PROLOG

673 50 4
                                    

JIKA diberi pilihan untuk hidup atau mati, Layla lebih rela mati. Kenapa? Sebab hidup ini kejam dan penuh dengan tipu muslihat. Yang berpangkat dan berharta, terus bersenang lenang. Yang papa kedana, ditindas dan dilayan tidak selayaknya sebagai manusia.

Memang Tuhan itu baik dan Maha Penyayang. Tapi makhluk ciptaannya berhati binatang, berperangai umpama setan.

Jadi harus ke manakah kaki ini melangkah andai dunia dan seisinya seperti neraka Jahanam?

Air mata turun mencurah-curah bagai arus yang deras. Melihat tubuh mak yang terbaring lesu di atas lantai setelah dikerjakan bermati-matian oleh bapak membuatkan jiwa Layla seakan-akan dibunuh oleh darah daging sendiri, ditoreh dengan begitu dalam tanpa ihsan.

Malam itu, Layla dan mak didera dengan teruk oleh bapak. Puncanya, bapak minta duit tapi Layla dan mak memang tak ada duit. Disebabkan bapak berada di bawah pengaruh dadah, dia bertindak agresif dengan memukul mak menggunakan batang besi. Demi mempertahankan mak, Layla bergelut sekali. Natijahnya, berbirat seluruh badannya.

Nafas mak tercungap-cungap. Dengan tubuh yang lemah dan penuh luka, Layla mengheret kakinya ke arah mak. Dia tak boleh berdiri.

Darah membasahi lantai membentuk sebuah kolam yang dipenuhi cecair merah pekat. Baunya begitu hanyir. Bapak tidak tahu lari ke mana. Barangkali berjoli sakan setelah dia mencuri satu-satunya harta yang mak ada, geran tanah pusaka.

"Mak... mak..." Tersekat-sekat suara Layla memanggil maknya yang kelihatan nyawa-nyawa ikan. Mata orang tua itu terpejam erat, panggilan Layla tidak disahut oleh mak.

Esakan Layla semakin menggila. Tubuh mak yang mengerang sakit kian kaku. Digoncang bahu mak berkali-kali, namun tiada pergerakan terhasil.

Jangan...

Bukan sekarang...

Dia tak bersedia lagi...

Tuhan, jika masih ada belas dan kasihan Engkau, tolonglah kami hamba-Mu yang lemah ini. Jika masih ada ruang untuk kami bernafas di muka bumi ini, turunkan bantu-Mu. Layla merintih pilu.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, "Kami beriman," sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

JEJAKA TERISTIMEWAWhere stories live. Discover now