BAB 13

162 19 7
                                    

HARI ini hari terakhir Layla berada di kampus. Jerih perih yang dia dan rakan-rakannya lalui selama 4 tahun menuntut ilmu di situ bakal menjadi kenangan yang akan terabadi dalam ingatan. Sewaktu di tahun satu, dia masih ingat bagaimana dia dan Dee menangis kerana merasakan bahawa mereka tersalah memilih kursus. Berkali-kali mereka berdua ingin berhenti belajar. Perangai cengeng itu dibawa sehingga ke tahun akhir. Tahu-tahu sahaja mereka telah pun berjaya menempuh segala kesusahan itu.

Kertas terakhir subjek applied therapeutics in hematopoiesis, neurology and psychiatry telah dijawab semalam. Maka secara tidak rasminya tamatlah pengajian ijazah sarjana muda bagi mahasiswa fakulti farmasi tahun akhir. Seawal Subuh, ibu bapa Dee telah menjemputnya pulang. Fiz pula awal-awal lagi sudah balik semalam semalam sebaik sahaja peperiksaan tamat. Masing-masing teruja apabila tamat belajar kerana tidak perlu lagi berasa stres mengejar deadline assignment dan sebagainya.

Usai menjawab kertas subjek killer semalam, sempatlah tiga sekawan itu berjumpa buat kali terakhir sambil bermandikan air mata. Macam-macam ucapan serta amanat terakhir keluar dari bibir.

"Jangan lost contact."

"Nanti roger kerja dekat mana."

"Rajin-rajinlah call dan mesej selalu bertanyakan khabar."

"Kahwin nanti jangan lupa jemput."

Dan berjela pesanan lain yang diterima. Sedih? Semestinya. Selepas ini, entah bila mereka semua akan bertemu setelah membawa Haluan masing-masing. Mana tidaknya, seorang tinggal di Barat Daya, seorang di Selatan manakala seorang lagi di Pahang.

Inilah realiti yang perlu dihadapi. Sakitnya sebuah perpisahan. Bertemu kerana pelajaran, berpisah kerana kerjaya.

Layla pulang di malam hari dengan menaiki bas kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Sebenarnya selepas kejadian di mana ada cecair yang keluar dari puting payudaranya, Layla perasan terdapat perubahan pada bentuk asetnya itu. Kulitnya seakan-akan menggerutu di kawasan tersebut. Jadi dia memutuskan untuk pergi sendiri ke unit kesihatan bagi memberitahu keadaannya kepada ahli yang lebih pakar. Doktor di unit kesihatan terkejut mendengar cerita Layla. Dan dia bertanya kepada Layla kenapa Layla lambat berjumpa dengan doktor setelah perasan ada perubahan pada tubuh badannya. Layla memberitahu bahawa dia sibuk kerana dia merupakan pelajar tahun akhir. Sementelahan dia juga takut.

Kemudian, doktor bertugas membuat surat referral kepada doktor pakar di hospital. Ke klinik kesihatan sehinggalah temujanji di hospital, semuanya Layla uruskan sendiri tanpa meminta bantuan daripada sesiapa. Setelah menjalani beberapa ujian seperti mamografi dan biopsy tisu untuk pengesahan, hari ini keputusan bakal dikeluarkan.

Jadi Layla pergi ke hospital seorang diri dengan debaran yang menggila di dada. Bagaimana sekiranya keputusan yang bakal diterima itu bakal meranapkan sekeping hatinya? Kalau betul dia ada kanser, apa yang perlu dia lakukan?

Tapi mujurlah segala kos ujian pengesahan ditanggung oleh pihak universiti. Jadi Layla berasa sedikit lega kerana dia tidak perlu membayar apa-apa.



PETANG itu, suasana amat suram dan mendung. Awan hitam berarak menandakan tak lama lagi hujan akan turun.

Sedang Layla berjalan, hujan turun dengan sangat lebat. Setitik demi setitik air mata Layla gugur. Langkahnya lemah longlai. Saat itu, hati Layla cukup terluka.

Kenyataan yang baru dikeluarkan oleh doktor pakar sakit puan, Doktor Aira benar-benar membuatkan jantung Layla hampir berhenti berdegup.

Dia disahkan menghidapi kanser payudara tahap 2.

JEJAKA TERISTIMEWAWhere stories live. Discover now