BAB 16

369 51 14
                                    

PAGI-pagi lagi, Isa sudah membawa aku pulang ke rumah orang tua berdua tu. Mahu tak mahu, aku terpaksa jejakkan kaki di situ sedangkan hati aku sungguh tak rela melakukan semua ini.

Sejak kejadian semalam, tiada langsung sebutir patah perkataan yang terluah dari bibir lelaki itu. Setiap kali kami bertembung pandangan, Isa terus melarikan anak matanya dari wajahku. Seakan tidak sudi menatap wajah manusia yang terpaling hina di matanya saat ini.

Aku langsung tak kisah. Kalau dia tak nak tegur aku sampai tahun depan pun tidak mengapa. Takkan aku nak jatuhkan ego aku untuk tegur dia dulu. Hell no!

Tapi itulah. Aku harap orang tua berdua tu tak tanya banyak tentang aku dan Isa. Lagipun, kembang tekak aku nak kena berlakon jadi anak yang baik setiap kali tetamu datang ke rumah.

Aku terus maniskan muka apabila kereta Isa sudah selamat terparkir dalam garaj kereta rumah aku. Awal-awal lagi, Abang Nuh sudah sambut kedatangan kami di luar rumah. Seperti biasa, wajahnya tampak tenang. Seulas senyum turut tersorot pada bibirnya buat tatapanku.

Abang Nuh memang kacak. Wajahnya tenang dan bercahaya. Mungkin berkat dia mendalami ilmu agama dengan ikhlas. Tidak seperti aku. Hanya berpura-pura.

"Feera sihat?" soal abang selepas aku meraih tangannya untuk disalam.

"Sihat, alhamdulillah. Abang macam mana, sihat tak?" Sengaja aku genggam tangan Abang Nuh dengan erat. Rindu.

"Sihat alhamdulillah. By the way betul ke adik abang ni sihat? Kenapa abang tengok mata tu macam bengkak je? Badan pun macam makin susut." Kedua belah bahuku kini dipegang kemas oleh Abang Nuh. Wajahku ditiliknya tidak lepas.

"Tak ada apalah, bang. Mungkin lately ni Feera banyak stay up nak siapkan assignment kot. Final exam makin dekat." Mujurlah otak aku dapat memberi kerjasama yang baik setakat ini. Laju sahaja idea dicari untuk mengelakkan Abang Nuh bertanya lanjut mengenai keadaan diri aku pada ketika ini.

"Jangan push diri sangat study tu. Nanti sakit."

Aku hanya mampu tersenyum simpul tatkala nasihat Abang Nuh menampan pendengaran. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku hamburkan segala tangisanku di hadapannya. Mahu mengadu segala kejadian yang telah menimpa diriku sejak akhir-akhir ini.

Tapi aku sedar, aku tidak boleh berbuat demikian. Aku tidak mahu hati abang terluka apabila mengetahui sisi gelap yang aku sorokkan daripadanya selama ini.

"Abang Isa, sihat? Apa khabar?"

Aku segera membuka laluan kepada Isa apabila dia mahu berjabat tangan dengan abang aku. Seperti aku, Isa juga berjaya menutup riak wajahnya yang dingin tadi dengan seulas senyuman. Seakan dirinya berada dalam baik-baik sahaja. Bebas daripada segala belenggu masalah.

"Sihat alhamdulillah."

"Jomlah kita masuk ke dalam. Sarapan dulu."

Aku sengaja melambat-lambatkan langkah. Mahu memberi laluan kepada Abang Nuh dan lelaki itu masuk dahulu ke dalam rumah. Bukan apa, aku sebenarnya malas nak tengok muka orang tua berdua tu.

Suara emak dan papa kini bertingkah di dalam rumah apabila melihat kedatangan Isa ke rumah mereka. Riak teruja jelas terbias pada wajah masing-masing. Nampak bahagia betul nak menyambut kedatangan lelaki mata hijau tu. Nasib baik tak sampai bentang karpet merah. Meluat aku tengok!

"Eh Safeera, buat apa dekat luar tu? Masuklah sekali." Emak orang pertama yang menyapa aku terlebih dahulu. Papa di sisinya, hanya memandang aku sekilas.

Mahu tak mahu, aku terpaksa gagahkan diri melangkah masuk ke dalam rumah. Wajah cuba dimaniskan sehabis mungkin. Tidak mahu sesiapa tahu sandiwara yang telah dilakonkan oleh kami bertiga saat ini.

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now