12

44 16 1
                                    

AKU berjalan sendiri menundukkan muka seperti membilang langkah gontaiku. Jalan raya agak lengang. Tiada kenderaan mahupun manusia.

Langkah kaki terasa berat untuk melangkah dek kerana lelah yang mencengkam setiap urat saraf kaki.

Angin mendesir agak deras, lantas memberkas hatiku lagi. Gemintang pula tidak kelihatan, dilitupi oleh awan gemawan. Rambut hitam panjang yang tidak lagi terurus, dibiarkan berserabai ditiup angin.

Malam telah menyerkup selimut hitamnya, membungkus panorama alam di seluruh perkampungan kecil Malverick ini. Cuma cahaya lampu sahaja yang membantu aku berjalan dalam kesamaran.

Bunyi-bunyi unggas pula tidak kurangnya saling bersahutan, menemani suasana yang sedia suram dan kelam.

Sunyi.

Kosong.

Sepi.

Sama macam hidup aku.

Penumbuk kugenggam erat dan kemas. Terasa hati ini bagaikan kaca yang dihempas kuat ke batu. Bukan sahaja retak, malah hancur.

Hancur sehancur hancurnya. Tidak mungkin akan dapat bercantum kembali.

Harapan yang selama ini menjadi penguat diri, kini harapan itu berkecai... umpama jutaan debu yang berkeliaran.

Kekesalan kian menampar dinding hati, kepala pula sakit digayuti keserabutan.

Inginku meraung sekuatnya bagi menzahirkan segala rasa dan menangis. Tetapi aku tidak mahu menitiskan air mata lagi kerana bagi aku, ia berharga untuk menangisi nasib dunia yang menurutku lebih malang.

Aku terasa kosong dan tenggelam dalam kehampaan, bagai tiada harapan lagi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Aku hanya membiarkan diri tanpa haluan dalam saat kepedihan memaku perasaan, dan...

DBUK!

Aku tersungkur lemah lalu rebah. Sakit aku hiraukan. Aku buntu. Fikiranku terhenti seketika, berpintal-pintal, lalu kusut. Tapi masih dengan perasaan sama. Kosong.

Dalam keadaan tidak berdaya, aku tutup mata rapat. Perut yang minta diisi dari tadi, tidakku peduli.

Angin malam bertiup berkali-kali menempiaskan kedinginan angin sehingga badanku menggigil kesejukan. Kedinginan itu juga menggoyahkan jiwaku yang semakin pudar.

Langit menjadi mendung. Ini menandakan hujan akan turun dengan lebatnya.

DUM!

Sekali-sekali terlihat cahaya kilat sambar-menyambar memanah langit disusuli bunyi guruh yang berdentum-dentam.

"ARGH!"

Aku pejam mata serapat rapatnya. Kedua belah tanganku menutup telinga dengan penuh rasa ketakutan.

Aku benci rasa ini. Sungguh, aku benci.

Setitik air kurasakan menitis di pipiku. Lantas kudengar percikan manik-manik hujan menghunjam bumi dengan penuh irama. Badan yang sedia tidak berdaya bagai ayam diasak malam, kini menjadi semakin lemah.

FREEDOM | KEBEBASAN [✓]Where stories live. Discover now