BAB 11

136 17 0
                                    

PETANG itu, entah mimpi apa Layla mengajjak Fiz untuk menemaninya berjoging. Mereka bersukan di trek yang mengelilingi kawasan kolej. Dee tidak menyertai mereka berdua kerana dia mahu tidur. Walaupun Layla telah memberi kepada Dee bahawa tidak elok tidur selepas Asar, dia tetap buat keras kepala. Akhirnya, Layla akur dengan keputusan Dee.

Sebelum aktiviti dilakukan, Layla dan Fiz memanaskan badan terlebih dahulu untuk mengelakkan kekejangan otot daripada berlaku.

"Mimpi apa petang-petang ni kau ajak aku turun? Selalunya nak nampak batang hidung kau kemain susah," soal Fiz sambil menggerak-gerakkan tangannya ke atas, ke tepi dan ke belakang.

"Aku dah berubah la. Azam baru aku nak bersenam setiap petang." Layla memberitahu misinya untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

"Baguslah macam tu," puji Fiz. Jauh di sudut hati, Fiz dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu Layla.

Selesai aktivit memanaskan badan, mereka memulakan senaman pada jam 6.00 petang. 45 minit kemudian, kedua-dua sahabat itu berjaya menamatkan dua pusingan. Sebenarnya Fiz selalu berjoging sejauh 10 km dalam 30 minit. Tapi disebabkan ada Layla, dia mengikut rentak gadis itu. Fiz menemani Layla dan enggan membiarkan Layla keseorangan.

Usai berjoging, Fiz dan Layla melepak di kafe bagi melepaskan lelah. Layla membeli teh ais bungkus, manakala Fiz memesan kopi ais untuk menghilangkan rasa dahaga.

"Leganya rasa dapat minum air sejuk waktu penat macam ni," kata Layla sambil mengusap anak tekaknya di sebalik tudung yang dipakai.

"Iya, nikmat. Kita dah bakar kalori, habis joging pekena air manis pula. Tak berkesan kalau tujuan nak kurus. Seeloknya minum air masak saja," nasihat Fiz. Tapi kadang kala dia juga melanggar pantang seperti sekarang.

"Setuju." Layla menggenggam tangannya lalu diangkat ke udara.

"Semangat!" Aksi Layla ditiru oleh Fiz.

"Wonderpet, wonderpet kami datang." Dan Fiz mula merepek.

Tawa terletus dari bibir dua sahabat itu.

"Kau ada apa-apa masalah ke Layla?" soal Fiz tanpa selindung selepas ketawa mereka reda. Sedari tadi dia ingin bertanyakan itu, namun dilambat-lambatkan niatnya memandangkan Layla nampak mengah untuk berbual sambil berjoging.

"Tak ada apa-apa lah. Kenapa kau tanya macam tu?" pangkas Layla. Dia memandang Fiz.

"Betul ni tak ada apa-apa?" tanya Fiz sekali lagi untuk meminta kepastian.

"Betul." Beria Layla cuba meyakinkan. Senyuman terpaksa diukir di bibir mungilnya itu.

"Okeylah kalau kau cakap macam tu." Fiz beralah. Siapalah dia untuk memaksa jika Layla tidak mahu membuka cerita?

Jeda.

"Aku pun ada sesuatu nak tanya kau," kata Layla selepas menyisip sedikit teh ais di atas meja.

Fiz menjongket kening, "Apa dia?"

"Kau ada rahsiakan apa-apa daripada aku?" Pandangan tajam diberikan.

Fiz teguk air liur yang terasa kesat. Halkumnya bergerak-gerak. Gugup. Layla dapat membaca tindak-tanduknya selama ini?

"T... tak ada..." Tergagap-gagap Fiz menjawab.

"Kau suka Dee, kan?" Layla melepaskan tembakan yang tepat.

Fiz tengadah, "Mana kau tahu?" Tiada apa yang hendak disangkalkan. Kenyataan itu pasti akan terbongkar satu hari nanti walau seutuh mana pun dia cuba sorokkan.

"Walaupun aku diam, tapi aku perhati. Pandangan kau, cara layan Dee, berbeza sangat berbanding orang lain. Kau suka usik Dee, kau gembira tengok dia blushing. Bila dia marah, kau cepat-cepat pujuk. Bila dia ada masalah, kau sangat prihatin." Dengan yakinnya Layla menutur kata.

"Layanan aku kepada kau pun sama je," bangkang Fiz. Sedangkan hakikatnya dia terkejut bagaimana Layla boleh perasan akan semua hal itu.

"Lain. Lain." Layla mengangkat jari telunjuk ke atas lalu digoyang ke kiri dan ke kanan.

"So, what's the problem?" Percubaan mengorek rahsia dilancarkan.

"Hm." Jeda.

Layla menanti dengan sabar kata-kata yang bakal keluar dari mulut Fiz.

"Aku nak confess, tapi takut..." Fiz terdiam.

"Takut apa? Risau kena reject?" Hujung bibir Layla terangkat ke atas.

Lambat-lambat Fiz mengangguk. Teringat bagaimana Dee mengatakan bahawa dia rela bercinta dengan monyet di dalam hutan. Tersentak Fiz apabila mendengar butir bicara Dee meskipun dia tahu wanita itu hanya ingin bergurau.

"Kau nak tahu tak, aku dengan Dee berkongsi satu persamaan. Kita orang ni nampak je kasar di luar, mulut sejenis yang lepas, gurau pun kasar, tapi hati kami ni lembut. Orang tunjuk usaha sikit, kami dah cair. Orang buat baik, kami cepat terharu. Walaupun aku tak tahu apa yang ada dalam hati Dee, tapi tak salah untuk kau mencuba. Lagipun kita dah sem akhir, selepas ni tak tahu bila boleh berjumpa lagi. Kalau kau tak buat sekarang, bila lagi?" Panjang lebar Layla mengucap kata.

"Bagi aku, alang-alang kau dah lama pendam perasaan kau, teruskan je sampai hari terakhir kita dekat sini. Habiskan dulu final exam dan sebagainya. Kalau Dee terima, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, sekurang-kurangnya kau tak terganggu dengan penolakan Dee sebab waktu tu kita dah habis degree." Sebagai seorang sahabat yang baik, Layla memainkan tanggungjawabnya untuk memberikan nasihat yang berguna buat Fiz dan juga Dee. Dia sayangkan kedua-dua orang sahabatnya itu. Andai ditakdirkan mereka bersatu, Layla ialah orang yang paling gembira sekali dalam dunia ni. Kalau nak jumpa, senang sekali harung.

"Baik. Aku faham. Tapi kau rasa dia akan terima aku tak?" tanya Fiz dengan nada gusar. Perkara itu telah mengganggunya berhari-hari lamanya.

"Tu semua bergantung pada Dee. Aku tak boleh buat keputusan untuk dia. Jika dia pilih untuk bahagia, aku tumpang gembira sekali. Tapi setakat ini dia memang tak ada sesiapa lah. Jadi, jangan risau. Kau tak akan digelar perampas," kata Layla dalam nada gurauan.

Fiz tertawa kecil, "Lega aku dengar."

"Ha, tapi aku pelik. Bukan ke ramai budak-budak junior tergila-gilakan kau. Dah la atlet, genius pula tu. Kenapa kau tak pilih dia orang? Kenapa Dee?" Layla cuba menyingkap rahsia hati Fiz. Alang-alang topik ini sudah dibuka, izinkan dia korek sehingga ke dasar.

"Sebab dia lain daripada yang lain. Dengan dia dan kau aku tak perlu cover dan jadi orang lain. Aku selesa jadi diri aku sendiri," terang Fiz jujur. Antara Dee dengan Layla, tidak pernah Fiz membezakan layanan antara mereka. Namun hatinya berdetak nama Dee.

"Dan setiap kali aku pandang Dee, aku tak tahu nak gambarkan apa yang aku rasa. Jantung ni confirm berdegup laju macam lepas marathon." Tiada selindung Fiz meluahkan rasa.

"Cewah, kawan aku dah dilamun cinta la." Semakin giat Layla mengusik apabila melihat wajah Fiz yang bertukar kemerahan.

Fiz sedut air kopi ais laju-laju. Dia benar-benar gemuruh. Tak sangka rahsia yang disimpannya selama ini akhirnya terbongkar di hadapan Layla.

"Apa-apa pun aku doakan yang baik-baik untuk kau orang. Kalau jadi nanti, sila sediakan seat VVIP untuk aku sewaktu majlis kau orang. Aku orang penting tau," kata Layla penuh lagak.

"Insya-Allahh. Tapi aku harap yang kau jangan bocorkan apa-apa kepada Dee tau. Waktu dah bersedia nanti, aku sendiri akan beritahu dia," pohon Fiz. Dia memberikan pandangan yang penuh berharap kepada Layla.

"Jangan risau. Rahsia kau selamat dengan aku." Layla membuat gaya zip mulut lalu dimanggakan. Kunci manga dicampak ke arah Fiz lalu Fiz pura-pura menyambut kunci halimunan itu.

"Selagi kau tak buka mulut, aku akan diam." Layla memberikan kata putus.

"Thank you, Layla," ucap Fiz.

"Nanti aku belanja kau coklat." Ini sejenis rasuah namanya. Apa-apa sajalah, asalkan bahagia.

"Aku nak coklat yang paling mahal tau." Sempat Layla berpesan kepada Fiz.

"Roger that."

JEJAKA TERISTIMEWAWhere stories live. Discover now