BAB 5

147 28 0
                                    

MALAM itu, Layla tidur awal kerana berasa tidak larat. Selesai sahaja menunaikan solat Isyak, dia sudah terbongkang di atas katil. Namun tidur Layla terganggu apabila telefon bimbitnya berbunyi nyaring minta diangkat. Apabila melihat nama pemanggil, tanpa ragu Layla menjawab panggilan.

"Assalamualaikum," sapa suara di hujung talian.

"Waalaikumussalam," balas Layla.

"Anak mak sihat?" Mendengar suara tua itu, jiwa Layla meruntun hiba. Dia rindukan ibu kandungnya itu. Satu-satunya wanita yang mengasihaninya dan melayan Layla selayaknya seperti seorang manusia dan anak.

"Sihat. Mak sihat?" Layla terpaksa tipu sunat kerana tidak mahu membuatkan maknya risau. Cecair jernih mula bergenang di pelupuk mata apabila mendengar batuk-batuk kecil keluar dari mulut maknya.

"Alhamdulillah, sihat." Puan Mastura juga sama seperti Layla, menyembunyikan sesuatu demi menutup kegusaran di hati anak perempuannya.

"Itu mak batuk-batuk, kenapa?" soal Layla risau. Mula-mula perlahan, namun lama kelamaan batuknya menjadi kuat dan lebih kerap.

"Biasalah. Sakit orang tua," dalih Puan Mastura. Baru-baru ini dia sering berasa sakit kepala, mual dan muntah. Rentak jantung selalu menjadi tidak menentu. Dia didiagnosis oleh doktor dengan penyakit darah tinggi sejak setahun lalu, namun perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan Layla. Puan Mastura tidak mahu fokus anak gadisnya terhadap pelajaran terganggu. Dia mahu melihat Layla berjaya dan dapat mengejar impian untuk menjadi pegawai barisan hadapan.

"Kamu bila nak balik sini, Layla? Mak rindu," lirih suara mak menyoal. Dada yang terasa sakit akibat batuk yang tidak berhenti diusap perlahan.

Layla apa lagi, terasa ingin meraung saat itu juga. Mujurlah Dee tak ada di dalam bilik kerana dia ada diskusi dengan teman sekelasnya. Dee kata dia akan pulang lewat.

"Layla rindu pada mak juga. Tapi sekarang Layla tengah sibuk. Projek tahun akhir ni perlu disiapkan segera. Prof pesan, lagi cepat lagi bagus." Layla memberikan alasan. Sejujurnya, dia tidak ada wang yang cukup untuk pulang ke kampung. Perjalanan pergi dan balik memerlukan duit sebanyak RM100. Dia tak mampu. Itu duit makannya selama dua minggu.

Layla dapat menyambung pelajaran inipun disebabkan pinjaman PTPTN. Duit yang diberikan itu pun hanya cukup-cukup makan sahaja. Kadang kala dia terpaksa mengikat perut dengan hanya makan roti dan maggi.

Sementelahan dia hanya pelajar biasa yang tidaklah terlalu pandai. Jadi dia tak layak nak mohon biasiswa.

"Hm, tak apalah kalau macam tu." Puan Mastura berjauh hati.

"Mak, janganlah macam ni." Layla cuba memujuk meskipun dia tahu sukar untuknya menunaikan permintaan mak. Kalaulah duit jatuh dari langit, malam itu juga dia pulang ke kampung.

"Kamu tak perlu rasa serba salah. Mak faham. Anak mak sibuk sebab pelajaran. Tengok kamu berjaya pun salah satu impian dan cita-cita mak."

Walaupun mak terpaksa berjauhan dengan kamu dan hanya dapat bertemu berapa bulan sekali. Sambung Puan Mastura dalam hati. Air mata yang megalir pada pipi tuanya diusap pergi. Enggan menunjukkan kesedihan di hadapan anak daranya.

"Terima kasih, mak. Jangan lupa doakan Layla, ya. Layla janji habis je belajar, Layla akan duduk di kampung dengan mak. Nanti kita jual nasi lemak sama-sama, ya mak. Waktu tu Layla dah ada kereta. Bolehlah sekali sekala Layla bawa mak berjalan-jalan di bandar. Jangan waktu tu mak bosan pula hadap muka Layla hari-hari," usik Layla bagi membangkitkan suasana yang kian suram. Jika dahulu, susah benar dia hendak keluar dari kampung. Pergi ke bandar hanya berapa bulan sekali. Apabila Layla dapat menyambung pelajaran di peringkat universiti, dapatlah dia merasa hidup di negeri orang.

Merata tempat dapat dijejaki. Orang kata, jauh perjalanan luas pemandangan.

"Mak sentiasa doakan kamu. Setiap kali selepas solat, nama kamu tak pernah mak tinggal. Kalau umur mak panjang, dapatlah mak tengok kamu konvo nanti, dapat kerja hebat-hebat, berumah tangga dan ada nak. Kalau tak..." Puan Mastura tidak jadi menyambung kata-katanya apabila telinganya menangkap esakan kecil Layla.

Seakan diluah mati emak, ditelan mati bapa. Begitulah perumpamaan yang dapat menggambarkan keadaan Layla ketika itu.

"Mak jangan cakap macam tu. Layla sayang mak. Layla tak nak hilang mak." Terbayang di minda kejadian di mana dia hampir hilang satu-satunya insan yang dia cintai. Peristiwa itu berlaku beberapa tahun yang lalu, namun setiap detik pada malam itu masih segar dalam ingatan.

Mujurlah lelaki itu tidak lagi wujud di muka bumi ini. Syukur. Sekurang-kurangnya Layla dan mak tidak lagi hidup merana dan terseksa. Nasib mereka semakin baik apabila keluar dari neraka ciptaan lelaki durjana itu.

"Mak sayang kamu juga. Anak mak, cinta hati dan pengarang jantung mak." Tersenyum-senyum Puan Mastura membayangkan wajah Layla. Jika Layla berada di hadapannya saat ini, pasti anak itu dikucup dan dipeluk puas-puas.

Tuhan, dia rindu. Air mata dikesat dengan hujung baju.

"Mak syurga Layla. Layla janji yang Layla akan jaga mak sehingga akhir hayat." Tangisan semakin reda. Sekurang-kurangnya terlepas rindu apabila dapat berhubung sebegini.

"Mak jugaa..." Kata-kata Puan Mastura mati. Layla naik risau. Dia pandang skrin telefon, panggilan ditamatkan beberapa saat yang lalu.

Layla telefon mak semula, lega hatinya apabila mendengar suara mak menjawab di hujung talian.

"Mak, apa jadi?" Terus sahaja Layla menyoal.

"Kredit habis," jawab mak pendek. Kali terakhir mak menambah nilai nombornya minggu lepas.

"Oh. Ingatkan kenapalah tadi." Layla menggosok dadanya yang turun naik dengan kencang.

"Nanti Layla topupkan untuk mak."

"Tak apa, mak ada duit," tolak Puan Mastura, enggan menyusahkan Layla.

Layla dan mak hanya berhubung menggunakan panggilan biasa. Mak tak ada telefon pintar, dia cuma ada telefon picit-picit. Telefon itu sudah lama usianya tapi banyak baktinya pada Puan Mastura.

"Tak pun nanti mak suruh Adit topupkan."

Terus terkunci mulut Layla apabila nama itu meniti di bibir mak. Perasaan geram menguasai diri. Dia benci pemilik gerangan itu.

"Sekarang juga Layla buat. Tak payah minta tolong dia, tak ada guna," ucap Layla berbaur marah. Laju sahaja tangannya membuka akaun bank yang bakinya tak seberapa. Lalu ditambah nilai ke dalam nombor mak.

RM 10. Hanya itu sahaja dia mampu beri.

"Okey, dah."

"Terima kasih, nak."

"Mak, nasi lemak banyak terjual? Kuih-mak mak laku orang beli?" Layla menukar topik. Cuba meredakan gelojak rasa.

"Alhamdulillah. Makin hari, makin ramai yang beli. Minggu lepas, tok penghulu ada buat kenduri kesyukuran. Mak dapat tempahan 100 bungkus nasi lemak. Minggu hadapan Cik Senah buat majlis kahwin anaknya, dia suruh mak buat kuih-muih." Senyuman terukir di bibir mak sembari bercerita.

"Alhamdulillah. Syukur. Rezeki mak. Satu kampung tahu masakan mak semuanya sedap-sedap belaka," puji Layla melambung-lambung.

Malam itu, dua beranak itu berbual panjang sehingga larut malam. Terus terlupa segala kesakitan yang dirasakan.

Perasaan rindu semakin menggebu dalam diri. Semoga ada sinar pada hari esok. 

JEJAKA TERISTIMEWAWhere stories live. Discover now