~17~ Danish - Bawa Ku Pergi

2.6K 34 0
                                    

Danish hanya memerhatikan saja, Seri menarik beg pakaiannya ke kereta sebelum kembali semula untuk menarik beg pakaian Diana. Kedua-dua beg kemudiannya diangkat masuk ke dalam bonet. Sekali lagi dia kembali ke dalam rumah, kali ini menolak kerusi roda Diana ke kereta. Dengan susah-payah dia membantu Diana masuk ke dalam kereta. Kerusi roda turut dilipat lalu diangkat ke dalam bonet.


Danish tidak tahu dari mana datangnya kudrat untuk Seri melakukan semua itu. Hampir setiap hari disogok dengan maki-hamun, diperlakukan tidak ubah seperti pembantu rumah, dan kemuncaknya malam tadi, Danish sendiri tidak mahu memikirkannya lagi kejadian itu. Dirasakannya jijik sekali perlakuannya terhadap Seri.


Niatnya malam itu hanyalah untuk pulang, lalu terus tidur. Rita yang masih menganggunya dan mama yang masih berteka-teki kenapa dia tidak bersetuju dengan tindakan Danish, membuatkannya marah dan apabila terlihatkan Seri, entah dari mana munculnya idea gila untuk menguji wanita itu. Dan seperti lembu dicucuk hidung, Seri mengikut saja setiap arahannya.


"Abang, dah siap."


Lamunan Danish terhenti. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Tiada apa lagi yang tinggal yang dapat membuatkan Seri sengsara selain penderaan fizikal, sesuatu yang sesekali tidak akan dilakukan oleh Danish walau diugut sekali pun. Moralnya tidak serendah itu. Danish mengerut dahi, perlakuannya terhadap Seri sejak bernikah, boleh dikategorikan juga sebagai tidak bermoral.


Tidurnya malam tadi tidak nyenyak. Dia diganggu oleh airmata Seri walaupun tidak pernah sekalipun dia melihat airmata itu. Danish mulai mempertikai tindakannya.


Hatinya tiba-tiba panas. Dia tidak tahu pada siapa untuk ditujukan kemarahan itu kecuali satu insan.


"Jadi apa lagi yang kau terhegeh-hegeh tu? Kau nak aku hamparkan permaidani merah baru kau nak masuk ke dalam kereta?" tempelak Danish.


Seri segera memastikan yang pintu utama dikunci sebelum bergegas masuk ke dalam kereta, di sebelah Diana di tempat duduk belakang. Sebenarnya tiada halangan untuk dia duduk di mana-mana pun tetapi Danish suka melihat dia kehilangan arah seperti tadi.


Adakah aku sudah gila? Kenapa setiap geraknya menjadi perhatian aku sekarang?


Danish menggelengkan kepala, cuba menghilangkan rasa yang mulai muncul dalam hatinya. Dia bangun dari kerusi laman lalu masuk ke dalam kereta, di tempat duduk pemandu. Seperti magnet, matanya mengerling ke arah cermin pandang belakang, melihat ke arah Seri yang lebih selesa melemparkan pandangan ke luar tingkap.


Anak mata Danish bergerak, melihat hidung Seri yang mancung terletak, beralih ke pipinya yang putih gebu dan akhir sekali berhenti di bibirnya yang mungil kemerahan. Ciptaan indah Ilahi itu adalah haknya yang sah. Jadi kenapa dia masih meneruskan kerja gila ini?


Danish mengalih pandangan apabila Seri memandang ke hadapan. Dia jadi malu sendiri merenung isterinya begitu. Danish menghidupkan enjin, meninggalkan banglo yang suram, yang dahulunya menjadi kebanggaannya.


Perjalanan menuju ke lapangan terbang lancar kerana hari hujung minggu seperti itu, tentunya ada yang masih tidur. Danish memberhentikan keretanya tidak jauh dari jet peribadi yang disewa. Harith sudah menanti, sedang berbual dengan juruterbang. Pintu kereta di sebelahnya dibuka oleh Harith. Danish melangkah keluar dari perut kereta lalu mendapatkan Diana yang sudah tertidur.

ONGOING Kau Yang SatuWhere stories live. Discover now