Dia Lebih Sayang

26.6K 1.1K 152
                                    

Assalamualaikum.

Dalam waktu saya menaip di sini, mungkin ada yang mentitipkan doa buat anakanda saya supaya kembali sihat seperti sediakala.

Saya dan keluarga berterima kasih sangat-sangat dengan doa kalian. Memang tak terbalas jasa kalian, Allah saja yang mampu.

Tetapi, saya harus berpijak di bumi nyata.

Anakanda kesayangan saya, Rizqi Faiz bin Iskandar Rafiq diuji dengan kesakitan yang akhirnya menyebabkan dia menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat pada jam 3 pagi, hari Rabu yang lepas. Namun, jauh di sudut hati, saya percaya, bukan penyakit itu yang menyebabkan dia meninggal dunia. Saya percaya itu semua takdirnya untuk hidup dan bersama dengan saya yang sudah tertulis dari masa 4 bulan dia di dalam rahim saya dulu.

Allah cukup baik. Dia beri saya Rizqi Faiz selama 2 tahun 10 bulan untuk dijaga. Tepat 2 tahun 10 bulan Rizqi Faiz dalam jagaan saya. Tepat umurnya 2 tahun 10 bulan, dia pergi meninggalkan saya dan suami. Dia lahir pada 11/5/2012. Pada tanggal 11/3/2015, setelah 2 tahun 10 bulan Allah pinjamkan dia pada saya, kini Allah mengambilnya semula.

Kira-kira seminggu sebelum pemergian arwah, dia tak menunjukkan tanda-tanda kurang sihat yang ketara. Cuma batuk kecil tetapi masih aktif bermain dan berlari.

Tetapi satu hari tu, arwah demam. Demam arwah tak kebah dari pagi sampai ke malam. Saya dan suami terus bawa arwah ke klinik. Doktor berikan arwah antibiotik. Keesokannya, arwah dah mula aktif macam biasa. Tetapi, bila dah waktu tengahari, arwah mula meleset dengan saya. Minta didukung, kalau tidur pun nak dibobok. Saya turutkan saja.

Petang tu, nak hampir ke maghrib, arwah tiba-tiba demam sekali lagi. Lebih panas dan arwah kelihatan pucat. Saya rasa tak sedap hati. Terus saya dan suami bawa arwah ke hospital swasta.

Sepanjang perjalanan ke hospital arwah merengek. Dada saya dipukul-pukul manja. Saya terus breastfeed arwah. Arwah nampak haus sangat masa tu. Sampai-sampai saja di hospital, arwah diberikan IV drip dan diwad.

Tetapi doktor masih tak dapat kesan apa masalah arwah yang sebenarnya. Kemudian, keesokan harinya, arwah dibawa ke hospital kerajaan di mana lebih ramai pakar kanak-kanak yang ada.

Doktor cina itu terus melakukan pemeriksaan. Beliau kata badan Rizqi Faiz macam membengkak. Dia tanya sama ada Rizqi ada buang air besar atau kencing sepanjang berada di hospital swasta. Baru saya teringat, Rizqi memang tak kencing.

Kemudian doktor memaksa Rizqi kencing dengan memasukkan tiub (Saya pun tak pasti dia masukkan apa) ke dalam 'anu' Rizqi. Rizqi menjerit dan menangis. Kepenatan menangis, arwah tertidur. Doktor menerangkan sekiranya pagi keesokannya arwah masih lagi tidak kencing, mereka terpaksa melakukan dialisis kerana khuatir buah pinggang Rizqi tak berfungsi. Mereka juga mengambil sampel darah Rizqi.

Hati ibu mana yang tak sedih apabila melihat putera kesayangannya tiba-tiba jatuh sakit begini. Wayar berselirat di sekitar badan arwah.

Keesokan paginya, saya bangun dalam keadaan ingin tahu. Saya terus melihat beg kencing arwah. Terus meleleh air mata saya. Setitik pun arwah tak kencing. Allahu.. Apabila doktor datang, doktor terus membuat keputusan bahawa dialisis perlu dilakukan. Lengan Rizqi yang halus itu ditebuk. Segala macam wayar ada di badan dan lengannya. Saya tau Rizqi tak selesa. Saya cuba memujuknya.

Bundar mata arwah ketika memandang saya, masih saya ingat. Masih segar lagi dalam ingatan.

**********

Rabu, jam 12.15 minit pagi, nurse datang menjalankan rondaan. Saya waktu itu tidur. Tetapi terbangun apabila terdengar kekecohan dari nurse. Saya masih mamai. Kepenatan berada di hospital sepanjang masa. Tetapi demi Rizqi, saya sanggup.

Saya tolehkan pandangan ke arah Rizqi. Ya Allah.. Anak mak..

Darah keluar dari hidung dan mulut Rizqi. Nurse dan doktor bertugas sedaya upaya untuk menghalang saya untuk berada dekat dengan arwah. Tetapi mungkin Allah membantu saya, suami saya bernada keras menghalang doktor dan nurse.

Saya duduk di sebelah katil Rizqi. Berdekatan dengan kepala arwah. Saya tak tau apa yang berlaku, tetapi arwah memandang saya. Betul-betul arwah memandang saya.

"Mii..," kata arwah dengan perlahan. Arwah memanggil say 'mummy'.

Saya mengucapkan kalimah syahadah di telinga arwah.

Sambil usap kepala arwah, saya katakan pada dia, "Kalau betul sayang mummy tak boleh bertahan, pergilah sayang. Mummy tunggu sayang di syurga. Mummy redha."

Usai saya bercakap dengan arwah, dada arwah berombak laju, urat-urat biru jelas kelihatan di kepala arwah kemudian garis-garis di skrin monitor yang rancak pada mulanya, kian mendatar.

Dan akhirnya.. Rizqi Faiz bin Iskandar Rafiq pergi meninggalkan saya dan suami. Kedua-dua datuk dan nenek arwah tak sempat berjumpa dengan arwah kerana mereka menunaikan umrah.

Saya katakan pada doktor supaya menanggalkan segala wayar yang ada dengan lembut selembut-lembutnya. Dahi Rizqi saya cium semahunya. Tangan dan kaki kecil arwah saya usap. Rambut lebat arwah saya usap semahunya.

Betapa rindunya saya dengan hilai tawa arwah. Masih ada lagi susu saya untuk dia. Rezeki arwah yang tidak terminum.

Doktor mengesahkan Rizqi menghidap penyakit pneumococcal yang menyebabkan organ failure. Itulah yang menyebabkan buah pinggang Rizqi gagal berfungsi.

Apa pun, saya percaya Dia lebih sayangkan Rizqi. Rizqi, tunggu mummy dengan papa kat syurga, ya?

Cerita Aku: Kahwin MudaWhere stories live. Discover now