BAB 19

415 45 3
                                    

AKHIRNYA, peperiksaan yang memenatkan ini tamat jua. Kini, aku sudah boleh menarik nafas lega. Boleh keluar dan lepak sampai malam sesuka hati lagi.

"Feera, jomlah ambil gambar kelas. Si Farid tu sibuk suruh semua berkumpul. Katanya nak bergambar buat kenangan." Lina sudah menarik-narik tangan aku. Lagak seperti budak kecil minta emak dia orang belikan mainan.

"Malaslah. Tiap kali cuti, mesti nak bergambar. Semester depan kan jumpa lagi." Tangan Lina yang melekat pada lengan baju kurungku, segera dileraikan. Rimas.

"Pleaseeee, Feera. Kau seorang je selalu tak ada dalam gambar setiap sem. Aku nak sangat frame gambar kelas letak dalam bilik. Sayang tau, muka kau tak ada. Sebab tu sampai sekarang aku tak gantung lagi. Sebab muka kau tak ada," adu Lina dengan wajah yang bercemberut hebat.

"Eleh kau, ngada betul! Kau nak bergambar, pergi je sana." Tubuh genit Lina aku tolak jauh. Menyuruh dia pergi sahaja tanpaku.

"Feera, please. Aku tak minta banyak, kali ni je. Sem depan tak payah pun tak apa."

Pandangan orang yang lalu lalang kini sudah terhala ke wajahku. Menyampah betul. Sibuk nak pandang orang. Jaga tepi kain sendiri, sudahlah.

"Hah, cepatlah. Tunggu apa lagi?" Aku sudah bergerak tinggalkan Lina di belakang.

"Heeee, jommmm." Laju sahaja Lina tarik tangan aku menuju ke tempat parkir kereta.

"Eh, kejap. Kenapa kena naik kereta ni?" soalku dengan pelipis yang berkerut.

"Mestilah kena naik kereta sebab lokasi dia orang nak ambil gambar tu dekat depan Istana Bukit Serene."

Keluhan halus kini terluah dari bibirku. Mahu tak mahu, terpaksalah aku buka kunci kereta. Lina pula selamba badak sahaja sudah ambil tempat di sebelah. Langsung tiada perasaan bersalah.

Aku ingatkan dekat-dekat sini sahaja mereka mahu bergambar. Rupanya...

Malas mahu membebel panjang, aku terus memandu kereta keluar dari tempat letak kereta. Menuju ke destinasi yang dimaksudkan Lina tadi.

Nampaknya, memang pecahlah rekod hari ni. Orang yang selalu tak ada waktu sesi bergambar dengan rakan sekelas, tiba-tiba buang tabiat munculkan diri hari ni.

Ini semua sebab Lina yang paksa. Kalau tak, memang tak ingin aku buang masa demi sekeping gambar macam tu.







"HELLO everyoneeee. Welcome-welcome. Safeera here!"

Belum sempat kereta berhenti sepenuhnya, Lina orang pertama yang paling tak sabar turun dari perut kereta. Pintu kereta di tempat pemandu dibuka laju, menonong sahaja dia tarik aku ke sini.

Mereka yang tadinya bergelak tawa, kini terdiam seribu bahasa melihat kehadiranku di sini. Suasana berjeda sebentar. Wajahku ditenung dengan riak wajah seperti tidak percaya.

"Safeera, betul ke kau nak join kita orang bergambar hari ni?" Harith, orang yang paling becok dalam kelas kami mampir ke depan. Wajahku ditenung dengan sengihan di bibir.

"Kenapa? Aku ahli neraka ni tak layak ke bergambar dengan kau orang semua yang ahli syurga ni?" semburku laju.

"Eh, tak ada pun aku cakap macam tu. Tak baik tau menuduh."

Silang dada, wajahku nihil tanpa emosi. Satu per satu wajah rakan sekelasku dikerling dari hujung mata.

"Alang-alang kau dah ada dekat sini, jomlah bergambar sekali. Aku bukan apa tau, Feera... aku nak juga tengok muka cantik kau ada dalam gambar kelas. Selalu tak ada je. Sayang tau, muka international kau ni tak ada dalam gambar. Aku baru nak flex dengan member aku dekat kampung yang dalam kelas aku ada perempuan cantik," tokok Harith lagi. Seperti biasa, gelak kecil turut terselit pada hujung bicaranya.

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now