BAB 15

507 24 5
                                    

SEDANG menonton filem Mat Kilau di televisyen, sofa terhenyak apabila sosok pak su melabuhkan punggung di situ. Kepala Qays tertoleh ke arah pak su. Tadi pak su keluar membeli makanan, tidak perasan pula bila masa lelaki itu pulang.

"Termenung apa Qays? Pak su tengok tv yang tengok kamu, bukan kamu tonton tv." Sejak lima minit tadi dia berdiri di sebelah Qays, namun anak buahnya itu langsung tidak menyedari kehadirannya.

"Tak ada apalah, pak su," dalih Qays.

"Rindukan orang jauh ke?" usik pak su. Bahu Qays disenggol.

"Orang mana ni?" Dahi Qays berkerut.

"Entah, mana pak su tahu. Entah-entah kamu ada kekasih hati, tapi tak bagitahu paksu." Tangan disilang ke dada. Epul tiada anak kerana isterinya meninggal selepas sebulan mereka menikah kerana jangkitan kuman dalam darah. Qays ditatang bagai minyak yang penuh dan dianggap seperti anak sendiri setelah abang dan kakak ipar Epul meninggal dunia.

Qays menyeringai. Wajah seseorang terlayar di ingatan. Namun, cepat-cepat diusir bayangan itu pergi.

"Pak su nak tanya kamu ni." Paha Qays ditepuk perlahan.

"Apa dia, pak su?" Qays memusingkan badan menghadap pak su.

"Kamu masih mencari siapa yang menyebabkan kematian mama dan papa kamu?" Sudah lama soalan itu ingin diajukan, namun Epul diamkan sahaja. Dia menanti Qays membuka mulut, tapi sampai ke sudah bibir itu hanya membisu.

Lambat-lambat Qays mengangguk.

"Pak su ingat tak kita pergi ke balai polis untuk suruh mereka buka semula kes kebakaran yang berlaku, tapi mereka kata yang kes itu telah ditutup. Hendak dicari failnya, mungkin agak sukar kerana kejadian itu telah berlaku kira-kira 25 tahun yang lalu."

"Pak su masih ingat apa yang pihak polis cakap." Masakan tidak, dialah yang menemani Qays ke balai polis. Masih ingat lagi bagaimana dia dan Qays cuba menyelongkar kebenaran.

"Saya tak sedap hati. Saya rasa kejadian tu bukan kemalangan, tapi kes pembunuhan. Cuma bila polis tak cuba siapa suspek yang terlibat, mereka tutup kes itu sampai sekarang," ujar Qays dengan nada kecewa. Dia masih berharap agar ada keadilan untuk kematian kedua ibu bapanya.

"Jadi saya pergi ke kawasan perumahan tempat kami tinggal dulu. Kebanyakan jiran sudah berpindah. Tapi ada seorang mak cik tua ni ada maklumat tentang suspek." Qays masih ingat perjumpaannya dengan seorang wanita berusia yang mahu dirinya digelar Mak Som.

"Apa Mak Som cakap?" tanya pak su dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.

"Dia cakap malam tu dia nampak seseorang yang mencurigakan berlegar-legar sekitar rumah kami. Tak lama lepas tu, kebakaran pun berlaku. Mak Som tinggal di Kampung Hulu sebelum berpindah ke kawasan rumah kami. Katanya lelaki itu merupakan penduduk di kampung sebelah, Kampung Hilir. Tapi dia ingat-ingat lupa wajah lelaki itu, cuma dia tahu orang panggil lelaki itu Mat. Mak Som ada beritahu ciri-ciri lelaki itu, tinggi dan kurus keding." terang Qays panjang lebar. Meskipun klu yang terakhir itu tidak dapat membantu kerana barangkali fizikal lelaki itu sudah berubah, Qays tetap menanggap maklumat itu penting.

"Mak Som tak bagitahu maklumat ni pada pihak polis?"

"Dah. Tapi suspek berjaya lari. Jadi sampai sekarang polis tak jumpa lelaki tu," beritahu Qays.

Epul menghela nafas berat. Sejak hari itu pencarian mereka menemui jalan buntu.

"Tapi Mak Som bagi alamat kampung dia. Sekejap." Telefon bimbit di dalam poket seluar dikeluarkan. Aplikasi nota dibuka lalu disuakan gadget tersebut kepada pak su.

Alamat kampung yang pernah diduduki Mat suatu ketika dahulu tercatat di situ.

"Bila kamu nak pergi sana?" Sudah tahu apa yang direncanakan oleh Qays, laju soalan itu meluncur keluar dari mulut Epul.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 01, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

JEJAKA TERISTIMEWAWhere stories live. Discover now