BAB 6

150 23 1
                                    

HARI ini Layla pergi ke ladang ternakan untuk menyelesaikan urusan yang tertangguh minggu lepas. Dia tak mahu tumpang Qays lagi. Dia paksa Dee menghantarnya ke tempat tersebut dengan menggunakan motor Fiz. Mujurlah Dee mempunyai lesen motosikal.

"Terima kasih tau Dee sebab tolong hantarkan aku kat sini. Kalau tak ada kau, mungkin aku kena jalan kaki. Esok pun belum tentu aku sampai." Helmet ditanggalkan dari kepala. Tudung yang terkelepet Layla betulkan. Siapa suruh pakai tudung bawal, kan dah rosak awning. Lepas ni dia kena pakai selendang setiap kali datang ke sini.

"Tak ada hal lah. Kau bukan orang lain pun, sahabat baik aku dunia akhirat. Kebetulan aku memang tak ada kelas hari ini, jadi bolehlah tolong hantarkan kau." balas Dee. Dia membetulkan rambutnya yang kusut masai akibat tiupan angin yang kuat ketika memandu kenderaan pacuan dua roda itu.

"Kejap aku nak lap hingus." Laila pura-pura menggosok hidungnya menggunakan hujung baju. Tapi dia memang terharu pun dengan Dee.

"Eleh, mengada betul yang kau ni." Dee memutarkan bebola matanya ke atas.

"Aku rasa serba salah dengan kau sebenarnya." Belum sempat Layla menghabiskan ayat, bahunya ditampar kuat. Dee mengesat peluh di dahi, kemudian dilap pada hujung hidung Laila.

Automatik Layla menepis tangan Dee, "Ee, busuk la. Bau kepam. Tak senonoh betul." Muka Layla cemberut.

"Tu balasan untuk kau. Sekali lagi aku dengar kau cakap macam tu, aku humban kau dalam kolam ikan belakang fakulti tu," ugut Dee.

"Oh, dah tak sayang aku dah sekarang." Layla cekak pinggang.

"Mestilah sayang. Gila ke tak sayang? Kau kawan paling busuk aku pernah ada. Tak bau sehari, tak lena aku tidur." Dalam memuji, sempat Dee mengutuk rakannya itu.

Layla pasrah. Susah dapat kawan yang tak pernah nak serius ni.

"Dahlah aku masuk dulu. Nanti lambat Prof bising pula." Helmet dihulurkan kepada Dee.

"Yalah, nanti kalau kau nak balik, call je aku. Sepantas kilat aku sampai. Kalau aku tak sampai, maksudnya aku dah Inilillah." Dee tayang sengih umpama kerang busuk. Helmet yang dipakai oleh Layla diletakkan di atas bakul.

"Isy, mulut kau ni. Cakap tu baik-baik, jangan doa bukan-bukan. Kalau jadi apa-apa kang menyesal." Layla memberikan peringatan kepada Dee. Mata dijegilkan.

"Baiklah ustazah Layla. Dahlah aku gerak dulu. Nak pergi cari lunch. Aku lapar ni." Dee buat memek muka macam orang kebulur tak makan sebulan sambil memegang perut yang berkeroncong sedari tadi. Layla rasa nak lempang muka itu.

"Buruk roman. Elok-elok balik tu. Assalamualaikum."

"Baik. Waalaikumussalam." Setelah menjawab salam, Dee memecut motosikalnya pergi. Laila pula mengatur langkah ke ladang ternakan. Teringat kejadian di mana dia dikejar oleh sekawan lebah. Rasa fobia pun ada juga. Tapi mahu atau tidak, dia tetap perlu kembali ke sini semula demi menyelesaikan projek tahun akhir. Sepanjang seminggu ini jugalah Layla tidak bertemu empat mata dengan Qays.

Dia sebolehnya mahu melarikan diri daripada lelaki itu. Sewaktu datang ke makmal, dia akan memastikan bahawa Qays tidak berada di situ pada waktu yang sama.

Mail yang ternampak kelibat Layla pantas menegur, "Assalamualaikum cik Layla. Baru sampai ke?" Senyuman tak lekang dari wajah lelaki yang berumur sekitar 30-an itu.

"Waalaikumsalam Encik Mail, saya baru je sampai ini. Prof dah tiba ke?" Layla berjalan mendekati Mail yang sedang memegang bekas yang berisi madu lebah.

"Belum lagi. Prof kata hari ini dia lambat sikit sebab ada miting mengejut." Mail menyampaikan pesanan yang dititipkan oleh majikannya pagi tadi.

"Tak usah la panggil Encik Mail. Panggil awak-saya pun dah cukup. Gelar Mail pun boleh. Lagipun saya ni tak adalah tua mana." Meskipun usia Mail boleh dikatakan sesuai untuk jadi bapa orang, tapi jiwanya masih muda.

JEJAKA TERISTIMEWATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang