argh!” Untuk kali keduanya, Armelyn menjerit. Belum sempat langkah kelimanya ingin menyentuh tanah, rambutnya ditarik oleh lelaki itu.

“Aku dapat kau, sayang.” Lelaki itu ketawa. Rambut Armelyn ditarik kuat, memaksa wanita itu mengikut langkahnya menuju ke tepi tebing.

EMERALDWhere stories live. Discover now