BAB 14

380 50 9
                                    

Isa Khan

"MACAM mana dengan keadaan dia, doktor?" soalku. Dalam masa yang sama, anak mata ini tidak lepas menatap wajah Safeera yang agak pucat itu. Aku tak tahu mengapa Safeera begitu takut melihat aku tadi. Jujur aku katakan, niat aku bawa dia ke sini semata-mata untuk memastikan dirinya mendapat rawatan yang sepatutnya. 

 Doktor Fatimah terdiam sejenak. Seperti aku, dia juga turut memantau keadaan Safeera sejak tadi.

"Hasil pemeriksaan saya mendapati, Safeera mengalami trauma gangguan seksual. Melihat daripada keseriusan luka tersebut, saya rasa benda ni baru sahaja terjadi. Kes ni berat Encik Isa. Sepatutnya, kita kena buat report polis."

Anak mataku yang mahu membuntang luas, segera ditahan. Peluk tubuh, fikiranku mula bergerak deras.

Aku tahu mengenai kes Safeera dirogol tempoh hari di pondok perhentian bas. Tetapi kejadian itu sudah hampir dua minggu berlalu. Dan disebabkan mahu membalas jasa Nuh, aku sanggup tawarkan diri untuk berkahwin dengan Safeera. Dalam masa sama, aku juga mahu memastikan maruah Safeera terpelihara.

"Berdasarkan tingkah laku Safeera yang saya nampak dekat luar tadi... biasanya mereka yang pernah melalui trauma gangguan seksual, boleh menderita kesan psikologi lebih buruk berikutan hidup dalam ketakutan mengenangkan perkara yang sudah berlalu. Perasaan tidak selamat juga akan timbul serta membuatkan mereka takut untuk meneruskan kehidupan seperti dahulu. Buat masa ni, sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan amat penting buat Safeera," nasihat Doktor Fatimah.

Aku terduduk di kerusi. Tidak tahu mahu memberi respon apa. Penerangan Doktor Fatimah dibiarkan sahaja bagai angin lalu. Sungguh, kenyataan yang baru aku dengar pada ketika ini... membuatkan aku terkilan dengan sikap Safeera.

Jenayah rogol bukan satu perkara yang ringan. Tetapi mengapa wanita itu berkeras tidak mahu melaporkan perkara yang menimpa dirinya kepada pihak polis?

Rahangku terkacip-kacip rapat. Nafas dikeluh berat.

Entah mengapa, seakan aku seorang sahaja yang terhegeh-hegeh merisaukan keadaan yang menimpanya. Sedangkan dia, menerima sahaja apa yang jadi dengan lapang dada.

Memikirkan gaya hidup Safeera yang bebas dan bersosial sana-sini, pelbagai spekulasi negatif kini bergentayangan di mindaku. Sikap Safeera yang sanggup meminta dengan arwah Sarah untuk menjadi isteri nombor dua sebelum ini, terlihat seakan dia sengaja mahu menggunakan diri untuk menutup perlakuan sumbang yang telah dia buat.

Entah-entah sengaja buat-buat dirogol, sedangkan...

Aku meraup wajah. Lafaz istighfar mula membasahi bibir. Cuba menenangkan hati yang kini bercelaru.

Andai benar sangkaan itu terjadi, aku tidak tahu bagaimana untuk aku berhadapan dengan wanita itu lagi selepas ini. Jauh di sudut hati, niat aku ikhlas mahu membantu dia. Walaupun hati aku ni agak sakit mengenangkan perlakuan dia kepada arwah isteri aku sebelum ini, aku cuba sedaya-upaya untuk memaafkan. Dalam masa yang sama, aku ingin tunaikan amanat arwah Sarah untuk menikah dengan Safeera.

Aku juga mahu membalas jasa Nuh yang telah melakukan pengorbanan yang besar untuk aku sebelum ini. Jasa baik Nuh tidak mungkin aku akan lupa sampai mati. Selagi budi tu tidak dibalas, selagi itulah aku akan dihurung rasa serba-salah.





LAPIK belakang tangan pada pelipis, fikiranku kini bergerak deras dalam sepi. Cuba bersikap rasional dan mencari solusi yang terbaik untuk keadaan aku dan Safeera pada masa kini.

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now