BAB 14

128 20 1
                                    

DUA bulan berlalu, Layla sudahpun pulang ke kampung halaman lalu tinggal bersama mak. Hirup udara di kampung ternyata jauh berbeza sekali daripada atmosfera di bandar.

Dinihari mak dan Layla akan mula menyediakan bahan untuk memasak nasi lemak dan juga membuat kuih-muih. Layla mengotakan janjinya pada mak untuk berniaga bersama-sama mak di kampung sebaik sahaja tamat belajar.

Apalah sangat untung yang mereka dapat apabila makanan itu dijual kepada orang kampung. Cukup untuk buat balik modal sahaja. Meskipun mereka hidup dalam serba kekurangan, namun mereka bahagia.

Tapi satu benda yang Layla tak suka dan sering merobek ketenangan dan ketenteraman Layla. Manusia bernama Adit. Si kutu rayau. Kerjanya hisap gam dan tahu minta duit mak sahaja. Adit abang susuan Layla. Ibu bapanya meninggal sewaktu kecil, jadi mak Layla yang membesarkan dan menatang Adit bagai minyak yang penuh.

Namun kebaikan dibalas tuba. Adit jauh lebih tua daripada Layla. Namun apa yang dia tahu buat adalah menyusahkan hidup mak.

Berkali-kali Layla marah pada mak kerana terlalu ikutkan sangat kata-kata Adit, tapi mak kata tak mengapalah. Adit itu anak yatim piatu. Jika bukan mak yang berikan kasih sayang, siapa lagi akan menghulurkan kepada Adit.

Sudahnya, Layla mengalah dan tidak mampu berkata apa-apa.

"Oi, nak duit." Kepala Layla ditunjal kasar.

Layla yang sedang melepaskan lelah di atas kerusi rotan memandang Adit dengan renungan maut. Wajahnya berubah bengis. Dengan mak, mungkin Adit boleh pijak lagi. Tapi kalau dengan Layla, langkah mayatnya dahulu.

"Kau pehal nak minta-minta duit orang. Pergilah kerja. Ini kalau tahu melepak je, mana tak miskin." Pedas Layla memerli Adit.

"Jadi kutu rayau, tak bawa faedah. Baiklah kau tolong kutip kelapa sawit ke, menoreh getah ke. Tak pun tolong mak buat nasi lemak, dapatlah juga duit," bebel Layla panjang lebar. Dia sudah masak dengan perangai Adit.

Dia mahu berlalu ke dapur. Daripada melayan otak Adit yang tak berapa nak siuman, baiklah dia pergi masak. Sekurang-kurangnya dapatlah dia mengisi perut yang kelaparan.

Langkah Layla terhenti apabila pergelangan tangannya dilelar kasar oleh Adit. Layla meronta untuk dilepaskan.

"Eh budak. Kau ni tahu memekak je la. Cuba kau jadi macam mak kau. Ikut je apa aku cakap." Adit panas hati melihat perangai Layla yang suka melawan.

"Apa kau fikir besar sangat ke mandat kau? Tak ingin aku ikut apa kau suruh." Layla meludah ke arah Adit lalu berlari ke dapur.

Dia lelah. Lelah hendak melayan kerenah dan menanggung seekor biawak hidup.

"Kau tunggu la," bentak Adit geram. Sambil menghentak kaki, dia keluar dari rumah. Dihidupkan enjin motosikal, kemudian dia memandu tanpa arah tuju.

Jika diikutkan hati Layla, mahu sahaja dia meninggalkan kampung ini dan mencari pekerjaan di bandar. Apabila memikirkan mak, niat Layla dibatalkan. Hatinya terpujuk dengan kehadiran mak. Alangkah bahagianya dunia jika hanya ada Layla dan mak.

Dia tak suka Adit. Dia bencikan lelaki itu.

Wajah mak yang baru keluar bilik air menjamah pandangan apabila tubuh Layla terpacak di dapur.

"Kamu okey, Layla?" soal mak prihatin apabila melihat wajah Layla yang memerah kerana menahan marah.

"Adit tu mak. Sesuka hati dia je minta duit orang. Ingat Layla ni cop duit ke apa? Dah la main tunjal-tunjal kepala orang. Kalau tiba-tiba otak Layla jadi senget sebelah, semuanya salah dia." Layla meluahkan rasa tidak puas hati kepada mak.

Mak mengusap belakang tubuh Layla untuk menenangkan anaknya itu. Hubungan Layla dan Adit tak pernah baik dari kecil. Adit itu suka mencari fasal dengan Layla. Anak gadisnya itu pula cepat naik angin.

Sambal nasi lemak yang tidak habis dijual pagi tadi dipanaskan atas dapur. Telur rebus dikopek kulitnya, "Mak nak makan? Kalau mahu, Layla sediakan untuk mak juga."

Mak mengangguk. Walaupun dia belum berasa lapar, tapi mak ingin menemani anak gadisnya makan.

"Tak lama je, Layla kamu dekat sini. Nanti kalau mak dah tak ada, mak izinkan kamu keluar dari kampung ni. Cari kerja yang bagus-bagus, senangkan hidup kamu," ujar mak sambil tersenyum.

Serta-merta kepala Layla menoleh ke arah mak, "Apa mak ni. Janganlah cakap macam tu. Mak kena ada dengan Layla sampai Layla kahwin dengan beranak pinak. Mak jangan tinggalkan Layla. Layla hanya ada mak je di dunia ni." Lantas jari-jemari mak digenggam lalu dikucup hangat.

"Mak cakap je. Mak ni dah tua. Bila-bila masa je Allah boleh tarik nyawa mak." Mak menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di situ.

"Muda atau tua, mati tu tak kira usia, mak. Boleh jadi Layla pergi dahulu," selar Layla sambil tangannya lincah memasukkan nasi ke dalam dua buah pinggan. Kemudian, sambal yang telah dipanaskan dan telur yang sudah dikopek diletakkan sekali. Tak lupa juga hirisan timun, ikan bilis dan kacang tanah sebagai penambah rasa.

Layla meletakkan satu pinggan di hadapan mak, manakala satu lagi pinggan buat dirinya. Dua beranak itu menikmati hidangan makanan tengahari dengan begitu berselera sekali.

Banyak topik yang mereka bualkan. Tawa Layla dan mak bergema di ruang dapur.



LAYLA mengeluarkan sebuah sampul yang berisi duit di dalamnya. Sepanjang menjual nasi lemak dan kuih muih, Layla menabung sedikit demi sedikit. Wang itu dia nekad untuk guna bagi menjalani rawatan fisioterapi bagi merawat kansernya.

Terdapat perubahan yang sangat ketara pada buah dada Layla. Kadang kala terasa bengkak dan sakit. Setiap kali sakit, Layla hanya mampu menangis. Sebiji dua ubat tahan sakit ditelan agar kesakitan berkurangan.

Beberapa not RM50 berada dalam simpanan Layla. Minggu hadapan dia mahu ke bandar untuk menjalani sesi rawatan. Tidak tahu berapa kos yang perlu ditanggung, Layla hanya pasrah.

Hendak minta duit mak, dia tak sampai hati. Layla mendidik dirinya sejak berada di universiti agar tidak membebankan mak.

Sampul diselitkan kembali di bawah katil. Itupun diletakkan di hujung-hujung agar tidak dijumpai oleh sesiapa. Dia risau Adit akan masuk ke dalam biliknya lalu menyelongkar barang-barangnya sekiranya lelaki itu terdesak.

Melihat bingkai gambar di atas meja solek, senyuman terbit di bibir Layla. Wajah Layla, Dee dan Fiz terakam indah dalam foto tersebut.

Rindu Layla terhadap rakan-rakannya semakin menggebu.

"Dee, apa khabar kau sekarang? Sudah kerja ke? Atau jadi penganggur terhormat?

Fiz, kau pula apa cerita? Dapatkah kau luahkan perasaan cinta kau terhadap Dee? Aku harap kau orang berdua baik-baik sahaja," celoteh Layla sendiri. Bingkai gambar dipeluk dan dicium.

Sudah lama dia tidak berhubung dengan rakan-rakannya. Alkisahnya, telefon bimbit Layla rosak sebaik sahaja dia pulang ke kampung. Layla tiada duit hendak beli telefon baharu, jadi terpaksa melupakan keperluan untuk memiliki telefon bimbit.

Sudahnya, nombornya juga telah mati.

"I don't want to lose you." Berkali-kali suara garau itu bergema dalam kotak fikiran. Ingatannya terpamit pada seseorang.

Layla terpaksa menampar pipinya untuk kembali ke alam realiti. Dia sudah gila agaknya teringatkan mamat itu.


JEJAKA TERISTIMEWAWhere stories live. Discover now