04

56 21 2
                                    

DI KAKI langit hitam yang pekat bulan kelihatan terang benderang. Gemintang mengerdip cantik, menghiasi dada malam yang bertakhta pada waktu itu.

Angin bertiup perlahan. Segar dan dingin. Membelai seluruh kampung bersama dengan kepekatan malam. Kelihatan sang rembulan akur kepada aturan cakerawala, meneruskan tugasnya menyinari alam.

Saat itu Larmina dan bonda duduk di pangkin luar rumah. Mereka berbual-bual sambil diserikan simfoni sang cengkerik dan katak yang berlagu sahut-menyahut.

"Bonda, bonda sayang Mina tak?" soal Larmina. Kepalanya masih melekap di dada bonda. Pertanyaan itu disambut bonda dengan senyuman.

"Mina nampak tak bintang di langit tu?" soal bonda sambil mendongakkan kepala memandang langit yang dihiasi bintang.

Larmina memerhati dengan penuh minat.

"Nampak!" jawab Larmina girang.

"Banyakkan?" soal bonda kembali. Larmina mengangguk laju.

"Macam itulah sayang bonda dekat Mina dengan Kak Alma, tak terkira," ucap bonda. Di bibirnya tersungging senyuman ikhlas.

"Bonda, kenapa abah tinggalkan kita?"

Pertanyaan yang pantas keluar dari mulut Larmina membuatkan bonda terkedu. Wajah tua bonda dengan tiba-tiba bertukar menjadi sugul dan sayu meskipun tidak terlihat dalam kegelapan malam.

Serentak dengan itu angin bertiup lesu dan tidak berdaya. Pohon-pohon tidak bergoyangan. Bulan juga gegas menyelinap di sebalik awan. Seolah-olah mengerti dengan perasaan yang melanda jiwa bonda.

Bonda membisu sebaik-baik sahaja persoalan itu timbul. Seolah-olah ada kuasa yang mengunci rapat mulutnya.

Ada sesuatu yang melapisi riak muka berkedut wanita tua itu tetapi Larmina tidak mampu menebak puncanya. Entah, dia tidak tahu.

Bonda mengeluh diam. Kemudian perlahan-lahan menarik nafas yang panjang. Bukan sebenarnya mencari ilham.

Memang demikian sifat bonda yang diam sambil berfikir sebelum mengeluarkan butir percakapan.

Percakapan haruslah bernas, agar isi benar-benar diterima oleh semua orang. Bukannya kosong semata-mata. Batin yang kosong dan tidak berguna langsung.

"Baik, bonda nak tanya Mina,"

"Kalau Mina berada di taman bunga, bunga yang mana Mina akan ambil?" soal bonda sebaliknya dengan lembut.

"Emm kalau Mina, Mina ambil bunga yang paling cantik," jawab Larmina.

"Itulah persamaaannya, sayang. Allah ambil abah dari kita sebab abah orang yang baik."

"Orang baik Allah sayang."

Bonda menjawab tenang. Menyembunyikan walang di hatinya daripada Larmina. Ruang redup dan damai basah itu membuatkan hati semakin sayu dikerat hari.

Larmina merupakan anak tunggal. Sudah lama Seyra dan Ahmed menantikan cahaya mata setelah bertahun mereka membina mahligai cinta bersama.

Namun begitu apakan daya, sudah tersurat kasih yang dibina bersama Ahmed hanya seketika sahaja. Ibarat setitis embun pagi yang membasahi dedaunan hijau di pagi hari. Kering apabila terbit matahari.

Impian untuk menimang cahaya mata yang dinantikan dengan penuh teruja itu tidak tercapai oleh Ahmed kerana dia meninggal sebelum kelahiran Larmina akibat dipatuk ular sewaktu menanam padi.

Hari gembira bertukar duka.

Tangisan kegembiraan bertukar sendu.

Sangkanya panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Cinta itu memang indah. Dipenuhi dengan warna-warna berseri.

FREEDOM | KEBEBASAN [✓]Where stories live. Discover now