BAB 35

342 34 5
                                    

Mata dicelikkan perlahan-lahan. Kepala yang terasa berpusing dipegang. Dahi sudah berkerut menahan sakit sambil tangan kiri melekap pada perut.

“Sakitnya...” Armelyn mengerekot kesakitan. Tidak dapat dia tahan rasa sakit yang bertandang.

“Dah sedar?” Doktor Airin mengambil kain yang diletakkan di atas dahi Armelyn. Seketika dia melekapkan telapak tangan pada dahi Armelyn untuk merasa suhu badan.

“Kenapa makin panas?” Dahi Doktor Airin berkerut. Semalam Armelyn demam sedikit sahaja dan hari ini semakin panas pula.

“Bawa dia ke hospital. Pastikan dia dijaga ketat.” Qhairil memberi arahan. Doktor Airin dan pengawal yang dilantik untuk menjaga keselamatan Armelyn, akur.

“Dan... jangan lupa tutup separuh wajah dia. Kalau dia sedar, cakap Tuan Qhairil suruh tunggu sehingga dia datang.” sambung Qhairil lagi sebelum dia beredar dari situ. Haraplah Armelyn tidak melarikan diri.

Langkah dihayun menuju ke bilik bacaan Ezra sebaik sahaja tiba di istana. Hampir dia terlupa dia perlu mengiringi Ezra untuk berjumpa dengan Ezlinda.

“Macam mana keadaan Melyn?” Ezra menyoal perlahan. Mata diliarkan ke arah tingkap dan pintu bilik bacaan. Bimbang juga jika ada yang mencuri dengar perbualan mereka.

“Dia demam dan sakit perut. Aku dah suruh Airin bawa dia ke hospital. Jangan risaulah.” jelas Qhairil. Ezra menghela nafas perlahan. Walaupun Qhairil menyuruh dia supaya tidak merisaukan keadaan Armelyn, dia tetap risau. Entah apa yang berlaku kepada isterinya itu sepanjang tempoh isterinya menghilang.

“Kita teruskan rancangan kita macam yang dibincang. Uruskan Puteri Ezlinda dulu.” ujar Ezra seraya berdiri. Dia dan Qhairil berjalan keluar dari bilik bacaan untuk menyambut kedatangan Ezlinda.

Qhairil dan beberapa orang pengawal menunduk sedikit tanda hormat tatkala kelibat seorang gadis yang memakai gaun merah jambu kelihatan. Ezlinda mengukir senyuman manis meskipun hanya sebelah wajahnya sahaja yang kelihatan.

“Puteri Ezlinda, selamat datang ke Istana Xhandelion.” kata Ezra.

“Terima kasih Tuanku.” Ezlinda tunduk seketika tanda hormat.

“Jemput masuk ke dalam.” Tangan kanan didepa menghala ke dalam istana. Ruangan rehat berhampiran kolam menjadi tempat untuk mereka duduk dan berbicara. Dayang-dayang mula menghidang teh dan santapan petang.

“Puteri Ezlinda sendiri pasti sudah tahu kenapa puteri datang ke sini, bukan?” soal Ezra memulakan bicara.

“Ya.” jawab Ezlinda. Kepala masih menunduk memandang ke bawah. Tidak berani dia hendak memandang tepat ke mata Ezra memandangkan Ezra seorang raja.

“Beta ada beberapa soalan hendak ditanyakan. Kalau Puteri Ezlinda tidak keberatan, boleh Puteri Ezlinda jawab dengan jujur?” ujar Ezra. Dia berharap dia akan menemui serba sedikit petunjuk melalui Ezlinda.

“Boleh.” balas Ezlinda sepatah. Agak terkebil-kebil juga dia apabila ditanya sebegitu. Entah apa yang Ezra mahu tanyakan. Nampak seperti penting sahaja.

“Kamu tahu tak sebab kamu akan dikahwinkan dengan beta?” soal Ezra. Ezlinda menelan air liur kelat. Patutkah dia memberitahu perkara sebenar? Jika dia beritahu perkara sebenar, itu sama seperti menghancurkan bondanya. Dia pula nanti, bagaimana? Ke mana dia harus pergi? Apa yang dia harus buat? Atau, dia akan ditangkap?

“Patik tidak tahu Tuanku. Patik hanya mengikut suruhan bonda patik.” Ezlinda memberi jawapan selamat.

“Beta sudah beristeri dan beta tidak mahu berkahwin lagi. Puteri Ezlinda seorang yang bijak. Faham maksud beta, bukan?” Ezra mengukir senyuman nipis.

EMERALDWhere stories live. Discover now