BAB 8

407 33 1
                                    


Menara pencakar langit di hadapan sana ditenung tidak lepas. Johor Bahru. Kota yang tidak pernah tidur. Gah dengan auranya tersendiri.

Pandangan kini sudah dipanjatkan pada langit di atas sana. Pada malam ini, bulan mengambang dengan cantik sekali. Tidak lupa juga butiran kejora yang berkelipan bergantungan di sana. Indah.

Kakiku yang togel kini sudah berpijak pada birai kolam. Percikan air mula mengigit halus betis mulusku. Mendepakan tangan dengan luas, aku mula memejamkan mata dengan erat. Ingin mengosongkan fikiran buat seketika.

Bush!

Seluruh tubuhku sudah pun ditelan oleh aliran air kolam yang sejuk di malam hari. Aku berenang dan terus berenang. Tangan bebas menguak air. Kepala sekejap tenggelam, sekejap timbul di permukaan air.

Seketika, aku membiarkan sahaja aliran air ini mengawal tubuhku. Membawa ke mana sahaja dia ingin menghanyutkan diriku ini pergi.

Aku, perlukan ketenangan.

Air, silakan bawa diriku ini pergi. Pergi dari kehidupan yang hitam ini. Lemas dan lemas.

Tatkala aku ingin menenangkan diri, berenang di malam hari adalah perkara yang akan aku lakukan.

Mujurlah di rumah Lina ini mempunyai private pool, aku boleh sahaja berenang sesuka hati walaupun di malam hari tanpa dilihat oleh sesiapa.

Mengapungkan diri pada permukaan air, buat kesekian kalinya langit malam di atas sahaja menjamah bingkai pandangan. Kadangkala, aku cemburu melihat kecantikan bulan dan bintang itu.

Mereka terlalu indah. Tidak seperti kehidupanku yang kelam dan hina ini.

Memejamkan mata, fikiran mula terlayar pada kejadian siang tadi. Kejadian di mana aku meminta kepada Sarah untuk mengizinkan Isa Khan mengahwini diriku.

Mata mula tercelik luas. Dalam diam, bibirku mula melukis satu garisan senget di tepi bibir, sinis. Hati mula menggelepar dengan bunga-bunga yang baru bertunas. Nampaknya, perancanganku kini sudah nampak hala tujunya.

Sebenarnya pada malam itu, lelaki kutu rayau itu tidak sempat pun merogolku. Sengaja aku berlakon seperti aku baru sahaja dirogol di hadapan Isa Khan.

Sempat juga aku mengoyakkan beberapa bahagian bajuku yang lain supaya menampakkan lakonan aku itu ternyata benar. Dan sungguh aku tidak sangka, lelaki si mata hijau itu betul-betul mempercayaiku.

Sarah. Aku sengaja berpura-pura di hadapannya. Aku meminta dia mengizinkan aku bernikah dengan suaminya kerana... aku sungguh mahukan suaminya.

Aku mahukan sepasang mata hijau itu menjadi milik aku. Aku mahu, tubuh kekar itu menjadi hak mutlak aku.

Aku mahu... Isa Khan menjadi milik aku.

Aku mahu, Isa Khan jatuh ke dalam pangkuanku.

Membiarkan bibir merah itu mendendangkan sebaris namaku sahaja, bukan nama Sarah lagi.

Nadinya berdenyut merdu kerana godaanku. Sepasang matanya membiaskan rasa cinta buat tatapan mata biruku. Tangan kasarnya memeluk tubuhku dan bukannya isterinya lagi.

Tetapi, semua hasrat itu tidak mampu dilaksanakan selagi Sarah ada di sisi lelaki itu. Sarah, si perempuan tak guna itu. Bodoh!

Bush!

Tanganku mula menepuk air dengan kuat. Habis terpercik kuat air tersebut mengenai wajah.

Menarik nafas dalam-dalam, aku mula menenggelamkan diri ke dalam air sekali lagi. Kali ini, aku mahu berada dalam tempoh yang lama dalam kolam ini. Membiarkan diri ini lemas seketika.

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now