BAB 10

149 16 0
                                    

SEDAR tak sedar, semester lapan bakal berakhir. Maknanya, degree juga akan tamat tak lama lagi. Sekarang merupakan minggu ke-14, maka para mahasiswa sibuk dengan tugasan masing-masing. Pada waktu inilah mereka perlu menyiapkan segala assignment di samping perlu mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan akhir sudah hampir. Jika hendak mengharapkan minggu ulangkaji yang hanya beberapa hari, tak sempat rasanya mereka hendak mempelajari semua topik yang diajar oleh pensyarah.

Malam semalam, Layla dan Dee berasa tertekan kerana seharian mereka menghadap kerja yang diberikan oleh Dr. Imran. Jadi mereka menonton filem kelakar sehingga 4.00 pagi bagi menghiburkan hati yang lari. Kesudahannya kedua-dua wanita itu bangun apabila matahari sudah terpacak di atas kepala. Masing-masing berlawan tidur. Walaupun sudah terjaga jam 8.00 pagi, Layla tidur semula apabila melihat Dee di sebelahnya masih terlena. Dee juga begitu. Tatkala dia tengok Layla tak bangun lagi, dia jadi malas nak bergerak dari katil.

Setelah puas tidur sehingga sakit kepala, Layla memaksa matanya untuk celik. Dilihatnya Dee tidak ada ada di katil. Pergi ke manakah sahabatnya itu? Layla tak perasan pula bila Dee keluar dari bilik.

Sedang Layla sibuk berfikir mencari jawapan, tiba-tiba pintu bilik terbuka. Kepala Layla tengadah ke muka pintu. Dee masuk ke dalam bilik dengan bungkusan makanan di tangan. Melihat muka Dee yang segar-bugar, tahulah Layla bahawa Dee telah pun mandi dan pergi ke kafe.

"Dah bangun pun kau. Aku turun beli makanan kejap tadi. Nak kejut kau tak sampai hati. Jadi aku belikan untuk kau. Nah, nasi ayam kegemaran kau," kata Dee lalu meletakkan plastik makanan ke atas meja studi.

Hati Layla tersentuh dengan perbuatan Dee. Kadang-kadang ada juga dia terfikir yang dia tidak layak untuk bergandingan dengan kawan sebaik Dee. Meskipun acapkali orang memandang serong kepada Dee kerana dia tidak memakai tudung, namun hati wanita itu sangat baik lagi murni. Hanya mereka yang mengenali Dee sahaja akan tahu sifatnya yang sebenar.

"Dee, serba salah aku macam ni. Patutnya kau kejut je aku. Tak payah susahkan diri kau. Kita boleh turun ke kafe beli makanan bersama-sama macam biasa." Layla bangun dari katil lalu berjalan mendekati Dee. Tangan Dee digenggamnya erat menandakan bahawa dia benar-benar berterima kasih kepada Dee.

"Kalau kau cakap lagi yang aku susahkan diri aku lepas ni, aku tolak kau jatuh dari tingkap bilik," ucap Dee berbaur geram. Dia langsung tidak kisah untuk belikan makanan buat Layla. Bukannya orang lain, kawan baiknya sendiri juga.

"Yalah. Yalah. Aku sayang kau. Terima kasih tau Dee. Nanti aku bayar, ya." Badan Dee ditarik ke dalam pelukan.

"Tak payah bayar. Aku belanja," putus Dee. Dee menjarakkan kedudukannya dari Layla. Dia lantas membuka plastik makanan. Semerbak bau nasi ayam memenuhi ruang bilik. Kecur air liurnya melihat makanan di hadapan mata.

"Janganlah macam tu, Dee. Dah banyak sangat kau belanja aku selama ni. Tak sedap pula aku rasa." Sememangnya Layla tahu yang Dee datangnya daripada sebuah keluarga yang berada. Ibunya merupakan seorang doktor falsafah, manakala ayahnya seorang pakar bedah yang ternama. Tapi Layla tak pernah ambil kesempatan atas kesenangan Dee. Sebagaimana Dee ikhlas berkawan dan terima Layla seadanya, begitulah juga Layla.

"Tak apa, kau ambil je. Dah berapa hari aku tengok kau asyik makan nasi putih dengan sambal goreng. Hari ini makan ayam lah pula." Dee tahu tentang apa yang dilalui oleh Layla. Apabila ditanyakan sebab Layla hanya menjamah nasi berlaukkan sambal, Layla akan memberi alasan bahawa dia kenyang. Awal-awal dahulu Dee percayalah jika Layla memberikan alasan sedemikian rupa. Lama-kelamaan dia sudah faham fi'il Layla. Itu menandakan bahawa Layla sedang sesak kerana duit pinjamannya sudah habis.

"Terima kasih Dee," ucap Layla berkali-kali.

"Dah. Kau tak payah nak buat muka kesian ke serba salah ke apa. Aku tak nak tengok. Sekarang kau pergi mandi. Aku dah lapar ni."

Dee menolak tubuh Layla supaya dia pergi membersihkan diri.

Layla cebik bibir.

"Dengan air liur basi meleleh-leleh, ini kalau bakal laki kau tengok mahu dia lari sampai ke benua Afrika sana," kutuk Dee, sengaja mahu mengenakan Layla.

Mendengar kata-kata Dee, laju saja tangan Laila menampar bahu kawannya itu, "Mulut kau tu. Doakanlah yang baik-baik untuk aku. Kalau termakbul, tak ke naya hidup aku."

Tawa kecil terletus dari bibir Dee, "Aku gurau saja lah. Mestilah aku doakan kau dapat lelaki yang baik, bertanggungjawab dan sayangkan kau sepenuh hati. Okey cik Layla, pergi mandi sekarang. Kalau tak aku makan dulu. Kau makan sorang-sorang," ugut Dee sambil berpeluk tubuh.

"Yalah. Kau tunggulah kejap."

Saat Layla berpaling untuk ke bilik air, Dee melelar pergelangan tangan Layla. Dahi Dee berkerut. Matanya jatuh ke arah dada Layla, "Air apa itu dekat baju ke?"

Layla turut melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Dee. Terkejut Layla apabila ternampak seperti ada cecair yang keluar daripada puting payudaranya.

"Tak tahulah. Tak perasan pula aku air apa. Rasanya tak ada apa-apa yang tumpah. Nak kata basah sebab mandi, bilik air pun aku tak jejak lagi." Kening Layla bertaut.

"Dah, pergi mandi terus," arah Dee. Riak wajahnya bertukar risau.

Layla capai tuala lalu bergegas ke bilik air. Di hadapan cermin, dia menyelak helaian bajunya lalu mendapati ada cecair yang keluar dari putingnya. Jantung Layla berdegup laju. Dia belum berkahwin dan beranak, mustahil ada susu keluar.

Hatinya berasa tidak sedap. Dan dia perasan juga yang benjolan di bawah celah ketiaknya juga tidak hilang. Sudah berbulan-bulan lamanya bebola sebesar guli di situ.

Selepas Layla membersihkan diri, dia berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Apabila Dee bertanya dan menyarankan Layla untuk ke klinik, Layla berdalih. Katanya hanya cecair biasa sahaja. Sedangkan hatinya dihambat rasa risau yang teramat.

"Apa-apa kau bagitahu aku tau. Jangan simpan sendiri. Kau kena ingat yang kau masih ada aku dalam dunia ni. Aku sayang kau sangat-sangat," ujar Dee selepas mereka menikmati makanan tengahari dalam keadaan masing-masing mendiamkan diri. Dia perasan Layla banyak termenung sewaktu makan tadi.

"Jangan risaulah. Apa-apa aku akan kasitahu kau." Layla ukir senyuman tawar yang tersirat penuh makna. Maaf Dee, aku tak janji.

JEJAKA TERISTIMEWAWhere stories live. Discover now