BAB 10

524 51 6
                                    

DUDUK di ruangan menunggu, kami sama-sama kunci mulut. Aku, Isa dan Puan Yati sama-sama menunggu keputusan mengenai keadaan Sarah.

Walau aku tidak berapa sukakan isteri kepada lelaki itu, entah mengapa aku turut terpanggil untuk berada di sini sekali. Mungkin disebabkan insiden yang berlaku sebentar tadi. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja Sarah rebah dengan keadaan mulut yang berbuih dan tidak sedarkan diri.

Duduk dengan jarak selang satu kerusi di sebelah Isa, aku perasan dirinya berkeluh-kesah sejak tadi. Dengan telefon yang tidak berenggang di tangan, aku nampak dia seperti sibuk menaip sesuatu di skrin telefonnya. Keluhan halus turut terhembus keluar sama.

"Keadaan kamu macam mana, Safeera? Sakit lagi, ke?"

Bibir yang mahu menggarit garis sinis, cepat-cepat aku kawal. Tidak mahu Puan Yati nampak. Bukan apa, walaupun aku ni tak baik mana, depan pensyarah aku tayang sikap yang baik sahaja. Kalau kutuk pun, dalam hati.

"Alhamdulillah, makin sihat. Terima kasih Puan Yati sebab sudi temankan saya dekat sini. Buat susah-susah sahaja." Senyum palsu aku kulum buat tatapannya.

"Tak ada apalah, Feera. Memang tanggungjawab saya sebagai pensyarah."

Aku hanya mampu tayang senyum janggal. Tak tahu mahu membalas apa. Sebaliknya, fokusku dibawa kembali ke arah manusia yang lalu-lalang di hadapan kami pada ketika ini.

Di sudut pendaftaran, kelihatan seorang wanita tua yang terkial-kial mahu memeriksa dompet lusuhnya. Di hadapan makcik tersebut, terpacak pula seorang jururawat muda yang agak cantik pada penglihatanku.

Muka dah cantik dah tu. Cuma mimik muka tu. Tak berapa cantik. Masam sahaja memanjang.

Ya, aku tahu pekerja di sektor hospital ni agak penat dan perlu melayan ramai manusia saban hari. Bayar pun RM1. Memang patut mungkin dapat layanan macam tu.

Masalahnya, kesian dekat golongan warga emas yang terpaksa datang seorang diri ke sini. Kudrat mereka dah tak sekuat dahulu. Ada anak pun, mungkin semuanya dah kerja dekat luar. Disebabkan tak mahu susahkan anak-anak, itu makcik tersebut hadir ke hospital seorang diri.

"Lambat lagi ke, makcik?" soal jururawat tersebut dengan riak wajah tidak puas hati.

"Sekejap ya, nak. Tadi tak silap makcik ada tadi seringgit dalam dompet ni. Entah mana hilang," ucap makcik tersebut seraya tersenyum malu. Habis diselongkar isi dalam beg tangannya.

"Ramai lagi ni makcik nak jumpa doktor. Cepat sikit."

"Baik, nak. Maafkan makcik ya..."

Disebabkan suara jururawat tersebut agak nyaring, ramai mata-mata orang di situ kini terarah di kaunter pendaftaran.

Dalam diam, aku kepal penumbuk di sisi. Aku tak suka tengok makcik tu diperlakukan sebegitu rupa. Biadab betul!

Bangkit dari duduk, aku teruk seluk kocek seluar. Membawa langkah ke kaunter, not wang RM100 aku campakkan tepat-tepat pada wajah jururawat tersebut. Terbuntang anak matanya apabila tiba-tiba sahaja aku menyerang begitu.

"Kena..."

"Kau buka mulut menyalak, dekat sini mampus kau aku kerjakan! Kau buta ke apa tengok makcik ni dalam keadaan susah macam ni. Apa salah kau bayarkan dulu ke apa duit RM1 tu? Lagi satu, muka kau tu memang masam 24 jam je ke? Aku tahu kau kerja dekat klinik kerajaan je. Tapi perlu ke kau pandang semua orang yang bayar RM1 ni dengan muka tahi kau tu?"

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now