07

50 17 5
                                    

MALAM menjelang. Selepas makan malam, Larmina dan Alma terus masuk ke bilik.

Ayah masih belum pulang. Kami di rumah makan mahupun tidak, langsung dia tidak peduli. Kerja tidak, apapun tidak. Janji sebelum kahwin cuma ungkapan kosong sahaja, dusta.

Untuk mendapatkan sayang, manusia boleh berpura-pura menjadi seperti malaikat walhal merekalah iblis yang bertopengkan manusia.

Bonda masih setia menunggu kepulangan suaminya untuk dihidangkan makan malam meskipun makanan yang bakal dijamu itu, masih menu sama seperti hari-hari sebelumnya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu diketuk. Bonda bergegas membuka pintu dan menyapa ayah yang baru pulang.

Pertanyaan bonda tidak dihiraukan oleh ayah. Sebaliknya ayah mendengus dengan wajah yang masam mencuka.

•  •  •

ADA pertengkaran yang sedang berlaku. Larmina bingkas bangun lalu mengintai dari celah pintu biliknya.

"Oi, kau buat apa tu?" tanya Alma yang sedang duduk di meja belajar, menyiapkan tugasan kerja sekolah sebelum beberapa detik kemudian dia turut bersama Larmina.

"Mana duit?" tanya ayah kepada bonda dengan nada seoktaf.

"Duit apa, bang?" Dahi bonda berkerut. Bonda memandang ayah dengan seliratan tanda tanya, hairan.

"Duitlah. Duit apa lagi? Kau kan kerja siang tadi," balas ayah. "Aku perlukan duit," sambungnya.

"Abang, mana ada duit lagi? Semuanya abang sudah gunakan," balas bonda, masih dengan ritma bicara yang lembut dan tenang.

"Mana boleh tak ada? Mana perginya duit yang kamu simpan?" Suara ayah makin meninggi. Mukanya memerah menahan marah.

"Duit itu saya hendak beri kepada Alma, untuk dibuat belanja sekolah." 

"Halah budak-budak bukannya tahu menggunakan duit. Pergi sekolah pun bukannya pandai, lembab jugak! Dia budak miskin je, mana boleh berjaya." Kata-kata ayah meluncur bersama sepasang mata sinis dan dingin.

Terkebil-kebil mata bonda tatkala ayah berkata sedemikian. Bonda meneguk air liurnya sendiri dengan hati terkilan.

Tidak kasihankah ayah pada Alma?

Dia juga perlu berbelanja di sekolah. Jauh dalam sudut hati, suaminya juga sanggup menghina anak kandungnya sendiri?

Bukankah semangat dan sokongan yang baik itu datangnya daripada kedua ibu bapa dan keluarga?

"Sampai hati ayah," keluh Alma sambil menahan sebak dihati.

Lontaran kata-kata itu bagai merobek ranting-ranting semangatnya. Ayah langsung tidak memikirkan perasaan Alma.

Alma mengeluh di balik pintu sambil tangan menggenggam kemas. Nafasnya berombak-ombak.

"Ah! Aku perlukan duit itu sekarang! Aku tak peduli, beri duit tu pada aku!" herdik ayah, terus mendesak.

"Apa abang hendak buat dengan duit itu?" tanya bonda dengan nada yang masih lembut.

Nafas ayah makin tidak teratur. "Argh!" Ayah menumbuk dinding, serentak dengan suaranya yang juga menzahirkan amarahnya. Kekusutan merajai paras ayah.

"Kau tak payah banyak tanyalah! Aku banyak urusan. Beri duit itu cepat," desak ayah, masih berkeras membuatkan suasana di dalam rumah itu menjadi kalut.

FREEDOM | KEBEBASAN [✓]Where stories live. Discover now