15

32 11 0
                                    

بِسْـــــــــــــــمِ اللّٰه الرَّحْمَنِ الرَّحِيـــم

بِسْـــــــــــــــمِ اللّٰه الرَّحْمَنِ الرَّحِيـــم

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

MALAM. Kedinginan terasa membungkus seluruh suasana. Angin bertiup perlahan. Nampaknya sebentar lagi hujan akan turun.

Melalui jendela yang terbuka luas Larmina melemparkan pandangan ke arah sawah padi yang tidak kelihatan. Ditutupi kegelapan malam.

Langit ditatap sendirian.
Kelam malam membungkus segala perasaan.

Dalam minggu-minggu dilema, wajah bonda sentiasa bermain di mata. Ia kadang menjadi lapisan kedua selepas terlihat hamparan bintang di dada langit dan sawah padi.

Perlahan-lahan Larmina menarik nafas panjang.

Dia cuba melupakan kisah kelam pahit yang pernah dialaminya. Namun gagal jua. Semakin dia cuba melupakannya semakin kuat ianya menendang-nendang di perasaannya yang dibalut sepi tanpa ditemani ratu hati.

Dia tetap pasrah dan reda dengan segala ketentuan Tuhan terhadap dirinya. Memang pedih, seperti ditikam sembilu tajam pabila terpaksa berpisah dengan orang yang disayangi.

Tapi sudah suratan takdir yang terpaksa diterima.

Kegelisahan datang menyinggah. Mata tidak mahu lelap. Fikiran berkecamuk. Terlalu banyak perkara dalam hidup yang perlu dirisau dan difikirkan, hingga diri tidak merasa tenang.

Kilat memancar di dada langit. Menerangi alam sejagat dan buat beberapa ketika, langit menjadi gelap semula ibarat lampu kalimantang menyala berkelip-kelip di ruangan gelap.

Tampak titisan air mula turun membasahi bumi.

Bunyi titisan air hujan yang semakin mencurah-curah ke bumi bergema di telinga Larmina.

Nikmat daripada Ar-Rahman yang patut disyukuri oleh setiap insan di muka bumi.

اَللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
"Allahumma shoyyiban naafi'an."
"Ya Allah, (Jadikan hujan ini) hujan yang bermanfaat."

Doa ini sudah menjadi amalan sejak kecil tatkala tali temali hujan turun ke bumi. Semestinya diajar oleh bonda.

DUM!

Bunyi ini. Bunyi yang menjadi sebuah ingatan kepada peristiwa tragis itu. Mata Larmina mula berlinangan dengan air mata. Sedih, kecewa, sakit semuanya menjadi satu.

"Mina!" Alma memanggil dengan nada keras. Lamunan Larmina lenyap ditelan dentuman pintu yang menghentak ketenangan malam.

"Kau ni kenapa aku panggil tak menyahut? Aku kena jerit baru kau nak keluar? Kau sengaja eh nak menaikkan darah aku?" marah Alma sambil menapak ke arah Larmina.

Larmina terbungkam. Ketika itu, Alma sudah membenamkan renungan maha tajam ke arah Larmina. Jika renungan itu boleh membunuh, pasti sudah bercerai nyawa dari batang tubuh genit Larmina.

"Maaf kak, Mina tadi,"

"Ah! Senyaplah kau," pintas Alma sebelum Larmina sempat menghabiskan katanya.

"Maafkan Mina, kak. Mina betul-betul tak dengar tadi Kak Alma panggil," balas Larmina bersungguh-sungguh.

Alma mengheret Larmina ke bilik air di luar rumah. Hujan yang sedikit lebat diredahnya.

Kedengaran bunyi sang katak keriangan sahut-menyahut, mensyukuri nikmat tuhan.

"Kau ni memang manusia yang tak tahu berterima kasih, tak tahu di untung kan? Dasar anak s**l!" nada syaitannya bersuara lagi.

Baldi diseret kasar lalu Alma membenamkan kepala Larmina ke dalam baldi tersebut. Setiap kali marah selalu saja Alma mengucapkan itu.

"Kau ni duduk dekat sini pun menyusahkan nenek, menyusahkan aku!" tengking Alma lagi. Kepala Larmina diangkat kembali.

"Maaf kak, maaf... sejuk kak, sejuk," rintih Larmina.

Relung dada Alma panas terbakar. Kata-kata Larmina itu bukan memujuk hatinya namun menambahkan lagi rasa kebencian yang tersimpan belerang kesumat berlumpur dendam.

"Rasakan! Kau jangan keluar sampai besok pagi, kalau kau langgar, aku tambah hukuman kau nanti. Faham!" ugut Alma lalu mengunci Larmina dari luar bilik air.

"Kak, jangan kurung Mina,  sejuk kak, gelap, Mina takut..."

Begitulah kehidupan Larmina, hampir setiap hari dia disiksa padahal dia tidak pernah melakukan kesalahan. Namun selalu saja dia salah di mata kakaknya.

Untung Larmina masih mempunyai nenek yang sayang padanya.

Jika Nek Mah tahu akan hal ini pasti Larmina akan selalu dibela dan jika ada Nek Mah dia tidak akan membiarkan Larmina diperlakukan dengan kasar.

"Apa gunanya kau menangis tak tentu hala? Kau fikir air mata kau tu boleh kembalikan ayah aku? Kalau ye pun ayah aku tu jahat, apasal kau kena bunuh dia!" Larmina
dimaki hamun sehendaknya walaupun guyuran hujan agak membataskan pendengaran kata-katanya itu.

Larmina mengikat lidah. Tidak mampu untuk dia menyusun kata. Gelora hati ditahannya agar tidak sampai melontarkan jawapan balas yang boleh memburukkan keadaan.

Larmina bagaikan terhumban ke dalam lembah hidup yang penuh dengan onak dan duri.

Senandung ribut datang menerjah. Hidupnya bagaikan perahu yang sedang hanyut dibawa arus yang sedang bergelora. Terus, menyiksa rohani dan jasmani tanpa henti dalam penjara sengsara.

Alma berlalu pergi dari situ. Baru sahaja dia mahu masuk ke dalam rumah, terlihat Nek Mah berada di muka pintu.

"Alma? Kamu pergi kemana malam-malam begini? Hari kan hujan ni," soal Nek Mah. Matanya dipejam celik beberapa kali sebelum tangannya menutup mulut apabila menguap.

Penglihatan dan pendengarannya semakin merosot sejak akhir-akhir ini, mungkin atas faktor dirinya yang telah ditelan usia.

Alma tergagap-gagap mencari alasan. Jika rahsianya diketahui oleh nenek, habislah dia.

Dia juga tidak mahu wanita warga emas dihadapannya ini sakit. Mungkin dia bersikap jahat kepada Larmina, namun tidak begitu kepada orang lain.

"Er... Alma..."

"Tolong!" Sayup-sayup jeritan Larmina didengari oleh dua figura manusia di situ.

"Eh, Larmina!" Alma berpura-pura risau. Dia cepat-cepat membuka pintu bilik air yang terletak di luar rumah. Larmina dipimpinnya keluar dari situ agar tidak menimbulkan rasa termengkelan di hati Nek Mah.

"Mari masuk, kalau sakit nanti susah. Alma, tolong tutup pintu tu ya," ujar Nek Mah sambil memimpin Larmina. Larmina memandang Alma sekilas.

Jelingan tajam menusuk ke lensanya. Biarlah, dia mendiamkan diri. Jika tidak, entah apa lagi yang akan dilakukan oleh Alma terhadapnya.

Setakat ini, dia cuma mampu memujuk hati dengan ungkapan "Wakafa Billahi Syahida."

Cukup Allah yang menjadi saksi iaitu bukan niatnya dengan sengaja mahu membunuh ayah tirinya, Hamza.

Diam agar kondisi hati membaik.
Dalam diam ada kebekuan jiwa,
Dalam diam ada hati yang tertekan,
Dalam diam ada hati yang menangis,
Dalam diam, ada hati yang berusaha untuk sembuh meski sulit.

Fikiran seolah mengusik akan hal yang membuat sakit, namun hati kecil seolah ingin berdamai agar pulih dari lukanya.

[Bersambung >> FREEDOM - 16]

FREEDOM | KEBEBASAN [✓]Where stories live. Discover now