BAB 13

373 52 10
                                    

Hai semua. Saya sebenarnya amat menggalakkan jika anda mahu berkongsi dengan saya pendapat anda mengenai cerita Safeera ini. Saya sebenarnya insecure nak teruskan. Takut ada orang tak boleh terima watak heroin yang macam ni. Hehe. Tapi kalau anda semua suka, boleh share pendapat anda di sini tau. Segala komen dan pandangan amat saya hargai. Terima kasih.




BUNYI riuh-rendah automatik menerobos telinga tatkala sepasang mataku beransur celik. Bau ubat semerta menusuk mukus hidung. Kepala terasa berat bagai dihempas sebongkah batu, dipegang serta-merta.

Anak mata kini jatuh pada kekura tangan sendiri. Entah bila jarum branula sudah tersemat di situ. Ngilu aku dibuatnya. Rasa mahu cabut sahaja jarum itu dari situ.

Tubuh pula entah mengapa menjadi selemah-lemahnya. Selama aku hidup, aku tidak pernah menjadi selembik ini. Sungguh, aku benci situasi ini.

Pejam mata, aku cuba seru balik memori apa yang sudah jadi kepada aku sebelum ini.

Darius. Rogol. Tempat pembuangan sampah. Isa.

Mengingati memori itu, anak mataku semerta tercelik luas.

Aku... tak boleh berada di sini. Tak boleh! Aku tak nak orang tahu apa yang sudah terjadi kepada aku sebenarnya. Aku tak nak dipandang jijik dan hina oleh jururawat dan doktor di sini.

Cadar katil digenggam erat. Bibir diketap rapat. Tubuh meligih menahan emosi yang menyentak dada.

Isa. Aku tahu, lelaki tu yang bawa aku ke sini. Tak guna!

Bangkit dari pembaringan, anak mata diliarkan di sekeliling wad. Pada waktu Subuh begini, aku pasti tiada siapa yang tahu andai aku melarikan diri dari sini.

Cabut jarum branula di tangan, automatik darahku terpancut deras membasahi katil dan lantai. Tekup kekura tangan dengan selimut, aku lantas mendaratkan kedua belah kaki ke lantai.

Sendi lutut yang mahu melembik, ditahan kemas. Tarik nafas dan hembus perlahan, langkah kaki diatur laju keluar dari ruangan wad ini.

Sebaik sahaja tubuhku berjaya membolosi jenang pintu wad, aku sudah tidak pandang ke kiri dan kanan lagi. Mata meliar mencari tangga. Dengan baju hospital dan selimut yang dipenuhi darah, langkah kaki diatur laju menuruni tangga. Walau terpaksa mati pun, aku sanggup asalkan aku dapat lepaskan diri dari tempat tak guna ni.

Prang!

Tidak semena-mena, aku terlanggar seseorang. Tanpa sikit pun angkat wajah, aku menonong pergi meninggalkan jururawat tersebut.

"Hei awak, nak ke mana tu?"

Teriakan jururawat tersebut sikit pun aku tidak hirau. Walau terpaksa mati pun, aku sanggup asalkan aku dapat lepaskan diri daripada semua ni.

Kini, bunyi derapan tapak kaki manusia semakin galak kedengaran. Toleh sedikit ke belakang, kini bayangan beberapa orang jururawat mengekor rapat dari arah belakang.

"Awak, jangan lari! Awak perlu dirawat dulu!"

Langkah kakiku semakin deras membelah koridor. Disebabkan selimut yang aku bawa tadi agak menyukarkan pergerakan, laju sahaja aku tarik selimut tersebut lalu dibuang ke lantai serta-merta.

Kalau aku serahkan diri di sini, aku pasti kes ini akan jadi kes polis kerana aku dirogol. Perkara ini akan disiasat lebih lanjut dan Darius akan ditarik ke muka pengadilan. Yang paling mengharukan, seluruh ahli keluargaku akan tahu mengenai permasalahan ini.

Jika itu yang berlaku, aku tak kisah sangat sebenarnya. Tapi, bagaimana dengan perasaan Abang Nuh jika perkara ini sampai ke pengetahuannya?

Sampai mati pun, aku tak nak Abang Nuh tahu mengenai apa yang sudah jadi kepada diriku malam itu. Aku tak kisah kalau semua orang tahu betapa jahatnya aku di atas muka bumi ini. Tapi janganlah orang itu, abang aku. Aku sayangkan dia. Aku tak nak lukakan hati dia. Aku dah tak ada sesiapa. Abang Nuh sahaja satu-satunya ahli keluarga yang aku ada sekarang ni.

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now