PROLOG

1.7K 115 14
                                    

Bahagian I

A heart which once whole,
Shattered and torn,
A love which once pure
Now forever forlorn..











Dinihari ini, bayu semilir bertiup syahdu mengucupi segenap inci wajah. Bumantara kelihatan mendung sekali. Awan mendung berarak lesu di kaki langit.

Entah mengapa semuanya kelihatan sepi sekali. Langit seakan mengejek riang kepada si jenazah yang bakal diuruskan pada pagi ini.

Bunyi kicauan burung tidak serancak seperti biasa. Mungkin, tidak lalu mencari rezeki tatkala melihat seraut wajah yang sangat hina di mata mereka.

Ah, siapa sahaja yang sudi menatap wajah itu. Penghuni bumi juga tidak lalu, apa lagi penghuni langit. Bermimpi sahajalah!

Berdiri tidak jauh dari tempat memandikan jenazah wanita, sepasang kakiku terpasak teguh pada bumi. Merasai kehangatan yang mengucupi rahang wajah, automatik jari-jemariku naik melekap pada lurah pipi.

Basah.

Aku tidak sedar kolam mataku mula pecah dan kini bolos dari empangan.

Perlahan-lahan, anak mata melototi pada sekujur tubuh wanita yang elok ditutup dengan kain batik lepas di tempat pemandian jenazah.

Melihat kulit tubuh dan raut wajahnya, terasa bagai jantung ini dicucuk dengan jutaan sembilu.

Sakitnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Aku sedar, bau busuk yang keluar dari setiap rongga kulit wanita itu membuatkan manusia-manusia yang mahu uruskan jenazah, menekup mulut dan hidung dengan rapat.

Ada segelintirnya sudah membawa diri menjauh. Tidak sanggup melihat ulat dan binatang berbisa yang membelit jasad yang hitam legam itu.

Wajah cantik itu, hancur lebur bagai dijilat api. Sudah berkecai setiap daging yang membaluti rangka tubuh. Terdapat juga ulat-ulat putih yang melekat pada segenap inci anggota badan.

"Tak mengapa, biar saya mandikan jenazah isteri saya ni ya..."

Sebaik sahaja suara maskulin itu menerpa ke setiap koklea wanita-wanita tersebut, laju sahaja mereka membuka ruang menjemput tubuh kekar lelaki itu mendekati jenazah.

Tanpa banyak soal, lelaki yang segak dalam persalinan baju melayu hitam itu terus sahaja mengambil getah paip lalu dijiruskan berhati-hati dari hujung kaki naik ke jasad si isteri.

Tangannya turut sama membersihkan segala ulat-ulat yang terselit di celah liang-liang roma. Tiada langsung rasa jijik menyelimuti diri meskipun bau yang terbit dari tubuh jenazah boleh membuatkan tekak menjadi kembang-kuncup.

Wanita-wanita tadi mula berbisik sesama sendiri. Mungkin hairan mengapa lelaki sekacak dan sesempurnanya sanggup mengorbankan diri untuk memandikan jenazah yang berkulat dan hitam legam itu.

Sekali lagi, aku tercari-cari pada seraut wajah lelaki itu. Mahu memastikan jika ada kerutan yang terhasil disebabkan rasa tidak puas hati mahupun rasa jijik.

Namun, tiada.

Elok sahaja bibirnya tersenyum kecil sambil memandikan jenazah si isteri.

Adakah hatinya diperbuat daripada batu? Mengapa... dia boleh jadi setenang itu meskipun tahu jasad isterinya tidak sempurna.

"Maafkan saya, boleh ke kalau awak semua biarkan saya berdua dengan jenazah, kejap?"

Mendengar permintaan yang terpacul dari bibir lelaki itu, wanita-wanita itu mula mengangguk kecil. Tanpa banyak soal, langkah mereka mula dibawa keluar dari ruangan itu.

Maka, tinggallah gerangan lelaki itu bersama jasad isterinya yang terbujur kaku itu.

Penuh berhati-hati, kaki isterinya yang dipenuhi ulat itu dibersihkan. Satu demi satu, ulat itu diangkat lalu dibuang jauh dari jenazah si isteri. Segala tingkahnya diserkup ketenangan yang jitu.

Seakan, dia reda dengan segala ketentuan yang terjadi. Mungkin, si suami tahu itu merupakan pengakhiran hidup isterinya. Tetapi, suami manakah yang mampu menjadi setenang dirinya?

"Ya Allah, aku reda setiap langkah kaki isteriku ini meskipun tempat yang dia tuju itu tidak mendapat keizinan daripada aku," bisik lelaki itu dengan seulas senyuman yang terselit pada rekahan bibir. Nada suaranya kedengaran sayu sahaja.

"Ya Allah, aku reda akan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isteriku ini meskipun dia telah banyak kali menderhakai aku." Masih dalam keadaan tersenyum dan penuh kesabaran, tidak sedikit pun keluhan terbit dari bibir merahnya.

"Ya Allah, maafkan aku kerana tidak mampu mendidik isteriku ini menjadi wanita yang solehah. Hapuskan segala dosanya, Letakkanlah dosa-dosanya ke atas diriku. Khilaf aku kerana gagal menjadi suami yang baik."

Sebaik sahaja doa itu menerpa pendengaran, aku tidak mampu menahan diri untuk tidak bersedih. Hampir sahaja aku jatuh terlepok ke tanah. Namun, mujurlah aku sempat berpaut pada dinding yang tidak jauh dariku.

Lelaki itu, ternyata menahan emosi yang membedil dada. Raut wajahnya, sudah tidak setenang tadi. Kolam matanya mula bergenang dan menunggu masa sahaja untuk pecah.

"Dengan nama Allah, saya reda atas ketentuan ini. Selama kita hidup bersama, saya bahagia dengan awak. Awak jangan risau. Saya takkan simpan satu pun benda buruk tentang awak. Insya-Allah, awak akan ke syurga dengan reda saya sebagai seorang suami."

Bahu kekarnya mula terhinggut-hinggut menahan emosi yang menyerkup dada. Tangan ternaik memukul dada sendiri. Tembok ketenangan yang menyelubungi dirinya sejak tadi, akhirnya pecah jua.

Mendengar rintihan itu, hatiku mula dicucuk rasa ngilu yang teramat. Rasa marah bertubi-tubi menghunjam sudut jantung.

Sekali lagi, aku telah susahkan dia.

Selama ini aku berfikir, dengan mati segala masalah akan selesai.

Ternyata, aku silap.

Mungkin, Tuhan juga tidak sudi mahu menerima pendosa seperti aku. Hanya api neraka menjadi tempat yang terbaik buat wanita seperti aku.

"Ya Tuhan, aku tahu aku bukan wanita yang solehah di matamu Ya Allah. Aku mohon, perbaikkanlah jasadku. Bukan untuk kebaikan diriku, tetapi untuk suamiku Ya Allah. Aku tidak mahu susahkan dia dengan masalah diriku lagi..."

Buat pertama kali setelah sekian lama aku mempalingkan kehidupanku dari sisi Maha Pencipta, akhirnya aku mengalah jua. Namun, aku sedar semua itu telah terlambat. Masakan doaku diterima oleh Allah sedangkan aku tidak berada di kehidupan dunia yang fana.

Dengan tangan yang terketar-ketar, aku menadahkan tangan. Walaupun tanganku sudah pun dipenuhi dengan kudis dan ulat yang keluar dari setiap liang roma, aku tetap gagahkan diri untuk mengangkat tangan separas dada.

Sesaat, angin yang entah datang dari mana berhembus kuat sehingga membuatkan rambutku berterbangan.

Panahan cahaya lampu yang agak silau mula menembus iris mata. Tangan digawangkan ke hadapan wajah untuk mengurangkan rasa silau yang menyinggah.

Ya Allah Ya Tuhanku. aku tahu aku banyak dosa yang tidak mampu dikira banyaknya. aku mohon kepada Engkau, kembalikanlah aku ke dunia semula, aku berjanji akan menebus segala dosa-dosaku kepada Engkau.

Semerta, tangisanku berlagu kuat. Tubuh terhinggut-hinggut menahan esakan yang menggila. Segala emosi menggoncang ruang dada dengan kuat sekali.

"Ya Tuhan... izinkan aku. Izinkan aku... kembali." 

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now